Sebuah kereta dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ke Thailand, terbakar secara tiba-tiba di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan kira-kira jam 8.35 pagi, 14 Mac.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial dan kecoh memperkatakan mengenai kejadian sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Kancil yang terbakar secara tiba-tiba di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang ketika pemandunya sedang mengisi minyak.
Walau bagaimanapun, kejadian kebakaran Perodua Kancil itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan pemilik kenderaan turut menghilangkan diri serta gagal dikesan, lapor Utusan Malaysia.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas. Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M.Nasir berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat tong plastik di dalam kereta terbabit yang disyaki digunakan untuk mengisi minyak bagi tujuan penyeludupan.
“Hasil temu bual dengan pekerja pam di stesen minyak berkenaan, mereka mendakwa ternampak api menyala dari bawah kereta tersebut semasa seorang lelaki sedang mengisi petrol di pam nombor tujuh,” katanya.
Api itu kemudian telah merebak di bahagian belakang kereta manakala lelaki terbabit terus bertindak melarikan diri.
Saksi turut memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran itu berlaku.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, maklumat berkaitan suspek berusia 36 tahun telah diperolehi hasil maklumat yang disalurkan orang awam dan usaha mengesan suspek yang beralamat di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.36 pagi.
“Seramai enam anggota dari BBP Rantau Panjang telah bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran serta menyelamat. Kita mengambil masa selama tiga minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: