Seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan polis selepas mengamuk menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Ampang, Selangor pada 18 Januari.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial apabila suspek dilihat berjalan di sekitar kawasan pangsapuri berkenaan dengan membawa parang dan cuba mengancam keselamatan orang awam dan anggota polis yang tiba di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kaunter aduan Balai Polis Pandan Indah menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian amuk berkenaan pada jam 10.51 pagi.
“Sejurus menerima maklumat tersebut, anggota peronda polis segera ke lokasi kejadian dan menahan lelaki mengamuk menggunakan parang di kawasan pangsapuri tersebut,” kata Mohamad Farouk dalam satu kenyataan.
Dalam video yang tular dapat dilihat anggota polis yang tiba di lokasi kejadian sedang mengawal dan menenangkan lelaki bersenjata parang berkenaan sambil memegang papan penghadang keselamatan.
Suspek dilaporkan bertindak agresif dengan cuba menyerang orang awam dan polis.
Beberapa orang awam pelbagai bangsa juga turut dilihat berada berdekatan lokasi kejadian untuk membantu anggota polis dalam menangkap lelaki itu.
Susulan tindakan pantas mereka, anggota polis telah berjaya memberkas suspek dan merampas sebilah pisau pemotong daging berhulu kayu dan lilitan tali rafia.
Mohamad Farouk berkata, suspek kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Berita Harian melaporkan suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan mempunyai rekod rawatan serta dilaporkan sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun yang sama.
Pilihan Editor: