Harry Clare, kanak-kanak berusia lima tahun tidak menyangka perniagaan kecilnya disabotaj oleh pencuri. Kasihan sungguh Harry. Namun yang lebih mengecewakan adalah sikap pencuri yang tega mencuri hasil dan barangan jualan kanak-kanak 5 tahun itu.

Harry menjual telur, susu kambing dan sabun di tapak glamping Rosebud Meadow di Malvern, Worcestershire, England. (rujukan PRPM: ‘Glamping’ ialah akronim perkataan ‘glamour’ dan ‘camping’ yang membawa maksud percutian berkonsepkan aktiviti perkhemahan yang selesa dan mewah).
Difahamkan, menurut ibu Harry, Rosie Clare, selepas membaca buku mengenai pekedai yang dipinjam dari sekolah, Harry meluahkan hasratnya untuk menjadi pekedai. Lalu mereka sekeluarga mendirikan sebuah kedai kecil berkonsepkan kejujuran untuk Harry.

Sejak kedai kejujuran tersebut dibuka, ramai orang datang untuk membeli daripada Harry. Ada yang datang dari Devon, Scotland dan tidak lupa juga seorang wanita dari New York menitipkan mesej buat Harry.
Ujar Puan Clare lagi, Harry begitu gembira sejak terdirinya kedai kejujuran tersebut. Sambil meninjau-ninjau kedainya, Harry juga akan memastikan stok jualannya sentiasa cukup dan ternyata dia benar-benar gembira melakukannya.
Tiba-tiba, keluarga Harry menyedari duit dan bekalan jualan tersebut telah dicuri pada suatu pagi Selasa.
Melihatkan hanya meja dan papan tanda yang tinggal, Harry tidak mengerti mengapa duit dan barangannya dicuri orang. Lebih kurang £40 duit yang telah dicuri. Mungkin bagi sesetengah orang jumlah tersebut tidaklah terlalu besar. Namun tidak buat Harry. Dia bercadang untuk membeli majalah Peter Rabbit dan Paw Patrol dengan menggunakan duit tersebut.
Puan Clare cuba mendirikan semula kedai kejujuran Harry dan berharap agar tiada orang yang akan mencurinya lagi. Dia juga memberitahu Harry bahawa mungkin orang yang mencuri itu terdesak dan sangat memerlukan wang.

Meluahkan rasa simpati terhadap Harry dan kekecewaan terhadap pencuri, pelelong Philip Serrell berkongsi berita kecurian tersebut di Twitter miliknya. Menurut Philip, mungkin pencuri tersebut berasa malu untuk memulangkan semula duit dan barang yang telah dicuri. Namun, jika pencuri itu terbaca akan ciapannya, dia berharap pencuri tersebut tidak akan tidur lena untuk beberapa malam.
Ciapannya mendapat maklum balas daripada ramai orang yang turut meluahkan rasa kasihan kepada Harry.
Selepas berita kecurian yang dihadapi oleh kanak-kanak lima tahun itu tersebar, ramai orang menghulurkan bantuan berupa duit dan hadiah kepada Harry. Mereka sekeluarga berasa terharu dengan sokongan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh orang ramai.
Difahamkan, Harry memutuskan untuk memberikan wang terkumpul yang berjumlah £5,000 kepada Acorns Children’s Hospice.
Biarpun diuji dengan sesuatu yang berat seperti itu, Harry masih mahu berbudi kepada masyarakat. Ternyata, Harry memang seorang kanak-kanak yang mempunyai budi pekerti yang tinggi. Semoga perniagaan kecil Harry tidak lagi disabotaj oleh sesiapa. Selamat maju jaya, Harry!
Pilihan Editor: