31.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024
UtamaInspirasiKisah angkasawan yang terkandas di angkasa lepas setelah negara Kesatuan Soviet runtuh

Kisah angkasawan yang terkandas di angkasa lepas setelah negara Kesatuan Soviet runtuh

Angkasawan Sergei Krikalev digelar ‘lelaki Soviet terakhir di dunia’. Ini kerana, ketika beliau berada di angkasa lepas pada tahun 1991, negara Kesatuan Soviet telah runtuh dan berpecah kepada 15 negara yang merdeka.

Perjalanan ‘Cosmonaut’ Sergei Krikalev bukan sahaja mendedahkan pengetahuan di angkasa lepas, tetapi juga menyaksikan kejatuhan zaman perlumbaan angkasa dan berakhirnya konflik ideologi dalam Perang Dingin Kesatuan Soviet-Amerika Syarikat, seperti yang dipetik dari Arkib Filem Harvard, Perpustakaan Harvard.

HistoryNet

Apabila Kesatuan Soviet dibubarkan, Krikalev diberitahu beliau tidak boleh kembali ke Bumi. Ini kerana negara yang bertanggungjawab ke atas kepulangannya tidak lagi wujud, seperti yang dipetik Russia Beyond.

Jadi, apakah sebab Sergei Krikalev pada asalnya dihantar ke angkasa lepas? Bagaimanakah angkasawan ini akhirnya selamat kembali ke Bumi?

Sergei Krikalev dilahirkan pada tahun 1958. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1981 dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Institut Mekanikal Leningrad yang kini dikenali Universiti Teknikal St. Petersburg. 

INVERSE

Walaupun ibunya memintanya menjadi doktor, Sergei Krikalev bertekad untuk mengejar impiannya sejak kecil untuk menjadi seorang angkasawan.

Krikalev berusia 33 tahun ketika dihantar dari Baikonur Cosmodrome Soviet yang kini berada di bahagian yang terletak di negara Kazakhstan, ke Stesen Angkasa Mir di mana Sergei Krikalev bertugas sebagai jurutera aeronautik.

HistoryNet

Pada 19 Mei 1991, Sergei Krikalev dan seorang lagi angkasawan Kesatuan Soviet, Anatoli Artsebarski telah berlepas ke angkasa lepas bersama angkasawan pertama Britain Helen Sherman ke Stesen Angkasa Mir.

Misi mereka ketika itu adalah menggantikan kru yang sedia ada di stesen angkasa itu, sementara Helen Sherman berada di atas kapal angkasa sebagai sebahagian program negaranya untuk melakukan eksperimen sains. 

Helen Sherman kembali ke Bumi lapan hari kemudian bersama kru Soviet dalam misi sebelumnya, manakala Krikalev dan Artsebarski tinggal di Mir sambil melakukan kerja-kerja pembaikan di stesen angkasa itu.

HistoryNet

Misi angkasa lepas Krikalev sepatutnya dijadualkan selama 5 bulan dan selepas Anatoli Artsebarski pulang ke bumi, Krikalev masih tinggal di Mir memandangkan beliau pernah dilatih untuk misi jangka panjang.

Walau bagaimanapun, ketika Sergei Krikalev sibuk bertugas di angkasa lepas dan menanti penggantinya, rampasan kuasa di Kesatuan Soviet telah berlaku pada Ogos 1991.

Negaranya kini bukan lagi dikenali sebagai Kesatuan Soviet yang telah dibubarkan pada 26 Disember 1991 dan diganti dengan nama Rusia. Kampung halaman Sergei Krikalev turut telah dinamakan semula dari Leningrad kepada St. Petersburg.

“Bagi kami, berita ini benar-benar mengejutkan. Kami tidak faham apa yang sedang berlaku pada masa itu. Apabila kami membincangkannya, kami cuba memahami kesannya terhadap industri aeroangkasa,” kata Krikalev.

NASA

Nampaknya, Krikalev sendiri merasakan kesannya, dan ternyata benar apabila tapak pelancaran roket Baikonur Cosmodrome kini telah menjadi hak milik negara Kazakhstan yang baru merdeka.

Di angkasa, Krikalev dimaklumkan Rusia sedang mengalami krisis kewangan dan mereka tiada wang untuk membawanya pulang ke Bumi. Jawapan yang sama berulang sekali lagi sebulan kemudian.

Pengurus misi angkasa lepas juga meminta Krikalev bersabar untuk tinggal di angkasa lebih lama, tetapi jawapannya tetap sama pada bulan hadapan.

HistoryNet

“Mereka berkata ia sukar untuk saya, kerana ia tidak baik untuk kesihatan saya. Tetapi negara juga sedang berhadapan dengan masalah kewangan, jadi peluang penjimatan wang mesti menjadi keutamaan,” kata Krikalev kepada Discover Magazine.

Rusia menghadapi krisis kewangan akibat hiperinflasi. Kerajaan menjual tiket kerusi roket Soyuz ke negara lain untuk mendapatkan wang tambahan.

Austria membeli kerusi roket Soyuz dengan harga AS$7 juta (RM30 juta), manakala Jepun membeli kerusi lain dengan harga AS$12 juta (RM51 juta) untuk menghantar wartawan TV mereka ke angkasa lepas.

Rusia juga merancang untuk menjual Stesen Angkasa Mir dengan pantas walaupun program sedang berjalan. Ini bermakna anak kapal lain yang bertugas di stesen itu kembali ke Bumi, tetapi Krikalev, sebagai jurutera penerbangan, tidak dapat pulang.

HistroyNet

Agensi angkasa lepas Rusia berusaha sedaya upaya untuk menghantar bekalan penting kepada angkasawan terkandas itu. Rusia hampir menjual Stesen Angkasa Mir kepada NASA tetapi mereka tidak berminat.

Akhirnya pada 25 Mac 1992, Sergei Krikalev telah berjaya kembali ke Bumi dengan bantuan pembiayaan kerajaan Jerman yang membayar AS$24 juta (RM103 juta) untuk menjemputnya, setelah menghabiskan masa selama 311 hari di orbit Bumi.

Ketika mendarat di Bumi, Krikalev terpaksa dipapah untuk keluar daripada kapsul Soyuz. Discover Magazine melaporkan angkasawan itu kelihatan pucat dan berpeluh serta tidak bermaya. 

HistoryNet

Sergei Krikalev terpaksa diselimut dengan kot bulu dan diletakkan di atas sebuah kerusi lantas dengan segera diberikan sup panas untuk diminum.

Beberapa tahun kemudian, angkasawan terkandas itu mengimbau semula pendaratan berkenaan dengan berkata, pertukaran graviti adalah sesuatu yang sukar buatnya. Namun secara psikologi kepulangan ke Bumi merupakan satu bebanan yang berjaya diangkat.

Dua tahun kemudian, angkasawan ‘cosmonaut’ ini kembali semula ke angkasa lepas dengan mendarat ke Stesen Angkasa Lepas Amerika Syarikat, Discovery. Ketika itu angkasawan Rusia boleh terbang bersama angkasawan Amerika Syarikat selepas berakhirnya ideologi Perang Dingin.

NASA

Sergei Krikalev bersara daripada misi angkasa lepas pada tahun 2007, dengan memegang rekod orang ketiga paling lama menghabiskan masa di angkasa lepas apabila berada di orbit selama 800 hari.

Misi Sergei Krikalev berada di angkasa lepas selama 311 hari tanpa dirancang merupakan misi angkasa lepas keenam paling lama dalam sejarah.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI