Seorang remaja lelaki yang melakukan aksi berbahaya ala ‘Superman’ ketika menunggang motosikalnya di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dia enggan berhenti dan melakukan aksinya dengan lebih teruk lagi.
Malahan remaja itu berani mencabar polis untuk melakukan aksi kejar-mengejar secara liar, untuk meloloskan dirinya.
![](https://www.erabaru.com.my/wp-content/uploads/2022/08/29082022_superman-act_01.png)
Insiden yang menjadi tular di media sosial berikutan tindakan melulu remaja lelaki itu yang melakukan aksi zig-zag dari kiri ke kanan secara berulang kali di lebuh raya.
Dan kemudian bertindak menjadi ‘superman’ sehingga tidak perasan kereta polis sedang mengekori dan merakam aksi berbahayanya itu.
![](https://www.erabaru.com.my/wp-content/uploads/2022/08/29082022_superman-act_02.png)
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 18 tahun dari Bandar Jengka, Pahang itu ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara melulu kira-kira jam 10.30 pagi pada 27 Ogos 2022, lapor Astro Awani.
Hanyan menjelaskan, remaja itu sedang melakukan aksi zig-zag dan ‘superman’ ketika menaiki motosikal Honda EX5 miliknya sejauh kira-kira dua kilometer di Kilometer 248 hingga Kilometer 250 LPT 1 sebelum dia menyedari kehadiran polis sedang memerhatikannya.
![](https://www.erabaru.com.my/wp-content/uploads/2022/08/29082022_superman-act_04.png)
Anggota polis yang berada di tempat kejadian kemudian mengarahkan suspek berhenti tetapi dia enggan malah memecut lebih laju menuju ke arah Plaza Tol Jabor.
Ini mendorong polis mengejar suspek tetapi remaja itu kemudian membuat pusingan U dan memecut melawan arus lalu lintas menghala ke Kuantan, sebelum sekali lagi membuat pusingan U ke Plaza Tol Jabor.
![](https://www.erabaru.com.my/wp-content/uploads/2022/08/29082022_superman-act_03.png)
Ketika cuba melarikan diri daripada polis, motosikal remaja itu terbabas dengan sendiri kira-kira 50 meter dari plaza tol tersebut. Suspek mengalami kecederaan ringan akibat rempuhan dan kemudiannya berjaya ditahan.
Remaja itu kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian awal air kencing ke atas suspek menunjukkan dia tidak positif dadah.
Pilihan Editor: