Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui terperangkap dalam sebuah kontena kapal dari Bangladesh yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 18 Januari lalu.
Difahamkan kapal kontena itu berlepas dari Pelabuhan Chittagong, Bangladesh pada 13 Januari lalu, dengan budak lelaki itu secara tidak sengaja berada di dalamnya.
Sebelum ini, tular rakaman video TikTok berdurasi 56 saat yang memaparkan penemuan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dalam kontena kosong yang menjadi topik perbincangan hangat warganet.

Sumber memaklumkan, salah seorang kakitangan pelabuhan mendakwa dia terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena berkenaan dan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati budak lelaki tersebut tiada apa-apa dokumen pengenalan diri tetapi memperkenalkan dirinya sebagai Fahim sebaik berjaya keluar dari kontena itu.

Budak lelaki itu memberitahu sebelum insiden, dia mahu berehat sebentar lalu tertidur di dalam kontena kosong berkenaan yang terbuka di depoh Chittagong dan tidak sedar apabila ia dikunci dan dinaikkan ke atas kapal.
Budak lelaki itu terperangkap di dalam kontena berkenaan selama 6 hari sehingga kapal berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
Dia keluar dari kontena itu dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebaik sahaja pintu dibuka oleh salah seorang anggota polis bantuan yang bertugas di pelabuhan tersebut.

Sumber memaklumkan budak lelaki itu telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan seterusnya menjalani proses dokumentasi bersama Imigresen.
Dia kemudian telah dihantar pulang ke negara asal dengan menaiki kapal yang sama pada Khamis, 19 Januari.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan pada 19 Januari mengesahkan insiden penemuan kanak-kanak lelaki warga Bangladesh dalam kontena berkenaan.
Pilihan Editor: