25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024
UtamaBerita UtamaBayi meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh

Bayi meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh

Kisah menyayat hati mengenai bayi berusia setahun yang meninggal dunia selepas tidak menyedarkan diri di rumah pengasuh menarik perhatian warganet. Selama empat tahun Zulaikha Jarkasi dan suami menunggu kehadiran cahaya mata untuk mewarnai kehidupan mereka suami isteri. Namun siapa yang mampu menolak takdir apabila bayi berusia setahun itu meninggalkan mereka buat selama-lamanya pada penghujung Oktober lalu. Zulaikha menitipkan rasa hibanya di Facebook mengenai kehilangan anak tercinta agar kisahnya itu dijadikan teladan, peringatan buat ibu bapa dan pengasuh di luar sana.

Pada 20 Oktober 2022, seawal 6.30 pagi Zulaikha menghantar bayi lelakinya, Harith ke rumah pengasuh seperti biasa. Dia menyiapkan kelengkapan bayinya sebelum keluar rumah. Pada waktu itu, Harith telah pun bangun daripada tidur dan terus berjaga hingga sampai di rumah pengasuh. Selepas menghantar anaknya itu, dia terus ke tempat kerja.

Pada jam 9.54 pagi, Zulaikha menghantar mesej kepada pengasuh untuk bertanyakan khabar bayinya itu. Selepas hampir dua jam kemudian, pengasuh membalas mesej tersebut dengan mengatakan Harith sedang tidur. Tiba-tiba kurang satu jam selepas itu, Zulaikha mendapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali yang mengatakan Harith berada di bahagian kecemasan dan memintanya untuk datang segera. Zulaikha tidak membuang masa lantas menghubungi suaminya yang berada di rumah. Suaminya sedang tidur di rumah kerana baru pulang daripada kerja syif malam.

Setibanya Zulaikha di bahagian kecemasan, dia melihat Harith dalam keadaan mata terpejam sedang terlantar di atas tandu sambil dikerumuni oleh ramai doktor. Zulaikha berasa buntu dan terkejut dengan apa yang terjadi kerana keadaan Harith baik-baik sahaja ketika dia menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh. Doktor melakukan tugas masing-masing dan selepas hampir 20 minit bertungkus lumus, nadi Harith kembali berdenyut namun tiada tindak balas daripadanya.

Pada 22 Oktober, Harith yang berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPUM belum menunjukkan tanda-tanda untuk sedarkan diri. Matanya masih terpejam rapat. Menurut doktor, jika selepas mereka melakukan CPR ke atas Harith, Zulaikha dan keluarga harus bersedia untuk menghadapi apa sahaja ketentuan. Doktor memerlukan dua hari lagi untuk terus memantau keadaan dan melihat perkembangan Harith.

Pada 23 Oktober, doktor menghentikan semua pemberian sedatif (midamorphine) untuk melihat tahap kesedaran Harith dan akan menunggu hasilnya pada 25 Oktober nanti. Ketika itu, Harith tidak memerlukan bantuan ubatan kerana badannya sendiri berupaya mengepam darah ke seluruh badan dan jantungnya dalam keadaan baik.

Hasil keputusan MRI pada 25 Oktober menunjukkan tiada tindak balas di bahagian otak Harith. Menurut Zulaikha, doktor sendiri tidak tahu apakah puncanya kerana tiada tanda sebarang kecederaan pada luaran tubuh mahupun pendarahan dalam kepala Harith. Keputusan sinar-X juga tidak menunjukkan tanda-tanda Harith tersedak susu. Mereka menanti dengan penuh pengharapan agar Harith kembali sedar dan sihat seperti sedia kala.

Walau bagaimanapun takdir yang tertulis tiada siapa yang mampu menidakkannya. Harith pergi buat selama-lamanya pada penghujung Oktober. “Selamat berehat sayang mamayah dari dunia yang kejam”, begitulah yang diluahkan Zulaikha, menutup kisah perjuangan bayinya itu dan menjawab pertanyaan orang ramai mengenai keadaan anaknya itu.

Zulaikha

Dalam pada itu, Zulaikha turut berkongsi beberapa tanda yang tidak menyenangkan hatinya mengenai cara pengasuhnya itu menjaga Harith. Antaranya ialah pengasuh tidak memandikan anaknya, terdapat garis panjang di dahi Harith dengan alasan terkena bath tub ketika mandi dan bibir lebam dengan alasan bayinya itu menggigit remote TV dan mainan dengan begitu kuat. Zulaikha dan suami walau bagaimanapun masih berfikiran positif tetapi dalam masa yang sama mencari pengasuh lain.

Namun menurut Zulaikha semuanya sudah terlambat. Peristiwa hitam tersebut tidak dapat mengembalikan anaknya ke dalam dakapannya. Zulaikha mengingatkan agar ibu bapa di luar sana menjadikan kisah mereka sebagai iktibar. Manakala buat pengasuh pula, Zulaikha meminta mereka agar berterus terang dengan ibu bapa sekiranya sudah tidak mampu menjaga anak yang diamanahkan.

Sindrom kematian bayi mengejut atau sudden infant death syndrome (SIDS) adalah keadaan kematian bayi yang tidak ketahui puncanya. Ia berlaku dalam kalangan bayi yang berusia kurang daripada satu tahun ketika mereka sedang tidur di tempat tidur mereka. Melalui kajian yang dijalankan, para pengkaji percaya sindrom ini berkaitan dengan keadaan otak bayi yang tidak normal yang menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk bernafas atau arousal ketika tidur.

Menurut Dr Redza Zainol menerusi Twitter, bayi boleh meninggal dunia ketika tidur. Kematian mengejut pada bayi berumur bawah satu tahun secara tiba-tiba tanpa tanda-tanda tertentu seperti penyakit atau sebab yang jelas disebut sebagai SIDS (sudden infant death syndrome).

Menurut Dr Redza, bayi lelaki dan bayi pramatang (bayi yang lahir bawah 37 minggu) berisiko lebih tinggi untuk mendapat SIDS. Kejadian SIDS menurun kepada 5 kes dalam setiap 10,000 bayi sejak American Academy of Paediatrics pada tahun 1992 menyarankan agar ‘jangan benarkan bayi tidur meniarap’. Ini kerana, jika bayi muntah susu dalam keadaan tidur meniarap, susu akan masuk ke dalam salur pernafasan dan sampai ke paru-paru seperti dalam gambar.

Cara untuk mencegah SIDS ialah:

  • Meletakkan bayi dalam posisi menelentang di atas tilam semasa tidur.
  • Gunakan tilam yang leper dan padat (tilam yang bagus akan membuatkan bayi tidak tenggelam ke dalam apabila bayi diletakkan di atas tilam).
  • Elakkan daripada meletakkan mainan lembut seperti patung binatang dan bantal tebal berdekatan dengan bayi yang tidur kerana barang-barang ini boleh terjatuh, tergolek dan menutup hidung bayi.
PEXELS
  • Elakkan tidur bersama bayi. Sebaiknya sediakan katil khas untuk bayi. Terdapat kes di mana bayi meninggal dunia akibat terhempap oleh ibu bapa ketika mereka tidur bersama.
  • Jangan merokok berdekatan dengan bayi kerana bayi yang terhidu asap rokok lebih berisiko untuk mendapat SIDS.
  • Teruskan menyusu dengan susu ibu bagi yang berkemampuan melakukannya kerana risiko SIDS lebih rendah bagi bayi yang menyusu badan.

Oleh yang demikian, ibu bapa dan pengasuh harus peka dengan cara bayi tidur bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI