Terdapat sebuah gua yang amat besar di planet Bumi sehingga ia seperti membuka pintu memasuki ke dunia lain. Gua yang mempunyai ekosistem, sungai, pola cuaca bersama awannya sendiri.
Kita merasakan Gua Rusa, Gua Niah, Gua Kelam, Gua Tempurung dan Batu Caves di Malaysia sudah cukup besar dan amat menakjubkan, tetapi saiz Hang Son Doong di Vietnam adalah terlalu besar dan amat luas untuk diterokai, yang memakan masa hampir seminggu buat penjelajah terpilih untuk menyelesaikannya.

Hang Son Doong mula-mula ditemui oleh seorang lelaki tempatan bernama Ho Khanh pada tahun 1990, ketika beliau sedang memburu di Taman Negara Phong Nha-Ke Bang yang terletak di wilayah Quang Binh.

Ho Khanh menemui sebuah pembukaan yang besar di sisi tebing dengan awan bergerak keluar darinya, yang mana pada ketika itu ribut petir sedang menghampiri dan lelaki ini ingin mencari tempat perlindungan.

Ketika memasuki pembukaan tersebut, Ho Khanh mendengar bunyi deras aliran sungai di dalamnya. Tetapi oleh kerana ia merupakan kawasan batu yang curam dan berbahaya, Ho Khanh tidak dapat meneruskan penerokaan yang selanjutnya dengan bergegas meninggalkan lokasi itu sejurus ribut petir reda dan berhenti.

Secara kebetulan, pada masa itu dua orang pakar gua dari British Caving Association (BCA) bernama Howard dan Deb sedang berada di Phong Nha yang dalam pengembaraan mereka untuk mencari gua semula jadi yang baharu.

Ho Khanh telah memberitahu Howard dan Deb mengenai penemuannya itu tetapi malangnya terlupa menanda lokasi sebenar gua berkenaan.
Mengetahui daripada cerita bahawa gua itu mempunyai awan sendiri dan sungai besar bawah tanah, Howard dan Deb sudah boleh membayangkan yang gua itu pasti amat besar dan luar biasa lalu mereka bertiga telah berusaha mencarinya kembali tetapi tidak pernah berjaya.

Sehinggalah dua dekad kemudian pada tahun 2008. Ketika sedang memburu, Ho Khanh telah berjaya menemui kawasan hutan berhampiran dengan pintu masuk ke gua berkenaan, yang berdasarkan dengan apa yang diingatinya pada pertama kali beliau sampai ke lokasi itu.

Kali ini, Ho Khanh telah meletakkan jejak dan menanda lokasi ke gua itu, lantas dengan segera memaklumkan Howard dan Deb dengan penemuannya. Namun ekspedisi meneroka gua terbesar di dunia itu hanya dapat direalisasikan pada tahun 2009 bersama BCA.

Mereka memulakan misi meneroka gua berkenaan, tetapi terhalang oleh cabaran sebuah dinding besar yang digelar ‘Great Wall of Vietnam’. Hanya pada tahun 2010, mereka berjaya merentasi dinding tersebut dan akhirnya berjaya menemukan sebuah lagi pintu gua.

Ketika itu, bersama pelbagai cabaran yang dilalui, penjelajah gua pertama Ho Khanh yang membimbing pakar gua British Howard dan Deb menyedari bahawa gua tersebut adalah gua terbesar pernah ditemui di dunia.
Gua baharu ini mendapat namanya Hang Son Doong yang bermaksud ‘Gua Gunung Bersungai’ dalam bahasa Vietnam.

Hang Son Doong mempunyai ketinggian 198.12 meter dengan lebar 152.4 meter yang mana dua kali lebih besar dari Gua Rusa yang terbesar di Malaysia dan dahulunya gua terbesar di dunia yang terletak di Taman Negara Mulu, Sarawak.

Kini, gua terbesar di dunia yang mampu menempatkan bangunan pencakar langit setinggi 40 tingkat dengan seluruh blok bandar New York itu telah dibuka untuk cabaran penerokaan kumpulan ekspedisi.

Akses kepada pelancong telah dibenarkan pada tahun 2013 tetapi ia sangat terhad, dengan hanya satu pengendali yang menawarkan ekspedisi berkumpulan yang diuruskan secara eksklusif oleh syarikat pelancongan Oxalis.

Perjalanan memasuki Hang Son Doong dan penerokaan gua penuh cabaran memakan masa 5 hari untuk diselesaikan.

Di Hang Son Doong, peneroka baru boleh melihat keindahan mutiara gua sebesar bola besbol, dan stalagmit setinggi 70 meter, bersama pelbagai keindahan alam semula jadi lain yang amat menakjubkan di tapak Warisan Dunia ini.

Dikatakan lebih ramai orang telah berjaya sampai untuk menakluk Gunung Everest berbanding berjaya memasuki dan menawan Hang Son Doong.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: