Selepas penemuan beberapa varian Koronavirus, kini muncul satu lagi varian Koronavirus baharu yang telah dikenal pasti, yang mengandungi unsur Delta dan Omicron.
Apakah Deltacron?
Deltacron ialah varian Covid yang mengandungi unsur Delta dan Omicron – dengan kata lain, ia mengandungi gen daripada kedua-dua varian ini, menjadikannya apa yang dikenali sebagai virus ‘recombinant’.
“Recombinant ini timbul apabila lebih daripada satu varian menjangkiti orang yang sama, dalam sel yang sama,” kata Prof Lawrence Young, ahli virologi di Universiti Warwick. “Deltacron ialah produk daripada kedua-dua varian Delta dan Omicron yang merebak dalam populasi yang sama.”
Komuniti saintis global, Gisaid, baru-baru ini ada berkongsi maklumat mengenai virus tersebut dan memuat naik bukti kukuh pertama mengenai varian tersebut yang telah dikongsi oleh Institut Pasteur di Perancis.
Di manakah varian ini ditemui?
Gisaid berkata varian itu telah dikenal pasti di beberapa wilayah di Perancis dan nampaknya telah merebak sejak awal tahun ini. “Genom dengan profil yang sama juga telah dikenal pasti di Denmark dan Belanda,” kata Gisaid.
Terdapat juga laporan Deltacron dikesan di AS, dan kira-kira 30 kes telah dikesan di UK, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA). Akhbar ‘The i’ berkata, kes pertama penularan Deltacron di UK disahkan minggu lalu.
Dr Etienne Simon-Loriere dari Institut Pasteur memberi amaran bahawa mungkin terdapat beberapa gabungan varian berbeza yang terbentuk daripada Delta dan Omicron.
“Kami mungkin perlu mencari nama lain untuk menunjukkan gabungan ini, atau mula menambah nombor,” katanya.
Sejauh manakah kita perlu risau akan varian ini?
Pakar telah menekankan bahawa varian ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, dan Deltacron bukanlah varian yang pertama dan bukan yang terakhir.
“Ini berlaku apabila kita berada dalam tempoh peralihan daripada satu varian dominan kepada varian yang lain, dan biasanya merupakan rasa ingin tahu saintifik tetapi tidak lebih daripada itu,” kata Dr Jeffrey Barrett, yang sebelum ini mengetuai inisiatif genomik Covid-19 di Institut Wellcome Trust Sanger.
Memandangkan hanya sebilangan kecil kes Deltacron yang dikenal pasti setakat ini, masih belum terdapat data yang mencukupi tentang sejauh mana varian ini bahaya dan sejauh mana juga vaksin berfungsi ke atasnya.
Soumya Swaminathan, ketua saintis di Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada hari Selasa telah melakukan ciapan di Twitter yang berbunyi: “Kami tahu recombinant boleh berlaku, pada manusia atau haiwan, dengan pelbagai variasi #SarsCoV2 merebak. Kita perlu menunggu keputusan eksperimen untuk menentukan sifat virus ini. Data seperti penjujukan, analitik dan perkongsian data pantas semasa adalah penting untuk menangani wabak ini.”
Prof Young bersetuju dengan mengatakan, “Kita perlu memerhatikan tingkah laku varian ini dari segi keupayaannya untuk merebak dan tindak balasnya terhadap vaksin,” katanya.
Memandangkan virus itu terus merebak, terutamanya dalam populasi yang kurang divaksinasi, ada kemungkinan besar kita boleh melihat lebih banyak varian termasuk yang dihasilkan melalui penggabungan semula.”
Walau bagaimanapun orang ramai dinasihatkan tidak begitu panik. Menurut UKHSA, varian itu tidak menunjukkan kadar pertumbuhan yang membimbangkan. Namun begitu, perkembangan varian ini akan tetap terus dipantau. Vaksinasi yang diambil sebelum ini dikatakan mampu memberikan sekurang-kurangnya perlindungan terhadap varian ini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: