Seawal usia enam tahun, R Radha Krishnan telah kudung tangan kanannya akibat digilis kereta api selepas terjatuh di landasan. Sejak itu, dia yang kini berusia 34 tahun menjalani kehidupan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU). Walaupun berkeadaan begitu, Radha Krishnan lebih selesa berdikari dengan bekerja daripada meraih simpati orang sekeliling.
Radha Krishnan merupakan anak kelima daripada tujuh beradik. Ibu dan bapanya telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Adik-beradiknya yang lain sudah pun berkahwin dan menetap dengan keluarga masing-masing.
Menurut Radha Krishnan, sebelum ini dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya ialah bekerja di pejabat dan di bahagian khidmat pelanggan.
Namun, sejak tahun 2021 dia cuba bekerja sebagai penghantar makanan. Pendapatan sehari yang diperoleh Radha Krishnan lebih kurang RM60 tetapi ia bergantung pada pesanan pelanggan yang diterimanya. Kebiasaannya, dia menerima banyak pesanan antara jam 11 pagi hingga 2 petang dan 6 petang hingga 10 malam. Tetapi sejak kebelakangan ini, bilangan pesanan berkurangan berbanding sebelum ini.
Selalunya, Radha Krishnan akan menggunakan skuter elektrik untuk bergerak, tetapi jika kenderaan tersebut mengalami masalah, dia akan berjalan kaki. Lagipun tempat untuk mengambil dan menghantar makanan adalah berdekatan antara satu sama lain. Jadi itu tidak menjadi masalah buatnya.
Sepanjang bekerja, Radha Krishnan tidak meminta-minta kerana baginya untuk memperoleh pendapatan dia mesti bekerja dahulu.
Sungguhpun begitu, dia mengakui bahawa dia mendapat layanan baik daripada pelanggan, malah ada yang memberikan tip (wang atau upah tambahan) kepadanya.
Biarpun kelainan upaya, Radha Krishnan seorang yang berpendirian tinggi. Baginya, jika tangan bermasalah, masih ada kaki untuk bekerja dan jika kaki bermasalah, masih ada tangan yang boleh digunakan.
Lagi pula, OKU sekarang boleh mendapat kerja di mana-mana. Oleh itu, terpulang kepada individu tersebut tentang kerja bagaimana yang dia mahu dan mampu lakukan. Tambah Radha Krishnan lagi, jika menunggu sahaja, memang tiada apa yang boleh dilakukan melainkan OKU tersebut benar-benar terlantar dan tidak mampu melakukan apa-apa.
Radha Krishnan menyewa sendirian di sebuah bilik di SS25, Kelana Jaya. Oleh itu, dia harus bekerja untuk membayar sewa rumah selain membeli makanan dan keperluan diri.
“Lagipun, susah lama saya tidak dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seingat saya kali terakhir kira-kira enam tahun lalu,” ujar Radha Krishnan kepada Harian Metro.