KUALA LANGAT: Seorang lelaki disyaki kurang siuman diberkas polis selepas menceroboh sebuah tadika di Teluk Panglima Garang pada 03 April lalu, jam 10.30 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd.Nor@Saleh, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada guru wanita tadika berkenaan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.50 pagi, 01 April lalu.
Menurut guru wanita yang berusia 38 tahun itu, seorang lelaki warga asing telah menceroboh masuk ke dalam tadika dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya. Guru tadika itu pada awalnya memaklumkan bahawa ibu bapa tidak dibenarkan masuk. Namun, lelaki tersebut tidak mengendahkannya malah bertindak merampas topi keledar pelajar yang dipegang oleh guru, seterusnya meluru masuk ke dalam kelas.
“Beberapa bapa kepada anak-anak di tadika tersebut yang menyedari kejadian itu telah bertindak menangkap suspek. Namun melepaskan kembali selepas menyedari suspek tidak siuman,” kata Ahmad Ridhwan.

Hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 23 tahun itu tidak mengeluarkan kata-kata ugutan dan tidak mencederakan sesiapa. Jelas Ahmad Ridhwan lagi, pihak tadika juga tidak menerima pelajar warga asing.
Ketika penangkapan dibuat, suspek yang merupakan warga Bangladesh gagal memberikan dokumen pengenalan diri kepada pihak polis. Menerusi siasatan awal, suspek juga disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Mengikut kenyataan media yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Kuala Langat, suspek ditahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3000 jika disabit kesalahan.

Berikut adalah video yang tular di laman sosial Facebook. Rata-rata netizen menyatakan rasa bimbang mereka akan perihal berkenaan. Mereka turut menasihati pihak tadika dan taska agar lebih berwaspada seperti memastikan pintu pagar sentiasa dikunci.

Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: