Baru-baru ini, Indonesia dikejutkan dengan pemergian mengejut seorang petugas kesihatan bernama Dr Helmiyadi Kuswardhana pada usia 41 tahun.
Menurut laporan Detik, Allahyarham Dr Helmi merupakan seorang pakar dalam bidang Ortopedik dan Traumalogi yang aktif menyebarkan ilmu kesihatan kepada orang awam menerusi platform media sosialnya.
Allahyarham Dr Helmi disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 8 malam, 10 Julai lalu.
Ketika kejadian, Dr Helmi sedang bertugas dengan sempat mengendalikan pembedahan ke atas 10 orang pesakit di dua buah pusat rawatan berbeza.
Difahamkan selepas selesai bertugas, Dr Hilmi tiba-tiba mengalami sesak nafas dan diberikan bantuan kecemasan susulan.
Malangnya, ketika dibawa menaiki ambulans untuk dipindahkan ke pusat perubatan lain, Dr Hilmi menghembuskan nafas terakhir akibat Sudden Cardiac Arrest (SCA) atau jantung terhenti mengejut.
Sebelum ini, Allahyarham berada dalam keadaan yang sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Sepanjang bertugas, Dr Hilmi cukup dikenali sebagai seorang doktor yang baik, ceria dan sangat mengambil berat dengan kebajikan kesemua pesakitnya.
Allahyarham pernah menyertai misi kemanusiaan di lokasi bencana alam dan digambarkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya.
Kehilangan doktor disenangi ramai ini cukup memberi kejutan besar dan seluruh rakan taulan berasa terkesan dengan pemergiannya.
Jantung terhenti mengejut atau Sudden Cardiac Arrest (SCA) sebenarnya lebih berbahaya berbanding sakit jantung yang sering dikaitkan sebagai “pembunuh senyap”.
Kebiasaannya situasi itu berlaku secara tiba-tiba, tanpa amaran. Mangsa akan terus tumbang, tiada nadi, gagal bernafas dan meninggal dunia dalam beberapa minit jika tidak dirawat serta-merta.
Jika dibandingkan dengan serangan jantung, dalam kebanyakan kes mangsa masih boleh diselamatkan kerana terdapat pelbagai tanda awal untuk mengenal pasti penyakit itu termasuk sakit di bahagian dada, sukar untuk bernafas, berpeluh dan pening.
Berbeza dengan SCA yang boleh menimpa siapa sahaja termasuk individu yang sihat, cergas dan bebas daripada penyakit jantung.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Intervensi, Hospital Columbia Asia, Petaling Jaya, Dr Nandakumar Ramakrishnan, SCA adalah keadaan di mana jantung seseorang itu terhenti secara tiba-tiba.
“Bagi memahami SCA, kita perlu mengetahui bagaimana jantung berfungsi. Jantung mempunyai sistem elektrik yang mengawal nadi dan irama denyutan jantung. Ia berfungsi untuk mengepam jantung secara teratur.
“Bagaimanapun, apabila berlaku gangguan terhadap sistem elektrik jantung, ia menyebabkan denyutan jantung menjadi tidak seragam dikenali sebagai aritmia,” katanya.
Dr Nandakumar menjelaskan, gangguan aritmia ini menyebabkan jantung berdenyut dalam keadaan yang pelbagai sama ada terlalu cepat, perlahan mahupun tidak seragam.
“Ada aritmia yang menyebabkan jantung berhenti mengepam darah ke dalam badan sekali gus mengakibatkan berlakunya SCA.
“Contoh aritmia jenis ini termasuk ventricular fibrillation (VF) atau pulseless ventricular tachycardia (VT).
“Jika ini berlaku, darah akan berhenti mengalir ke otak dan organ lain yang penting sekali gus menyebabkan mangsa tidak mampu bernafas dan tidak sedarkan diri sehingga boleh membawa maut,” katanya.