Masih ingat dengan cita-cita kita semasa kecil? Setiap kali ditanya apa cita-cita kalau sudah besar nanti, bermacam-macam lah jawapan yang keluar daripada setiap daripada kita. Ada yang mahu jadi askar, ada yang menjadi seorang guru, doktor, polis dan sebagainya.
Seiring masa berjalan kita terkadang lupa dengan cita-cita yang pernah kita ada dahulu. Jadi, ada antara kita yang berjaya merealisasikan cita-cita waktu kecil mereka, dan ada juga yang memutuskan untuk beralih arah. Namun, apa sahaja jalan yang dipilih tiada yang salah dengan keputusan tersebut. Apa sahaja keputusan yang anda ambil, itulah yang terbaik buat anda.
Mendengar tentang cita-cita anak kecil memang mengagumkan. Terkadang fikiran mereka lebih jauh ke hadapan melebihi kita. Misalnya, seperti apa yang diceritakan oleh seorang guru ini mengenai cita-cita anak muridnya yang cukup unik.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang guru, Fathanah Nasir, di akaun Twitter miliknya beberapa hari lalu tentang cita-cita seorang anak muridnya yang ingin menjadi suri rumah tangga yang berpendidikan. Bayangkan anak kecil berusia 8 tahun sudah memiliki cita-cita seperti itu. Apa yang lebih menarik alasan yang diberikan cukup luar biasa, memang mengagumkan!
Saya tertarik dengan cita-cita salah seorang murid saya (Tahun 2). Sedang rakan yang lain mahu bergelar guru, polis, askar dia pula mahu bergelar seorang suri rumah yang berpendidikan. Saya tanya kenapa? Lalu dia menjawab…
Bila saya jadi suri rumah yang berpendidikan maka saya mampu jadi semua yang dicita-citakan rakan lain. Saya boleh jadi guru, saya boleh jadi doktor, boleh jadi chef, saya boleh jadi security. Terdetik dalam hati, Ya Allah macam mana anak seusia ini mampu berfikir sedemikian?
Bila saya tanya lagi, dari mana datangnya mimpi dan cita-cita itu? Dia jawab dari ibu dia. Dia puji kehebatan ibu dia yang mampu urus dia dan adik beradik termasuk ayahnya dengan bermacam pekerjaan dalam satu masa.
Katanya ibu yang gerak awal pagi ke sekolah, ibu yang gerak ayah kerja, ibu buatkan sahur, ibu periksa keadaan suhu badan kami, ibu semak kerja sekolah dan lain-lain. Ibu cakap kena belajar rajin-rajin boleh jadi macam ayah tapi saya nak jadi macam ibu!
Tambahnya lagi, saya percaya cita-cita ini cita-cita yang baik sebab ibu kata kalau buat perkara yang baik Allah sayang.
Dari jawapan murid ini saya teringat dengan petikan buku Memori Bukan Memoir dari Dr. Maszlee Malik yang mengambil kata dari Eleanor Roosevelt:
“Masa depan adalah milik mereka yang percaya kepada keindahan mimpi mereka”.
Kata Dr. dalam penulisannya:
“Bermimpilah! Percayalah dengan keindahan mimpi dan aspirasi kita, pelajari daripada orang lain tentang cara melakukan sesuatu dan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjadikan semua yang kita impikan satu kenyataan”.
Apa pun cita-cita dan mimpi mereka, sebagai pendidik kita bantu realisasikannya. Beri tunjuk ajar, ilmu dan pendidikan yang cukup dan baik.
Semoga mereka membesar dengan penuh ilmu didada.
Sumber: Twitter
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: