Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 untuk bandar-bandar di Malaysia telah mendedahkan Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis adalah bandar paling bahagia dan gembira di Malaysia.
Dikongsi oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), ketiga-tiga negeri itu mendapat skor melebihi 80 peratus dalam kajian bagi bandar di Malaysia.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr Razali Ab Malik mengulas pencapaian itu sambil berkata pembangunan setiap bandar di negeri itu dilaksanakan berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing. Tambahan pula, ia dibangunkan berdasarkan tiga teras di bawah Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045, lapor BERNAMA.
“Tiga teras tersebut adalah membangunkan daerah Seremban dan Port Dickson melalui ‘Malaysia Vision Valley 2.0’ menjadi bandar metropolis yang berdaya saing, inklusif dan bersih,” jelas Dr Razali.
“Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol akan diperkasakan sebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian dan Jelebu sebagai kawasan biodiversiti yang menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi,” tambahnya.
Dengan populasi 1.2 juta, tujuh daerah di Negeri Sembilan memperoleh markah penuh dengan Tampin dinamakan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia dengan skor markah tertinggi 99.5% dan diikuti:
- Jelebu (97.85%)
- Jempol (89.07%)
- Kuala Pilah (88.39%)
- Port Dickson (85.76%)
- Seremban (83.60%)
- Rembau (81.91%)
Manakala di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperoleh markah 91.97 peratus. MBMB berkata, pihaknya telah merangka pelbagai strategi dan menjalankan usaha bagi mempertingkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan negeri Melaka terus mencapai status Bahagia.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, ia merangkumi perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti menyediakan infrastruktur yang baik, mengambil tindakan segera terhadap aduan atau masalah disamping melaksanakan projek pengindahan kawasan sekitar.
Selain MBMB, tiga lagi PBT yang mendapat markah tertinggi ialah:
- Majlis Perbandaran Alor Gajah (98.17%)
- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (89.40%)
- Majlis Perbandaran Jasin (85.48%).

Sementara itu di Perlis, EXCO Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu, Asmaiza Ahmad menyifatkan walaupun hanya mempunyai penduduk lebih 254,000 orang, Perlis mempunyai kemudahan dan prasarana yang setanding dengan negeri lain.
Beliau turut menghuraikan cadangan projek ‘Perlis Inland Port’ (PIP) akan memberi nafas baharu kepada Perlis dalam menyokong pembangunan kawasan sekitar lain di negeri itu. Asmaiza juga menambah Majlis Perbandaran Kangar mencatatkan markah 80.02 peratus dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021.
PLANMalaysia menyenaraikan 80 daripada 114 PBT di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Pemarkahan indeks bahagia diberikan berdasarkan beberapa aspek termasuk kualiti perkhidmatan PBT seperti kebersihan alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: