Berkasutkan pembalut luka, atlet perempuan dari Filipina yang berusia 11 tahun ini berjaya merangkul tiga pingat emas. Kisahnya menjadi tular bukan kerana dia berkasutkan pembalut luka sahaja, tetapi logo Nike pada ‘kasut’ ciptaannya itu bagai ada seribu rahsia yang tersimpan rapi.

Rhea Bullos, membuktikan biarpun tanpa kasut sukan apatah lagi yang berkualiti seperti jenama Nike, kejayaan mampu diraih. Dia berjaya merangkul tiga pingat emas bagi acara 400 meter, 800 meter dan 1500 meter yang dipertandingkan. Berita tersebut dikongsi oleh jurulatih Rhea, Predirick B. Valenzuela menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam satu wawancara bersama CNN Filipina, Predirick menzahirkan rasa kagumnya terhadap atlet didikannya itu. “Saya gembira dia menang. Dia berlatih dengan bersungguh-sungguh. Mereka hanya berkaki ayam kerana tidak mempunyai kasut,” kata jurulatih itu mengenai Rhea dan rakan-rakannya yang lain.

Gambar Rhea tular hingga tiba ke pengetahuan Jeff Cariaso, ketua jurulatih pasukan bola keranjang profesional Filipina, Alaska Aces. Cariaso yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif kedai bola keranjang Titan 22 telah meminta pengguna Twitter untuk membantunya menghubungi Rhea.
Menurut kenyataan daripada CBS SPORTS dengan kuasa Twitter akhirnya Cariaso berjaya menghubungi Rhea dan penasihatnya. Cariaso dapat menggunakan platform media sosial tersebut untuk membantu atlet yang memerlukan pertolongan.
Selain itu, menerusi Instagram Cariaso mengatakan bahawa dia mahu membantu Rhea dan pasukannya. Orang ramai dipelawa untuk turut menghulurkan bantuan kepada mereka.

Selain Cariaso, pihak SM City turut membelikan sepasang kasut, stoking dan beg sukan untuk Rhea.

Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh Rhea ini amat bertepatan dengan slogan Nike, ‘Just Do It’.
Rhea tidak menjadikan alasan ‘tiada kasut’ untuk tidak aktif dalam sukan.
Kisah Rhea ini memang sangat memberi inspirasi. Jika anda berasa kekurangan untuk melakukan sesuatu, ingatlah kisah Rhea ini.
Pilihan Editor: