Walaupun anjing adalah haram hukumnya untuk disentuh secara sengaja di sisi Islam, tetapi seorang Muslim tidak dilarang untuk menyentuhnya bagi tujuan menyelamatkan haiwan itu ketika dia berada di dalam situasi kecemasan dan keadaan yang munasabah.
Kisah beberapa bulan lalu yang dilaporkan My Forever Doggo, telah memaparkan seorang wanita Muslim dikenali Yasmin menemui seekor anjing yang cedera parah terbaring di tengah jalan dan tidak bergerak.

Agak menyayat hati kerana anjing malang itu kelihatan tenat dan dibiarkan terbaring di tengah jalan tanpa ada sesiapa yang mengambil kisah untuk membantunya.
Ekoran itu, Yasmin yang amat bersimpati memutuskan untuk berpatah balik dan membantu haiwan yang mengalami kecederaan parah itu.

Yasmin berusaha untuk mengangkatnya dengan menggunakan surat khabar dan plastik sehingga dapat meletakkannya di tempat yang selamat.
Oleh kerana pada waktu itu hari sudah beransur senja untuk dibawa ke klinik haiwan, Yasmin membawa anjing itu pulang ke rumahnya dan mula membersihkan luka yang terdapat di badannya dengan tangan sendiri.
Yasmin dengan tekun mula mengeluarkan semua ulat dari luka parah anjing itu satu persatu.

Yasmin juga turut menyembur antiseptik pada luka anjing itu kerana malam telah terlalu lewat untuk membawanya ke doktor haiwan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Anjing itu kelihatan sangat lemah dan tidak berdaya untuk mengangkat badannya, juga tiada selera untuk menjamah makanan dan air yang disediakan.

Yasmin kemudian dilihat mengusap anjing itu untuk menenangkannya dan berjanji untuk membawanya berjumpa doktor haiwan pada keesokan hari sambil memintanya supaya bertahan.
Anjing itu seakan faham dan menurut sahaja arahan Yasmin sambil dia terus berbaring dengan selesa selepas dibersihkan dan dapat merasakan dirinya dihujani dengan kasih sayang.

Yasmin juga beberapa kali mencuba untuk memberinya makan tetapi dia enggan makan mahupun minum.
Keesokan paginya, Yasmin menerima mesej sedih yang anjing nazak bernama Georgie itu tidak berjaya diselamatkan.

Walaupun dia sangat patah hati dengan pemergiannya, Yasmin berkongsi perjalanannya dengan anjing itu dengan rasa penuh kesyukuran dan kasih sayang.
“Terima kasih ya Allah, sebab beri peluang untuk saya rawat dia walaupun ‘sekejap’ sahaja…” tulisnya.

Bukan semua orang boleh membantu merawat haiwan terbiar seperti Yasmin kerana dia dapat menjaga anjing ini dengan cara terbaik pada detik terakhirnya.
Berkat usaha dan keikhlasan hati Yasmin, anjing ini mendapat kasih sayang dan keselesaan yang amat diperlukan di mana dia kini dapat berehat sempurna, setelah pergi buat selama-lamanya dalam keadaan yang baik.
Diharap terdapat lebih ramai rakyat Malaysia yang bersikap prihatin dan baik hati terhadap semua haiwan terbiar seperti Yasmin. Tabik hormat kepada anda!
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: