PETALING JAYA: Bencana banjir di Bachok, Kelantan jadi bualan warga siber apabila tular video yang memaparkan air bah itu bertukar menjadi warna merah.
Menerusi perkongsian di TikTok Azam Jusoh, air bah merah kelihatan di perkarangan rumahnya dekat Kampung Telaga Bata, kelmarin.
Ramai warga siber yang memberikan pendapat masing-masing ekoran kejadian itu. Antaranya mereka beranggapan pencemaran tersebut berpunca dari tempat pembuatan kain batik.
Selain itu, ada juga yang meluahkan kebimbangan sekiranya kejadian bah merah berulang kembali di negeri itu.
Untuk rekod, air bah merah merujuk kepada bencana banjir besar yang pernah berlaku di Kelantan pada tahun 1926.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila air bah bercampur dengan air pasang yang menyebabkan ia bertukar menjadi merah.
Walau bagaimanapun, menurut Azam Jusoh, kejadian tersebut sebenarnya berpunca daripada pewarna sos yang tumpah dari sebuah kilang berhampiran.
Kosmo! Online melaporkan setakat ini banjir gelombang pertama di Kelantan semakin pulih apabila seramai 34,200 orang mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing susulan cuaca semakin baik di kebanyakan kawasan di negeri itu sejak semalam.