Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga jam 11 malam, 14 September.
Menurut kenyataan MetMalaysia, ramalan tersebut berdasarkan tanda-tanda ribut petir dan intensiti hujan yang dijangka lebih sejam.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.
Menerusi amaran tersebut, seluruh negeri Perlis bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang manakala di Kedah, ia hanya melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling.
Di Perak pula, daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim dijangka bakal terkesan.
Di sebelah pantai timur, ribut petir dan hujan lebat yang melanda negeri Kelantan melibatkan daerah Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah, manakala Terengganu hanya di daerah Marang, Dungun dan Kemaman. Pahang hanya melibatkan daerah Raub, Temerloh, Maran dan Kuantan.
Manakala ribut petir berserta hujan lebat turut dijangka melanda Hulu Selangor di Selangor, Jasin di Melaka serta Tangkak dan Muar di Johor.
Terdahulu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. Amaran tersebut berkuatkuasa bermula 13 September hingga 18 September 2024.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah dari 13 hingga 18 September 2024.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat perancangan awal bagi perjalanan dan berhati-hati ketika memandu. Elakkan berada di kawasan titik panas kepala air dan berisiko banjir.