Sebuah feri membawa seramai 567 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi dilaporkan telah terkandas dalam kejadian pada petang Isnin, 16 September.
Memetik Sinar Harian, feri tersebut dipercayai tersangkut pada beting pasir, kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Perlis.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, menjelaskan insiden berlaku akibat cuaca buruk melibatkan hujan lebat serta angin kencang.
Keadaan angin kuat telah menolak feri yang menyebabkan ia terpesong dari laluan asal, lalu tersangkut di kawasan beting pasir.
Dr Baharin turut mengesahkan semua penumpang feri yang berlepas dari terminal Kuala Perlis pada jam 2.30 petang berada dalam keadaan selamat.
“Ketika ini, kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan, bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan kami dibantu oleh Maritim Malaysia untuk lakukan pemantauan.
“Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai bagaimanapun kita masih menunggu air laut pasang,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau juga memaklumkan bahawa pelayaran feri ke Langkawi dijangka akan disambung semula pada jam 8 malam.
Dalam perkembangan terbaru, Dr Baharin memaklumkan feri Bahagia 168 yang terkandas lebih 8 jam selamat tiba di Langkawi kira-kira jam 10.40 malam.
Katanya, feri itu dapat bergerak selepas berjaya ditarik bot tunda dan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 9.05 malam, lapor Astro Awani.
Dr Baharin turut memaklumkan tiga trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa berpatah balik akibat ribut pada 16 September.
Jadual yang terjejas melibatkan feri yang membawa 120 penumpang pada jam 1.30 tengah hari, 149 penumpang pada jam 2 petang serta feri dengan 410 penumpang yang berlepas pada jam 2.30 petang.