Setiap individu pasti mempunyai pengalaman sesat di sesuatu tempat yang baru dikunjungi ditambah pula jika anda seorang yang segan bertanya. Bak kata pepatah, “malu bertanya sesat jalan”. Cuba anda bayangkan jika seseorang yang mempunyai masalah penglihatan meminta bantuan anda tentang arah jalan, apa agaknya yang akan anda lakukan?
Baru-baru ini, sebuah saluran YouTube Korea Selatan yang dikenali sebagai JAYKEEOUT telah menjalankan eksperimen sosial dengan meminta seorang YouTuber buta untuk berlakon sebagai seseorang yang sedang sesat. YouTuber yang terkenal dengan gelaran OneshotHansol itu sudi untuk terlibat dalam eksperimen ini untuk melihat sejauh mana reaksi masyarakat Korea untuk membantu seseorang yang sesat.
Untuk pengetahuan anda, OneshotHansol bukanlah seorang yang buta sepenuhnya. Dia masih mampu melihat namun penglihatannya agak kabur meskipun secara fizikalnya, dia kelihatan seperti manusia dengan penglihatan yang normal.
Pada awal video, Hansol cuba untuk menarik perhatian orang lalu-lalang namun kebanyakannya sekadar berlalu pergi tanpa menghulurkan bantuan. Ada juga segelintir individu yang cuma memberikan jawapan ringkas sambil menunjukkan arah lokasi yang ingin dituju Hansol. Selepas itu, mereka turut berlalu pergi dalam keadaan segera.
Hansol kemudian mula mengubah strategi dengan memaklumkan kepada orang yang lalu tentang masalah penglihatan yang dialaminya. Sejurus itu, orang awam mula berhenti dan memberikan perhatian lebih kepadanya. Mereka turut menawarkan bantuan untuk membawa Hansol ke lokasi yang ingin dituju.
Terdapat sebilangan individu yang menjelaskan bahawa sekiranya mereka tahu Hansol mempunyai masalah penglihatan, mereka pasti akan terus menghulurkan bantuan dengan membawa Hansol ke tandas atau kafe kopi. Ada juga seorang individu yang baik hati sentiasa memandang ke belakang untuk memastikan Hansol mengikutinya ke kafe berkenaan. Setibanya di kafe, lelaki itu membukakan pintu dan memastikan Hansol selamat sebelum berlalu pergi.
Salah satu detik yang paling menyentuh hati adalah apabila tindakan seorang pemuda berbaju hitam yang sudi menghulurkan sikunya untuk dipegang oleh Hansol. Tindakan lelaki ini dianggap sebagai terbaik kerana kita tidak digalakkan untuk memegang bahu atau menolak individu yang buta sebaliknya, membiarkan mereka memegang kita dan perlahan-lahan berjalan ke tempat yang dituju.