TEMERLOH – Akibat kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19, sepasang suami isteri warga Indonesia dilaporkan terpaksa ‘menjual’ bayi yang baharu dilahirkan. Hal ini dilakukan kerana tidak mampu membayar bil hospital sebanyak RM4,000.
Pasangan dari Lombok yang berusia dalam lingkungan 20-an tersebut tidak mempunyai wang mencukupi bagi mengambil bayi mereka. Selain tidak mempunyai kerja, mereka juga terbeban dengan keadaan rumah sewa mereka di Karak ditenggelami banjir tahun lalu.
Ekoran itu, mereka terpaksa meminta satu pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak sejak berkahwin sembilan tahun lalu menyelesaikan bil tersebut sebelum menghilangkan diri.
Walau bagaimanapun, keadaan menjadi rumit apabila bayi itu tidak boleh didaftarkan sebagai anak angkat kerana memerlukan kehadiran ibu sebenar bagi urusan dokumentasi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengimbau semula kejadian itu, wanita yang dikenali sebagai Hasnah, 33, berkata, dia mengetahui mengenai hasrat wanita Indonesia yang dikenali sebagai Fithiani, 25, yang mencari keluarga angkat bagi anak mereka pada 1 Januari lalu.
Katanya, dia dan suami pernah menyatakan untuk mengambil anak angkat di dalam kumpulan WhatsApp kawasan kediaman di sebuah taman perumahan di di sini.
“Mungkin ada rakan Fithiani yang tahu mengenai hasrat kami dan menghubungi saya untuk mengambil bayi yang dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) pada 30 Disember tahun lalu itu sebagai anak angkat.
“Mereka menyatakan tidak mempunyai wang untuk membayar bil sebanyak RM4,000 kerana terkesan dengan Covid-19 dan ditambah pula rumah mereka di Karak ditenggelami banjir. Mungkin mereka dipindahkan ke HoSHAS dari hospital di Karak,” katanya ketika ditemui.
Menurut Hasnah, gembira dengan tawaran itu kerana masih tidak mempunyai anak walaupun sudah sembilan tahun berkahwin, dia memutuskan untuk membayar bil tersebut dan membawa bayi itu pulang bersama beberapa dokumen yang diberikan pihak hospital.
Namun begitu, pasangan tersebut kemudian terus menghilangkan diri dan tidak dapat lagi dihubungi, malah rumah sewanya di Karak juga sudah dikosongkan.
“Kami buntu untuk melakukan proses seterusnya kerana kehadiran ibu kandung amat penting bagi tujuan pendaftaran bayi sebagai anak angkat yang sah di sisi undang-undang. Ia untuk masa depan anak itu kelak,” katanya.
Ujar Hasnah, sejak bayi itu diserahkan kepada mereka, wanita itu dan suaminya yang dikenali sebagai Bambang langsung tidak pernah berjumpa atau menghubunginya.
“Kami sudah menguruskan segala keperluan untuk tujuan itu di JPN, suntikan pelalian dan usaha mengesan ibu kandung kepada bayi berkenaan, namun sehingga kini masih buntu,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Hasnah meminta Fathiani atau Bambang supaya menghubungi mereka dengan segera bagi meneruskan proses pendaftaran anak angkat mereka.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: