KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah magnitud 2.8 dilaporkan berlaku di Ranau, Sabah pada jam 2.56 petang 16 Disember.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi kenyataannya memaklumkan gempa bumi tersebut berlaku di 15 kilometer barat Ranau.
Menurut kenyataan itu gempa bumi lemah pada kedalaman 10 kilometer itu tidak mengakibatkan ancaman tsunami kepada Malaysia namun dipercayai mengakibatkan gegaran di daerah Ranau.
Bernama melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian berkenaan pada jam 3.17 petang dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba Ranau dikerahkan untuk melaksanakan rondaan di sekitar daerah berkenaan.
“Rondaan mendapati keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan pukul 4.30 petang tadi,” menurut kenyataan itu.