32.6 C
Kuala Lumpur
Monday, July 21, 2025
Utama Blog Laman 7

Mengembalikan keindahan tamadun China 5000 tahun, pameran seni “Laluan Sutera” berakhir dengan kejayaan

0

Pameran Seni Sutera “Laluan Sutera” anjuran Global Renaissance Collections yang berlangsung selama 13 hari berakhir dengan jayanya pada Isnin, 16 September yang diadakan di The Shoppes at Four Seasons Place di Kuala Lumpur. 

Acara itu mempamerkan karya agung seni sutera indah Shen Yun Collections, yang menghidupkan semula keindahan tamadun China purba dengan sejarah berusia 5,000 tahun. Pengunjung yang datang dari seluruh dunia menyatakan kekaguman selepas menyaksikan gabungan bijak antara tradisi dan inovasi kontemporari karya yang menghubungkan budaya Timur dan Barat.

Pameran Seni Sutera “Laluan Sutera” anjuran Global Renaissance Collections yang berlangsung selama 13 hari di The Shoppes at Four Seasons Place di Kuala Lumpur berakhir dengan kejayaan pada 16 September. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Pameran yang bermula pada 4 September itu mengadakan sesi perkongsian selama 30 minit dengan penerangan tentang kekayaan sejarah Laluan Sutera dan kisah-kisah menarik di sebalik setiap karya seni sutera berkenaan. Setiap sesi ini telah menarik perhatian lebih ramai pengunjung, terutamanya pada hujung minggu.

Pameran Seni Laluan Sutera mendapat sambutan serta perhatian para pengunjung dari dalam dan luar negara. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Setiausaha sulit kepada Pengarah Media Sosial Wilayah Persekutuan, Sekretariat Media Perpaduan Dato’ Mohd Faizal Abd Raman memuji acara itu kerana berjaya mempromosikan warisan pelbagai budaya di Malaysia. Beliau menekankan bagaimana budaya Cina juga boleh dipromosikan di bawah nama Malaysia kerana ia secara tidak langsung memperkenalkan tradisi unik masyarakat Cina tempatan, yang bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan menerusi budaya tetapi juga meningkatkan industri pelancongan Malaysia.

Setiausaha sulit kepada Pengarah Media Sosial Wilayah Persekutuan, Sekretariat Media Perpaduan Dato’ Mohd Faizal Abd Raman. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Dato’ Seri CW Gan, Presiden Piagam Lions Club of United City Kuala Lumpur, berkata pameran tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya. Terutama ketika beliau begitu tertarik dengan karya seni “Manchurian Elegance”, yang disifatkan olehnya sebagai satu karya agung dan memberi impak yang mendalam dari segi budaya. Tenaga yang terpancar daripada karya seni sutera ini menawarkan manfaat yang memberikan kesan mendalam terhadap para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, melangkaui kaum, agama dan kepercayaan. 

Dato’ Seri CW Gan, Presiden Piagam Lions Club of United City Kuala Lumpur. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Turut mengagumi karya seni sutera agung ini ialah Puan Amelia Mariadass, finalis Miss Tradisi Malaysia 2024. Beliau mengulas karya ini berjaya menyerlahkan peranan wanita dalam masyarakat yang digambarkan dengan penuh keanggunan disamping mengagumi maksud tersirat yang dibawakan dalam setiap karya.

Puan Amelia Mariadass, finalis Miss Tradisi Malaysia 2024. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Penganjur Global Renaissance Collections berkata pameran ini berjaya menarik pelancong antarabangsa dari pelbagai negara termasuk India, Kazakhstan, Maghribi, Turki, Lithuania, Belgium, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Hong Kong, berikutan tema yang dibawa menonjolkan daya tarikan global seni sutera.

Sesi penerangan dan pengenalan tentang kekayaan sejarah Laluan Sutera serta kisah-kisah menarik di sebalik setiap karya seni sutera menarik perhatian para pengunjung. (Gambar ihsan Global Renaissance Collections)

Pameran ini ditaja oleh The Shoppes at Four Seasons Place Kuala Lumpur, penaja gangsa Qualitea Cafe dan Mount Austin Restaurant serta penaja khas SHS Construction Works.

Penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja, pengunjung dan pasukan Shen Yun Collections kerana menjayakan acara ini dengan penuh gemilang.

Rangka manusia berusia 16,000 tahun ditemui di gua-gua di Malaysia

0

Ahli arkeologi menemukan lebih daripada belasan rangka manusia dipercayai berusia 16,000 tahun ketika mereka menyelidik gua-gua di Malaysia.

LIVE SCIENCE

Gua-gua yang terletak di Lembah Nenggiri kira-kira 215 kilometer utara Kuala Lumpur akan menjadi tasik seluas 53 kilometer persegi jika takungan tersebut diisi seperti yang dirancang pada pertengahan 2027.

Ahli arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Zuliskandar Ramli memberitahu Live Science bahawa kebanyakan rangka yang ditemui kelihatan berasal daripada budaya prasejarah Neolitik di rantau tersebut.

Terdapat beberapa orang ahli akademik mengatakan bahawa ini adalah cabang daripada budaya pemburu-pengumpul Hoabinhian, yang mencipta alat batu yang khas ditemukan di bahagian lain Asia Tenggara, dari barat daya China hingga Indonesia.

Dalam pada itu, para saintis juga berpendapat bahawa masyarakat Hoabinhian menggunakan banyak tumbuhan liar – termasuk lada, kacang buncis besar dan buah pinang – yang kini telah dipelihara di rantau ini.

Ramli yang mengetuai proses penggalian di Lembah Nenggiri berkata, pasukannya telah menemukan sejumlah 16 individu yang dikebumikan di 13 gua batu kapur di empat lokasi.

Lima belas rangka yang ditemui dikebumikan dalam posisi membongkok atau “sepenuhnya meringkuk”, yang menunjukkan pengebumian prasejarah Neolitik di rantau ini, kata Ramli.

LIVE SCIENCE

Namun, terdapat satu rangka yang dikebumikan dalam posisi terlentang menunjukkan ia berasal dari zaman Neolitik kira-kira 6,000 tahun yang lalu.

Selain daripada 16 rangka, ahli arkeologi telah mengumpul lebih daripada 71,000 buah artifak prasejarah dari gua-gua berkenaan.

Kebanyakan artifak yang ditemui tersebut adalah serpihan alat batu yang telah diolah, ribuan kepingan tembikar serta hiasan batu.

Bernama melaporkan bahawa kerja arkeologi di tapak Lembah Nenggiri bermula pada Mac 2022 dan berakhir pada Oktober 2023.

Salah satu penemuan yang paling utama adalah rangka manusia lengkap dalam sebuah gua yang dinamakan Gua Keledung Kecil yang dianggarkan bertarikh antara 14,000 hingga 16,000 tahun yang lalu.

“Ini adalah rangka paling lengkap dan tertua dalam posisi sepenuhnya meringkuk yang ditemui di negara ini,” Kata Ramli kepada Live Science.

LIVE SCIENCE

Kebanyakan artifak yang ditemui adalah barangan kubur yang sengaja dikebumikan dalam gua bersama dengan mayat, kata Ramli.

Terdapat barang kubur biasanya termasuklah alat batu, mineral hematit, atau oker merah dan kristal.

Kata Ramli lagi, barang kubur termasuk gelang batu, alat batu yang digilap, dan kepingan tembikar ditemui dalam kubur dari zaman Neolitik.

Projek hidroelektrik Nenggiri dijangka menelan belanja 5 bilion Ringgit Malaysia, atau lebih daripada 1 bilion Dolar Amerika Syarikat.

LIVE SCIENCE

Pembinaan empangan itu dijangka menyediakan 2,000 peluang pekerjaan kepada Orang Asli dan penduduk tempatan lain, lapor Bernama.

Namun, pengkritik berkata empangan itu akan memberi kesan negatif kepada kampung Orang Asli di sepanjang sungai Nenggiri dan akan menenggelamkan tanah leluhur dan hutan mereka.

Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada Selasa ini

0

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada Selasa ini (24 September) dan berterusan hingga awal November depan.

BH ONLINE

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Metreologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip dalam satu kenyataan, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula sejak 17 Mei lalu.

Fasa ini akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan berpotensi menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.”

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” Katanya.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” Katanya.

Pendapatan zoo naik mendadak gara-gara anak badak air

0

Kepopularan anak badak air yang tular baru-baru ini telah meningkatkan pendapatan zoo secara mendadak kurang daripada tiga minggu.

MOTHERSHIP

Pendapatan Zoo Terbuka Khao Kheow naik mendadak hasil daripada jualan tiket bernilai 12.97 juta Baht (RM1.64 juta) untuk 19 hari pertama September.

Difahamkan sekitar 81,786 orang pengunjung telah datang ke zoo untuk melihat sendiri anak badak air yang dikenali sebagai Moo Deng.

Menurut pengarah zoo tersebut, Narongwit Chodchoy, bilangan pelawat meningkat sebanyak 50 peratus susulan orang ramai berminat terhadap anak badak air ini.

Bangkok Post melaporkan Zoo Terbuka Khao Kheow menjangkakan populariti Moo Deng ini akan berterusan sepanjang tahun.

Pihak zoo berkenaan meramalkan jumlah bilangan pelawat akan melebihi satu juta dan zoo akan beroleh pendapatan sebanyak 200 juta Baht (RM25.2 juta).

Tambahan itu pula, dijangkakan lebih ramai pelawat asing terutamanya dari negara-negara Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan akan membanjiri zoo berkenaan.

Baru-baru ini, zoo tersebut melancarkan siaran langsung 24 jam yang memaparkan pelbagai haiwan yang mereka pelihara.

Bangkok Post dalam kenyataan lain berkata, lebih ramai pelawat datang berkunjung antara pukul 7.45 pagi dan 9 pagi untuk melihat Moo Deng, ketika sesi penyusuan ibunya, Jona, pada waktu tengah hari dan apabila Moo Deng lebih aktif semasa kakitangan membersihkan kandangnya.

Mereka yang ingin melihat Moo Deng secara langsung perlu beratur dan hanya dibenarkan menonton anak badak air ini selama lima minit semasa waktu puncak.

Jika pengunjung ingin melihat lebih lagi anak badak air ini, mereka perlu beratur semula.

MOTHERSHIP

Moo Deng menjadi tular sejak Ogos lalu selepas gambar-gambarnya yang menunjukkan perwatakannya yang ceria tersebar di media sosial.

Pada 8 September lalu, Zoo Terbuka Khao Kheow mengumumkan pelancaran koleksi pakaian yang diilhamkan oleh Moo Deng sebagai sebahagian daripada barangan zoo.

Untuk makluman, Mandai Wildlife Reserve memaklumkan bahawa badak air pygmy ini diklasifikasikan sebagai spesies terancam.

Kumpulan badak air ini boleh hidup sehingga 43 tahun di bawah penjagaan manusia dan endemik kepada di bahagian atas hutan Guinea di Afrika Barat.

Kulit badak air yang kehitaman kelabu itu membantu mereka untuk kekal sejuk dalam iklim lembap. Disebabkan mereka mudah terhidrat di bawah matahari, mereka banyak menghabiskan masa berendam di dalam air.

Badak air jenis pygmy ini tidak mempunyai kelenjar peluh, tetapi kulit mereka mengeluarkan cecair berwarna merah jambu. Tujuannya adalah untuk melindungi kulit daripada matahari, memberikan penampilan yang lebih berkilat dan basah.

Bumi akan menerima ‘bulan’ baru bermula 29 September tetapi usianya singkat hanya 2 bulan 

0

Bumi akan menerima pendamping kosmik baru kerana satu asteroid mini sedang dalam laluan untuk memasuki orbit planet ini selama kira-kira dua bulan.

Bermula 29 September, ‘bulan mini’ ini akan membuat satu orbit mengelilingi Bumi sebelum bergerak ke rantau lain dalam sistem suria.

Asteroid selebar 33 kaki (10 meter), yang dinamakan 2024 PT5, mula dikesan pada 7 Ogos oleh Asteroid Terrestrial-Impact Last Alert System (ATLAS) milik NASA.

Gambar Hiasan / buradaki / Shutterstock

Penyelidik menjejaki trajektori ‘bulan-mini’, dan mendapati ia akan menetap secara singkat di medan graviti Bumi sehingga 25 November.

Apabila objek angkasa menghampiri Bumi iaitu asteroid dan komet – berada dalam jarak 28 juta batu dari orbit Bumi, ia mengikuti laluan berbentuk ladam.

Orbit membawa objek ini lebih dekat ke planet bumi pada kelajuan relatif rendah, yang buat sementara waktu terperangkap di orbit Bumi seperti yang akan dialami 2024 PT5.

Penyelidikan terdahulu menunjukkan batu angkasa ini tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi, tetapi penyelidik dinamik asteroid dari Universiti Complutense Madrid mengesyaki ia boleh menetap buat sementara waktu di medan graviti Bumi.

Ahli astronomi membuat simulasi bagaimana rupa asteroid 2024 PT5 di angkasa lepas. (Gambar Daily Mail)

Para penyelidik menganalisis data mengenai saiz asteroid, kelajuan perjalanan dan trajektori anggaran laluannya dalam tempoh dua bulan selepas penemuannya pada bulan Ogos.

Kajian itu mendapati batu angkasa berkenaan akan memasuki orbit Bumi sebagai bulan mini bermula 29 September hingga 25 November, mengelilingi bumi hanya sekali dalam masa 53 hari sebelum beredar kembali ke angkasa.

Tony Dunn, ahli astronomi amatur yang mencipta simulasi orbit, memuat naik gambaran animasi laluan 2024 PT5 yang akan diambil semasa ia mengelilingi bumi. Dunn tidak terlibat dalam kajian itu.

@tony873004 / X

Memerhatikan trajektori asteroid juga membolehkan penyelidik mengesannya kembali ke asal-usulnya.

Mereka membuat kesimpulan bahawa ia berkemungkinan besar berasal dari lilitan asteroid Arjuna, sekumpulan asteroid dengan orbit mengelilingi matahari yang serupa dengan Bumi.

Para penyelidik menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Research Notes of the American Astronomical Society.

Tetapi Paul Chodas, pengarah Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi di Makmal Jet Propulsion (JPL) milik NASA yang tidak terlibat dalam kajian itu, memberitahu New York Times bahawa 2024 PT5 mungkin mempunyai cerita asal-usul yang berbeza.

@tony873004 / X

Pergerakan masa lampau asteroid berkenaan mencadangkan ia “mungkin serpihan ‘ejecta’ daripada impak pada bulan,” kata Chodas, bermakna bulan mini ini mungkin serpihan yang terpecah keluar dari bulan sebenar.

Asteroid 2024 PT5 bukanlah yang pertama berkeliaran di planet bumi untuk seketika. Malah, batu angkasa ini mengikuti laluan sama dengan asteroid terdahulu yang dipanggil 2022 NX1, yang menjadi bulan mini untuk tempoh singkat pada 2022.

Tetapi terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai sama ada asteroid ini secara teknikal dikira sebagai bulan mini sebenar. Untuk berkelayakan menerima gelaran bulan, asteroid mesti melengkapkan sekurang-kurangnya satu orbit penuh mengelilingi Bumi.

“Ia pasti tidak akan melengkapkan satu revolusi penuh dalam sistem Bumi-Bulan pada musim luruh ini, jadi saya tidak pasti boleh mengklasifikasikannya sebagai bulan mini,” kata Lance Benner, penyiasat utama program penyelidikan radar asteroid di JPL NASA , memberitahu New York Times. Benner juga tidak terlibat dalam kajian itu.

Tidak kira bagaimana anda semua mengklasifikasikan pelawat berorbit ini, asteroid seperti 2024 PT5 berfungsi sebagai peringatan akan semua lalu lintas angkasa yang mendesing melalui Bumi dan kepentingan menyelidik interaksinya dengan planet kita.

PDRM tahan beberapa lagi individu penting berkaitan GISBH

0

Kuala Lumpur: PDRM meneruskan tindakan tegas dengan menahan beberapa lagi individu penting berkaitan GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu.

BERNAMA

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan, ketua pegawai eksekutif Global Ikhawan Services and Business Holding (GISBH) itu antara 19 individu yang ditahan oleh Bahagian D8 Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D14 Bukit Aman.

Penahanan tersebut adalah hasil pemeriksaan serentak yang dilakukan di empat unit kediaman di Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.

12 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 25 hingga 65 tahun pula direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan mengeksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyuludupan Migran 2022.

Penangkapan itu dilakukan susulan penahan lima individu termasuk anak pengurusan tertinggi syarikat itu di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand, semalam.

Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat GISBH yang dipercayai digunakan untuk meloloskan diri ke negara jiran.

BERNAMA

Lima individu berusia 30 hingga 41 tahun itu juga telah ditahan dan direman selama seminggu di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Jelas Razarudin lagi, beliau memberi jaminan akan meneruskan siasatan melibatkan GISBH secara berperingkat ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu di Seremban, tiga orang pembantu pelajar sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima orang kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mereka bertiga didakwa di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017).

Pendakwaan terbaharu itu menjadikan setakat ini seramai lima individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Tuduhan tersebut termasuklah pendakwaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada 12 September lepas atas empat tuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban bulan lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Mohamad Riza Makar, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 September lepas yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

JSJ Bukit Aman melakukan Op Global sejak 11 September dengan menyerbu 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan berjaya menyelamatkan 402 orang kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 orang lelaki dan 201 orang perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Dalam satu kenyataan lain, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” Titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan bahawa perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati,” Titah Yang di-Pertuan Agong.

Ombak besar di Pulau Pinang, Pulau Pangkor kejadian luar biasa

0

KUALA LUMPUR: Ombak besar di Pulau Pinang, Pulau Pangkor kejadian luar biasa menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.

BH ONLINE

Ujar Mohd Hisham, situasi tersebut terjadi kerana kehadiran bersekali fenomena air pasang besar yang disebabkan oleh perigee iaitu kedudukan bulan hampir dengan bumi dan bulan penuh serta angin barat yang bertiup kencang.

“Hujan berterusan serta keadaan laut bergelora yang berlaku di utara Semenanjung disebabkan angin barat yang bertiup kencang dan bertumpu di kawasan berkenaan,” Katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Hisham, METMalaysia telah menjangka lebih awal keadaan terbabit dengan mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora di perairan Selat Melaka Utara dan Phuket, Thailand pada 12 September bagi tempoh kuat kuasa bermula Ahad lepas hingga hari ini.

Tambah Mohd Hisham lagi, amaran itu telah dikemas kini semalam dengan tempoh kuat kuasa dilanjutkan hingga Sabtu ini.

“Selain itu, METMalaysia juga telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (WASPADA) pada 13 September bagi tempoh kuat kuasa bermula 15 hingga 19 September di Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak bagi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” Katanya.

Justeru, katanya orang awam diminta supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dengan melayari laman web serta media sosial METMalaysia.

Semalam, tular beberapa kejadian fenomena ombak besar yang melanda kawasan antaranya pesisir Pulau Pinang terutama di sekitar Pantai Bersih di Butterworth.

Klip video yang dirakam peniaga di kawasan Pantai Bersih dan di R&R Bagan Ajam serta menularkannya di media sosial itu memaparkan ombak yang memasuki premis perniagaan sehingga menyebabkan peralatan perniagaan, namun tiada kecederaan berlaku.

Selain Pantai Bersih dan R&R Bagan Ajam yang popular dalam kalangan penduduk untuk bersantai pada waktu malam, beberapa lokasi seperti Padang Kota atau dikenali sebagai Esplanade turut terjejas apabila air laut melimpah masuk hingga medan selera Medan Renong.

Menerusi video tular, kelihatan pelanggan di medan selera itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dan barangan mereka daripada basah manakala peniaga bergegas menyelamatkan barangan perniagaan.

Turut tular ialah beberapa video menunjukkan ombak besar dan bergelora di Pulau Pangkor termasuk di Teluk Nipah, Perak.

Tupperware fail bankrap selepas bergelut dengan penurunan jualan

0

Tupperware fail bankrap di bawah Bab 11 (Chapter 11) di Amerika Syarikat, selepas bergelut dengan penurunan jualan produknya.

Pada 17 September, syarikat yang berpusat di Orlando, Florida itu mengumumkan bahawa ia akan memohon kelulusan mahkamah untuk memulakan proses penjualan perniagaan serta meneruskan operasi semasa prosiding kebangkrapan berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware, Laurie Ann Goldman, berkata proses ini akan membolehkan syarikat meneruskan “alternatif strategik” untuk menggerakkan transformasinya menjadi perniagaan yang “berfokus digital dan berpandukan teknologi”.

“Pada beberapa tahun terakhir, kedudukan kewangan syarikat telah terjejas teruk disebabkan persekitaran makroekonomi yang mencabar,” Kata Goldman dalam satu kenyataan. “Justeru, kami telah meneroka pelbagai pilihan strategik dan mendapati ini adalah keputusan terbaik untuk masa depan,” Tambahnya.

Goldman menyatakan bahawa syarikat akan terus menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan sepanjang proses ini. Tupperware turut menegaskan bahawa tiada perubahan pada perjanjian perunding jualan bebasnya.

Tupperware telah cuba memulihkan perniagaannya selama kira-kira empat tahun selepas melaporkan penurunan jualan selama enam suku berturut-turut sejak suku ketiga tahun 2021, di mana inflasi yang berterusan menyebabkan pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang berbelanja.

Ditubuhkan pada tahun 1946, pengeluar bekas penyimpan makanan ikonik ini melaporkan kerugian operasi sebanyak $28.4 juta pada tahun 2022, selepas kerugian sebanyak $152.2 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

Jualan bersih Tupperware menurun sebanyak 18 peratus pada tahun 2022 dan syarikat itu melaporkan jumlah hutang sebanyak $705.4 juta untuk tahun tersebut. Penurunan ini disebabkan oleh jualan dan margin operasi yang lebih rendah, serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi.

Pada tahun lepas, Tupperware menyatakan “keraguan besar” mengenai keupayaannya untuk terus beroperasi dan menyatakan bahawa ia telah bekerjasama dengan penasihat kewangan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi memperbaiki struktur modalnya.

Syarikat itu pada masa tersebut menyatakan bahawa ia sedang berbincang dengan pelabur atau rakan pembiayaan yang berpotensi dan sedang mengkaji portfolio hartanahnya untuk “potensi pelupusan atau transaksi jual-balik pajakan”.

Tupperware turut menyatakan bahawa ia sedang meneroka usaha “penyusunan semula”, pemanfaatan aset tetap, pengurusan tunai, serta pengoptimuman pemasaran dan saluran untuk meningkatkan kecairan kewangannya dalam tahun tersebut.

“Jika syarikat gagal mendapatkan sumber modal yang mencukupi atau pindaan kepada perjanjian kreditnya, pengurusan menjangkakan bahawa syarikat akan kekurangan aliran tunai untuk membiayai operasi dan memenuhi tanggungjawab kewangannya seperti yang diracangan dalam masa terdekat berdasarkan pelan perniagaan semasa,” Menurut dokumen yang difailkan.

Pada Ogos 2023, Tupperware telah mencapai persetujuan muktamad dengan pemberi pinjamannya untuk menyusun semula tanggungan hutangnya dan melantik bank pelaburan Moelis & Co. bagi membantu mencari pilihan strategi lain.

KKM kesan satu kes positif Mpox babitkan lelaki tempatan

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kes positif cacar monyet atau “monkeypox” (Mpox) membabitkan lelaki tempatan.

BH ONLINE

Kes yang baru dikesan itu menjadikan 10 kes terkumpul bermula 26 Julai lalu hanya melibatkan Clade II sahaja.

Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II pula mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit Mpox ini menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam pula mula muncul sehari selepas itu.

“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.”

“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” Katanya.

Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) unutk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.

KKM sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam bagi memantau situasi Mpox serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.

Dr Muhammad Radzi berkata, untuk meningkatkan kesediaan dan membolehkan orang ramai meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM akan meneruskan hebahan melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.

“Orang ramai juga boleh mengambil langkah termasuk individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.”

“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual dan amalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” Katanya.

Beliau turut menggesa pengamal perubatan terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

“Bagi kes disyaki Mpox, swab lepuh, oral dan sampel darah serta serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus Mpox.”

“Kes disyaki Mpox perlu dimaklumkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui sistem e-Notifikasi supaya siasatan lanjut serta langkah pencegeahan dan kawalan dapat dijalankan,” Katanya.

Suspek cubaan bunuh Donald Trump kali kedua dikenal pasti

0

Suspek yang disyaki dalam percubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di West Palm Beach, Florida telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai Ryan Wesley Routh, 58 tahun.

Beberapa butiran telah disahkan berkaitan Routh, termasuk motif.

Menurut akaun rasmi setakat ini, Routh didakwa mengambil kedudukan di sepanjang pagar perimeter di Padang Golf Antarabangsa Trump di West Palm Beach, di mana dia mempersiapkan rifel AK-47, GoPro, dan dua beg tidak menyerlah.

Ryan Wesley Routh semasa temu bual di perhimpunan di Kyiv, Ukraine, pada 27 April 2022. (Gambar AFPTV/AFP /Getty Images)

Seorang ejen Perkhidmatan Rahsia, yang meronda padang golf di hadapan Trump, ketika  berada di lubang kelima, menyedari terdapat rifel diacukan melalui garis pagar dan melepaskan tembakan, di mana Routh melarikan diri. Routh berada antara 370 hingga 460 meter dari Trump, kata pihak berkuasa, dan mempunyai lampiran skop pada rifelnya.

Routh kemudiannya ditahan di laluan I-95 selepas seorang saksi memberikan gambar kenderaannya dan plat lesen kepada penguatkuasa undang-undang.

Routh kini dalam tahanan Jabatan Polis Daerah Martin, di mana dia bakal berhadapan kedua-dua pertuduhan jenayah persekutuan dan negeri.

Insiden itu mungkin bukan pertama kali buat Routh yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang.

Menurut carian rekod Jabatan Pembetulan Dewasa Carolina Utara, seorang lelaki bernama Ryan Wesley Routh pada 2002 pernah disabitkan bersalah memiliki senjata pemusnah berbahaya, merujuk kepada senapang automatik sepenuhnya, yang diharamkan di Amerika Syarikat pada 1986.

The Epoch Times tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada ia adalah lelaki yang sama bernama Ryan Wesley Routh yang cuba membunuh Trump.

Arkib akaun X di bawah nama yang sama dengan suspek menunjukkan beberapa muat naik dan siaran yang menyatakan sokongan kepada Ukraine, Taiwan dan NATO.

Satu hantaran menyatakan minat untuk membentuk pasukan sukarelawan tentera Afghanistan bagi membantu polis di Haiti. Pemilik akaun juga menyatakan minat untuk membentuk pasukan tentera asing Taiwan terdiri daripada warga Afghanistan yang dilatih NATO.

Akaun itu juga memuat naik semula dua hantaran yang menyokong Ukraine.

Seseorang dengan nama yang sama juga muncul dalam artikel New York Times pada bulan Mac 2023.

Artikel itu menggambarkan Routh sedang berusaha untuk mengumpulkan pasukan pejuang asing yang terdiri daripada warga Afghanistan yang dilatih NATO untuk membantu Ukraine dalam peperangannya dengan Rusia.

Routh mempunyai laman web di mana dia berusaha untuk merekrut sukarelawan bagi tujuan menyertai pasukan Ukraine di Kyiv, menurut Associated Press. Dia juga dilaporkan mengumpul dana bagi bantuan usaha tersebut.

Dalam temu bual 2022 dengan Newsweek, Routh mencadangkan agar Amerika Syarikat terlibat dalam konflik, yang menurutnya adalah “mengenai kebaikan menentang kejahatan.”

Artikel New York Times dipetik mengatakan Routh menghabiskan beberapa bulan di Ukraine pada 2022 dan merancang untuk memindahkan berpuluh-puluh askar Afghanistan yang melarikan diri dari Taliban, sesetengahnya secara haram, ke Ukraine dari Pakistan dan Iran.

Trump telah mengkritik konflik Rusia-Ukraine, yang katanya akan segera ditamatkan, jika dipilih menjadi Presiden. Beliau juga telah mengkritik ahli NATO yang gagal mencapai kewajipan menyumbang kepada KDNK sebanyak 2 peratus.

Anak lelaki Routh, Oran Routh, memberitahu DailyMail bahawa bapanya membenci Trump seperti “setiap orang yang munasabah melakukannya.”

Menurut Oran, bapanya bukanlah seorang pengganas dan dakwaan terhadapnya adalah tidak wajar.

“Dia bapa saya dan hanya pernah menerima beberapa saman trafik, setahu saya,” kata Oran. “Itu tindakan gila. Saya kenal bapa saya dan sayangkannya, tetapi tindakan itu langsung tidak seperti dia.”

Rekod pengundi menunjukkan Ryan W. Routh kini didaftarkan sebagai pengundi tidak bersekutu di Greensboro, North Carolina. Ryan Routh berasal dari Tar Heel, tetapi pernah berpindah ke Hawaii pada satu ketika.

Tangkap layar Gan Jing World

Percubaan kedua

FBI berkata insiden itu nampaknya merupakan percubaan kedua membunuh bekas presiden. Badan penyiasatan itu mengetuai siasatan berhubung kejadian. Negeri Florida juga akan menyiasat percubaan yang gagal terhadap Trump, kata Gabenor Ron DeSantis.

Trump telah mengesahkan beliau tidak cedera. “Saya selamat dan sihat!” tulisnya dalam huruf besar di media sosial sejurus selepas bunyi tembakan kedengaran.

Suspek telah bersedia dengan rifelnya, dilengkapi dengan skop, di pagar sempadan padang golf dan mempunyai kamera GoPro, menunjukkan dia mungkin merancang untuk merakam percubaannya untuk membunuh Trump, kata Sheriff Palm Beach County Ric Bradshaw.

Pihak berkuasa berkongsi gambar kawasan yang menempatkan posisi Routh, tersembunyi di celah-celah semak di pagar perimeter Kelab Golf Antarabangsa Trump di West Palm Beach.

Suspek mempunyai dua beg hitam yang digantung lekat pada pagar berantai, masing-masing mengandungi jubin seramik yang boleh menyembunyikan kepalanya di belakang. Rifel itu diletakkan di celah antara beg, dengan hujungnya diacukan melalui wayar pagar ke arah padang golf.

Gambar bukti yang ditemui di pagar padang golf ditunjukkan pada sidang akhbar di West Palm Beach, Florida, pada 15 September 2024. (Gambar oleh Chandan Khanna/AFP/Getty Images)

Routh melarikan diri dari tempat kejadian apabila ejen Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arahnya. Seorang saksi melihat dia meninggalkan kawasan itu dengan sebuah SUV Nissan hitam dan berjaya mengambil gambar kenderaan itu, yang butirannya dikongsi dengan penguatkuasa undang-undang tempatan.

Plat lesen suspek dikesan sejurus selepas itu pada laluan I-95, dan dia telah ditahan.

Pegawai yang menahan melaporkan bahawa suspek tidak menunjukkan emosi dan hanya diam apabila diberkas.

Timbalan pegawai mahkamah untuk hakim sesi majistret, Shanda Walker, memberitahu The Epoch Times, Ryan Wesley Routh bakal dibawa ke hadapan mahkamah untuk sebutan awal pada hari Isnin jam 10 pagi waktu tempatan di Bangunan Persekutuan Paul G. Rogers dan Mahkamah Amerika Syarikat di West Palm Beach, Florida.