25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024
UtamaKesihatanCahaya biru tidak baik untuk kanak-kanak dan bagaimana melindungi mereka daripada skrin...

Cahaya biru tidak baik untuk kanak-kanak dan bagaimana melindungi mereka daripada skrin digital?

Kanak-kanak pada abad-21 bukannya tidak mahu mendengar nasihat tetapi mereka kurang gemar jika mereka diarahkan untuk meletakkan telefon atau tablet. Oleh yang demikian, ibu bapa terutamanya perlu menggunakan pendekatan yang lebih santai tetapi tegas dalam mendidik golongan yang ‘rapuh’ ini mengenai penggunaan skrin digital.

Rata-rata kanak-kanak Amerika Syarikat (atau remaja) lebih senang hati menatal atau mengklik skrin telefon atau peranti sehingga sebelum mereka tidur. Sudah tentu perkara ini bukanlah satu budaya yang sihat dalam perkembangan diri dan mental kanak-kanak, namun inilah realiti yang berlaku.

Walau bagaimanapun, ada beberapa sebab yang baik untuk memastikan anak anda tidak terikut-ikut budaya yang tidak sihat ini.

PEXELS

Dalam satu artikel baru-baru ini, kami berbicara mengenai cahaya biru (cahaya HEV), yang dipancarkan daripada skrin komputer, televisyen, peranti mudah alih dan kesannya terhadap mata kita.

Kanak-kanak dan remaja sebenarnya lebih terdedah kepada kesan cahaya biru berbanding kumpulan umur yang lain. Ini disebabkan dua perkara iaitu mata mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk membina perlindungan yang lengkap dan mereka perlu mendapatkan tidur yang secukupnya berbanding orang dewasa.

Cahaya biru mendatangkan kesan buruk terhadap mata kanak-kanak.

Semakin kita meningkat dewasa, kanta mata kita akan beransur-ansur menjadi kuning. Kanta kristal ini melindungi retina. Walaupun kedengaran seperti tidak menyihatkan, ia sebenarnya bertindak sebagai pertahanan semula jadi yang menentang kerosakan UV daripada sinaran cahaya matahari dan sumber cahaya gelombang pendek yang lain.

Menjelang usia 20 tahun, mata kita telah menghasilkan pigmen kuning yang cukup untuk menyerap jumlah cahaya biru yang mencukupi yang melindungi retina kita daripada rosak. Sebaliknya, retina mata yang lebih muda menerima lebih banyak cahaya biru kerana kanta kristal yang lebih jelas.

PEXELS

Cahaya yang dipancarkan daripada skrin sudah tentu jauh lebih rendah berbanding cahaya yang dipancarkan oleh matahari, tetapi ia masih berpontensi untuk membahayakan mata kita khususnya apabila kita memandang sumber cahaya berjam-jam lamanya setiap hari.

Kajian:

Kajian makmal ke atas tikus dan primat (kumpulan mamalia termasuklah orang hutan, monyet dan manusia) menunjukkan pendedahan retina yang berlebihan terhadap cahaya biru terang dalam jangka masa yang panjang mempercepatkan kadar RPE (lapisan sel berpigmen yang menyuburkan sel visual retina) dan kematian fotoreseptor.

Menurut Persatuan Optometrik Amerika, cahaya biru yang boleh dilihat “boleh diserap oleh epitelium pigmen retina (RPE) dan fotoreseptor tertentu (menukar cahaya kepada isyarat yang difahami oleh otak), menjana tekanan oksidatif dan haba setempat”. Tekanan oksidatif telah terbukti membawa kepada pelbagai penyakit mata, termasuk degenerasi makula.

Satu kajian dari Universiti Toledo menemui bukti bahawa cahaya biru daripada peranti digital mengubah molekul penting dalam retina mata kepada pembunuh sel. Mereka mendapati bahawa cahaya biru, khususnya menggalakkan pengumpulan lipofuscins (sejenis pigmen yang dikaitkan dengan penuaan dan kerosakan sel), yang diketahui menyebabkan kesitotoksikan retina. Hasil sampingan beracun daripada pendedahan cahaya biru ini menghalang keupayaan sel untuk mengawal proses utama, membawa kepada ketidakseimbangan kalsium dalam sel, perubahan dalam bentuk sel dan kadar kematian sel yang lebih tinggi.

PEXELS

Dalam jangka masa panjang, molekul sitotoksik ini boleh menyebabkan sejumlah besar sel fotoreseptor retina mati, menyebabkan kita mengalami penglihatan yang semakin teruk dan mungkin juga buta. Penyakit ini dipianggil degenerasi makula dan walaupun ia biasanya bermula pada usia lima puluhan atau lebih, pendedahan yang kerap kepada cahaya yang mempunyai kesan merosakkan pada mata kita mungkin mengurangkan usia itu dengan ketara.

Degenerasi makula tiada penawar seperti yang diulas oleh Kasun Ratnayake, seorang doktor falsafah, pengkaji pelajar, ‘sel fotoreseptor tidak menjana semula dalam mata. Apabila mereka mati, mereka mati untuk selamanya.’

Kita boleh mengandaikan dengan selamat bahawa cahaya yang dipancarkan oleh peranti digital kita tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kesihatan mata kita. Bahkan, bagi kanak-kanak, keterdedahan mereka kepada bahaya adalah lebih besar.

PEXELS

Lebihan cahaya biru menyebabkan kekurangan tidur pada waktu malam.

Cahaya biru sama ada daripada cahaya matahari atau skrin elektronik sangat mempengaruhi kitaran tidur-bangun kita.

Apabila cahaya biru memasuki mata, ia menghantar isyarat kepada otak kita untuk menyekat pengeluaran melatonin, hormon yang bertanggungjawab mengawal tidur kita. Inilah sebabnya mengapa kita sukar untuk tidur walhal sudah tiba masa untuk kita tidur jika kita meluangkan masa menonton televisyen atau menyemak e-mel sejurus sebelum tidur. Ini menunjukkan paras melatonin yang rendah menjadikan badan sukar untuk ‘merasa’ bahawa sudah tiba masanya untuk tidur. Disebabkan itu, berbanding orang dewasa, corak tidur kanak-kanak lebih mudah terjejas akibat tindakan melihat skrin sebelum tidur.

Menurut Yayasan Tidur, keperluan tidur manusia berubah apabila usia meningkat. Sebaik-baiknya, kanak-kanak prasekolah (berusia antara 3 hingga 5 tahun) sepatutnya mendapat tidur selama 10 hingga 13 jam sehari (termasuk tidur siang) manakala kanak-kanak sekolah yang berusia 6 hingga 13 tahun pula sepatutnya mendapat tidur selama 9 hingga 11 jam sehari. Bagi remaja berusia 14 hingga 17 tahun pula seharusnya tidur selama 8 hingga 10 jam. Apabila meningkat dewasa, keperluan tidur telah berkurangan kepada 7 hingga 9 jam sehari. Oleh itu, jumlah cahaya biru yang berlebihan berkemungkinan mengurangkan masa tidur bagi kanak-kanak yang lebih muda.

PEXELS

Shalini Paruthi, seorang doktor pakar dalam gangguan tidur kanak-kanak mengatakan kekurangan tidur dalam kalangan kanak-kanak akan menyebabkan mereka menjadi kurang perhatian, gred yang lebih teruk, tidak hadir ke sekolah, interaksi sosial yang lemah, kerengsaan dan keresahan, serta kemurungan. Hal ini akan menyebabkan pencapaian akademik bagi kanak-kanak itu sendiri terjejas.

Selain itu, kesan daripada kurang tidur dalam kalangan kanak-kanak ialah penurunan fungsi sistem imun, prestasi sukan yang lemah, perubahan hormon dan peningkatan risiko obesiti.

Jika dibandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang mencukupi akan mengalami gangguan terhadap pembelajaran dan perkembangan kognitif. Lebih parah lagi, ia memberi kesan jangka panjang seperti kurang upaya untuk belajar dan mengekalkan perkara baharu, tidak mampu menyelesaikan masalah dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugasan yang dilakukannya.

Bagaimana melindungi mata kanak-kanak daripada cahaya biru?

Walaupun mata anak-anak anda mungkin bercahaya apabila diberikan tablet agar mereka dapat bermain permainan kegemaran mereka atau menonton video YouTube dan remaja kita berpuas hati menghabiskan masa berjam-jam di media sosial, adalah penting untuk mengambil langkah untuk mengatasi kerentanan (mudah menghidapi penyakit) mereka terhadap kesan cahaya biru.

Kebanyakan kanak-kanak sangat teruja saat diperkenalkan peranti seperti iPad dan televisyen kepada mereka. Oleh itu, adalah mustahil untuk menghalang mereka daripada menggunakan peranti elektronik pada masa kini. Mujurlah, beberapa langkah mudah ini boleh menjadikan peranti-peranti tersebut sumber hiburan yang lebih selamat.

PEXELS

1. Tetapkan sempadan.

Strategi pertama ialah mengehadkan penggunaan peranti bagi anak anda seperti telefon mudah alih, komputer riba dan apa-apa sahaja skrin yang memancarkan cahaya biru.

Akademik Pediatrik Amerika mencadangkan bahawa kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun sepatutnya diberikan satu jam sahaja masa untuk melihat skrin dan bayi atau kanak-kanak berusia bawah 2 tahun sepatutnya tidak perlu melihat skrin langsung.

Pada masa dahulu, kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas tidak seharusnya menonton skrin lebih daripada 2 jam setiap hari. Garis panduan terkini membolehkan ibu bapa memilih had masa yang lebih sesuai yang berkesan dengan keluarga mereka tetapi mereka perlu konsisten dan masa tayangan sepatutnya tidak diutamakan berbanding tidur, aktiviti fizikal dan interaksi sosial.

PEXELS

Menetapkan had penggunaan peranti digital adalah sangat penting pada waktu sebelum tidur malah sebaik-baiknya jangan biarkan anak-anak menonton skrin sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur.

2. Cermin mata penghalang cahaya biru untuk kanak-kanak.

Jika anda menghadapi kesukaran untuk berkompromi dengan anak-anak tentang masa penggunaan peranti, anda boleh pertimbangkan untuk meminta mereka memakai cermin mata penghalang cahaya biru supaya dapat mengurangkan kesan buruk penggunaan skrin dalam tempoh yang panjang. Cermin mata tersebut mempunyai kanta berwarna oren khas yang menapis cahaya biru dan ia direka khas untuk kanak-kanak.

GALERI HIDAYAH

3. Menurunkan kecerahan skrin.

Anda boleh mengurangkan keamatan dan jumlah cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti yang digunakan oleh keluarga anda. Salah satu cara yang paling mudah untuk melakukannya ialah dengan menurunkan kecerahan peranti ke tetapan yang paling rendah namun masih boleh dilihat dengan selesa oleh anak anda (anda akan mendapati mata akan menjadi kurang tegang selepas melakukan ini). Anda juga harus bertegas dengan melarang anak-anak menggunakan skrin di dalam bilik yang gelap.

Selain itu, anda juga boleh memuat turun program dan aplikasi untuk peranti peribadi anda yang mengalihkan lampu skrin anda ke arah hujung kuning / panas spektrum warna. Cahaya ini lebih sesuai dengan mata dan tidak akan mengganggu tidur seperti yang dilakukan oleh cahaya biru.

Sesetengah telefon mudah alih pada masa kini telah direka dengan tetapan ‘mod malam’. Dengan adanya pilihan ini, anda boleh menetapkannya untuk bertukar secara automatik apabila tiba waktu petang. Malah, anda boleh mengaktifkan ‘mod malam’ ini sepanjang hari jika anda mahukannya.

4. Sediakan bilik tidur yang menarik untuk anak-anak.

Jika anak-anak anda kerap menggunakan peranti digital dan menghadapi kesukaran untuk mengurangkan penggunaannya sebelum waktu tidur, pertimbangkan untuk memasang lampu dengan warna yang lebih hangat atau cahaya yang kurang terang secara umum. Apabila tiba waktu tidur, bilik yang gelap sepenuhnya adalah yang terbaik (jika mereka selesa tidur tanpa lampu malam).

PEXELS

Selain itu, pastikan tiada telefon mudah alih atau komputer riba di dalam bilik mereka. Ini adalah untuk mengelakkan anak anda daripada menatal skrin sehingga lewat malam.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI