Ibu tunggal ini tiada pengalaman bertukang tetapi bercita-cita untuk membina rumahnya sendiri di tapak tanah yang telah diberikan oleh ibunya. Kini ustazah berhati cekal ini sedang mengusahakan pembinaan rumah itu dengan titik peluh dan tangannya sendiri.
Memandangkan pada hari ini, harga kos membina rumah amat tinggi kerana kos barang binaan yang terus meningkat, Auni Hazwani Faizun tidak mampu untuk mendapatkan khidmat tukang rumah untuk membina rumahnya sendiri.
“Saya tidak pernah tanya tukang rumah berapa jumlah keseluruhan kalau hendak membuat rumah, tetapi yang pasti bahan mentah semuanya mahal kerana harga barang naik, kalau upah orang lagilah mahal jadi tak mampu,” kata Auni kepada mStar.
Kata Auni, dia terkejut apabila kawannya memberitahu kos membina kandang kambing termasuk upahnya sahaja telah memakan belanja hampir RM10,000.
Itu antara sebab Auni mengambil keputusan nekad untuk membina rumahnya dengan menggunakan tangan sendiri sedikit demi sedikit, sambil secara tidak langsung dapat membina pengalaman dan kepakaran dalam bidang pertukangan.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, rumah yang sedang dibinanya mempunyai dua bilik tidur.
Oleh kerana Auni tidak mempunyai pendapatan tetap yang mencukupi, dia mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman bank menyebabkan pembinaan rumah tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa singkat.
Menurut Auni, dia membuat keputusan membina rumah itu selepas ibunya membahagikan tanah kepada enam adik-beradiknya.
“Saya ada enam adik-beradik yang mana empat menerima tanah di tempat lain, manakala tanah rumah mak dibahagikan kepada saya dan adik. Saya ambil tapak tanah yang ada garaj,” jelas Auni yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Wanita berusia 30 tahun itu berkata dia melakukan dua kerja sebagai tukang kayu dan ustazah yang mengajar al-Quran dan fardu ain di asrama untuk mengumpulkan wang dalam merealisasikan pembinaan rumah itu.
Buat masa ini, Auni sudah menyiapkan bahagian dapur, yang mana pembinaan rumah itu telah dimulakan sejak bulan September tahun lalu.
Katanya, ayah dan adiknya ada membantu pada ketika itu untuk menaikkan tiang rumah kerana ia membabitkan bahagian yang berat, dan selebihnya kini Auni melakukannya sendiri sedikit demi sedikit.
“Pada masa itu sudah ada ikat bata tetapi terhenti sekejap kerana saya dimasukkan ke hospital. Jadi pada 27 Ogos lalu saya mula buat dinding dapur yang tergendala sebelum ini,” jelas graduan Diploma Dakwah dan Pengurusan ini.
Sambil mengakui tidak mempunyai pengalaman membina rumah, Auni berkata dia banyak mempelajarinya dengan bertanya kepada mereka yang arif seperti bapanya yang pernah melakukan kerja ubah suai dapur rumah dan banyak menjadikan video YouTube sebagai tempat rujukan.
“Pengalaman itu tidak ada, tetapi sebelum ini pernah tengok abah ikat bata sendiri. Tetapi masa itu saya hanya lakukan kerja membuat kabinet sahaja. Saya belajar dan tengok tukang rumah membancuh simen sehingga menaikkan dinding,” jelas Auni.
Menurut Auni, dia merasakan tugasan membina rumah tidaklah sesukar yang dibayangkan memandangkan dia sememangnya gemar melakukan aktiviti lasak.
“Hendak kata susah itu, tidak sangat sebab saya sudah biasa dengan benda lasak, yang berat cuma dalam bab membancuh simen, tapi saya buat dalam kuantiti yang sedikit sahaja,” jelasnya.
Auni menambah yang dia yakin akan mampu menyiapkan rumah impiannya pada tahun hadapan.
Meskipun pembinaan rumah idaman Auni mengambil masa yang lama ekoran faktor kewangan, hasilnya pasti akan memuaskan hati kerana rumah itu dibuat dengan usaha kudrat dan tangan sendiri.
Hendak seribu daya, syabas diucapkan kepada wanita gigih ini.
Pilihan Editor: