Overthinking adalah istilah yang sering ditujukan kepada mereka yang terlalu banyak berfikir berkenaan sesuatu secara berlebih-lebihan. Ramai juga yang keliru dengan menganggap sikap ini sebagai sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan. Apabila keadaan ini berlarutan, seseorang itu cenderung untuk menghadapi tekanan dan menyebabkan kemurungan berlaku. Menerusi catatan di Facebook, Dr Rozanizam Zakaria berkongsi cara untuk menguruskan overthinking.
1. Berjaga-jaga apabila kita overthinking.
Overthinking selalunya bermula dengan satu kerisauan, satu fikiran, kemudian apabila difikir-fikirkan kerisauan tersebut bertambah. Oleh itu, kita hendaklah mengenal pasti punca kerisauan itu berlaku agar tidak terperangkap dengan mainan fikiran.
2. Cabar fikiran yang datang.
Apabila sesuatu fikiran itu datang dalam minda kita, jangan terus terima, setuju atau menurutinya. Cuba rasionalkan dahulu fikiran tersebut dengan hujah yang realistik dan praktikal, cari alternatif. Cabar fikiran tersebut dengan bercakap perlahan-lahan kepada diri sendiri. Tidak perlu cakap kuat-kuat, nanti orang lain akan salah faham.
3. Fokus kepada satu solusi yang praktikal.
Masalah memang banyak hingga kadang-kadang tidak termampu untuk diselesaikan. Apabila menghadapi masalah, halakan fikiran kepada satu solusi yang praktikal di mana ia dapat menyelesaikan masalah. Jangan terlalu banyak fikirkan sesuatu dengan ‘kalau begini bagaimana?’, ‘kalau begitu bagaimana?’.
4. Fokus kepada masalah yang berada dalam kawalan anda.
Sebenarnya bukan semua perkara adalah masalah kita. Bukan semua masalah juga perlu diselesaikan pada masa yang sama dan bukan semua perkara perlu untuk difikirkan. Jadi, fokus kepada masalah yang berada dalam kawalan anda sahaja.
5. Sediakan masa untuk refleksi.
Anda harus tahu bagaimana untuk menguruskan apa yang anda fikirkan. Contohnya anda fikirkan tentang persiapan perkahwinan, sediakan ruang dan masa untuk anda fikirkan tentang perkara tersebut. Tidak perlu anda fikirkannya sepanjang masa.
6. Latih keprihatinan.
Dr Rozanizam Zakaria menjemput kita semua untuk belajar tentang perkara ini di YouTube dia kerana topik ini terlalu panjang untuk dihuraikan.
7. Libatkan diri dengan aktiviti.
Sibukkan diri dengan aktiviti yang tidak berkaitan dengan fikiran kita adalah salah satu cara untuk menguruskan overthinking. Contohnya, jika anda asyik fikirkan tentang kerja sahaja, bermainlah dengan kucing. Yang penting, lakukan aktiviti yang tidak ada kena-mengena dengan perkara yang anda fikirkan.
8. Tulis (atau lukis).
Kadang-kadang overthinking juga boleh menjadi produktif jika digunakan dengan cara yang betul, contohnya menulis atau melukis. Mana tahu boleh dijadikan pendapatan pasif. Ini kerana, orang yang overthinking ada masanya mempunyai buah fikiran yang menarik dan unik.
Pesan Dr Rozanizam Zakaria, selepas membaca cara menguruskan overthinking ini, janganlah kita overthinking pula.
Antara cara lain untuk menguruskan overthinking ini ialah:
- Pejamkan mata dan tarik nafas dalam-dalam.
- Lakukan meditasi.
- Lihat sesuatu dengan gambaran yang lebih luas. Fikirkan semula apakah kesan perkara yang anda fikirkan itu kepada anda pada 5 atau 10 tahun akan datang?
- Lakukan kebaikan untuk orang lain.
- Raikan kejayaan yang anda peroleh. Contohnya belanja diri anda makan di hotel, sesekali tidak mengapa.
- Minta bantuan. Jangan lakukan semuanya sendiri. Dapatkan bantuan daripada orang yang anda percayai.
Pilihan Editor: