Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa dilanda cuaca panas dan hujan sepanjang tahun.
Antara fenomena yang biasa berlaku di negara ini adalah seperti hujan lebat, ribut petir dan banjir kilat.
Namun, hujan batu adalah suatu fenomena yang jarang berlaku tetapi apabila ia melanda negara, ramai yang pasti tertanya-tanya bagaimana ia terjadi.

Terbaharu pada Sabtu lalu, penduduk di Subang Jaya telah digemparkan dengan fenomena hujan air batu yang menghentam kediaman masing-masing.
Menerusi video yang tular di Facebook SJ Echo, video pendek ini memaparkan secara jelas detik-detik hujan air batu turun dari langit.
Fenomena ini ternyata membuatkan ramai pihak terkejut sekali gus memberikan kita peluang untuk melihat ‘salji’ buat pertama kalinya di Malaysia.

Berikut merupakan fakta-fakta penting tentang hujan air batu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia:
- Hujan batu biasanya berbentuk bulat atau gumpalan ais yang tidak sekata dan merupakan pepejal yang terhasil oleh awan ribut petir (kumulonimbus).
- Pada paras ketinggian tertentu, suhu adalah di bawah takat beku dan proses pemeluwapan berlaku pada debu-debu atau partikel lain yang disebut sebagai nuklei kondensasi.
- Hujan air batu terbentuk ketika arus angin yang kuat membawa bersama titisan air ke lapisan atmosfera yang cukup tinggi sekali gus membuatkan titisan air berkenaan membeku.
- Hujan air batu juga berlaku disebabkan ais yang terbentuk di dalam awan gagal cair sebelum mencecah bumi.
- Memandangkan Malaysia beriklim khatulistiwa dan sering dilanda musim tengkujuh, maka peluang untuk fenomena air hujan batu melanda negara adalah sangat tinggi