Sepasang suami isteri merupakan suspek utama dalam kes letupan bom yang diletak dalam bungkusan, didakwa merancang pembunuhan menggunakan alat letupan kawalan jauh selepas suami mengetahui mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.
Pada malam 29 Disember 2022, seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Kuala Lumpur selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas keretanya meletup.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam di hadapan restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.

Mangsa berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan tangan disahkan meninggal dunia sejam kemudian kira-kira jam 9.50 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Ampang. Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kemudian pada malam 3 Januari 2023 sepasang suami isteri telah ditahan di sebuah rumah di Serdang, Kedah. Kedua-duanya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan.
Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Serdang, Kedah, dan menahan pasangan suami isteri terbabit pada kira-kira jam 7.20 malam, menurut Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi.

“Polis percaya penahanan kedua-duanya akan membantu dalam siasatan berterusan terhadap kes ini,” Malay Mail memetik kenyataan Sasikala pada 4 Januari.
Suspek suami isteri yang masing-masing berusia 33 dan 30 tahun telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari.
Berita Harian melaporkan siasatan awal polis menjurus ke arah cemburu sebagai motif pembunuhan tukang masak itu, yang dilakukan menggunakan bom buatan sendiri.
Siasatan menunjukkan si suami mengesyaki mangsa berusia 28 tahun mempunyai hubungan dengan isterinya. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.

Sementara itu, New Straits Times melaporkan polis menemui beberapa objek, seperti peranti power bank, pemotong kertas, dan beberapa bateri bersama dengan kesan bahan letupan, di tempat kejadian.
Berdasarkan serbuan di Kedah, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menemui kandungan yang sama yang ditemui di lokasi kejadian untuk menghasilkan bahan letupan, lapor Berita Harian yang memetik kenyataan Pemangku Ketua Polis Selangor.
Polis dilaporkan percaya pengetahuan untuk membina bom itu diperoleh daripada media sosial Facebook.
New Straits Times melaporkan pada 6 Januari dengan sumber memetik pada ketika hari kejadian, pasangan suami isteri itu dilihat berada berhampiran restoran tempat mangsa bekerja.

“Alat kawalan jauh ditekan sebaik melihat mangsa memegang bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya. Perbuatan mereka dirakam pada kamera litar tertutup (CCTV),” kata sumber itu sambil menambah pasangan disyaki membuang pakaian dan alat kawalan jauh untuk mengelakkan syak wasangka dan melarikan diri ke Kedah.
Suami terbabit dilaporkan membuat bahan letupan itu bersama isterinya. Mereka membuat peranti itu di rumah mereka di Serdang, Kedah, menurut sumber.
Cemburu didakwa menjadi motif di sebalik kes pembunuhan, namun polis memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Pilihan Editor: