Seekor anak badak air yang dinamakan Moo Deng berusia dua bulan menjadi bualan orang ramai terutama di Thailand ketika ini.
Anak badak air betina ini telah menarik ramai pengunjung di sebuah zoo berhampiran bandar Pattaya.
Menurut Zoo Terbuka Khao Kheow, bilangan pengunjung zoo tersebut meningkat dua kali ganda sejak kelahiran Moo Deng pada Julai lalu.
Walau bagaimanapun, pengarah zoo menggesa orang ramai supaya berkelakuan baik ketika melihat Moo Deng.
Hal ini disebabkan tular video yang menunjukkan terdapat pengunjung yang tidak berkelakuan baik terhadap haiwan berkenaan.
“Tingkah laku ini bukan sahaja kejam tetapi juga berbahaya,” Kata Narongwit Chodchoi dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian.
“Kita mesti melindungi haiwan-haiwan ini dan memastikan mereka mempunyai persekitaran yang selamat dan selesa.”
Video di media sosial menunjukkan beberapa orang pengunjung bukan sahaja membaling kerang malah menyimbah air ke arah Moo Deng sebagai cubaan untuk mengejutkannya daripada tidur.
Narongwit berkata pihak zoo telah memasang kamera CCTV di sekitar kawasan kurungan dan mengugut tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak melayan Moo Deng dengan baik.
Selain itu, Narongwit turut mengingatkan bahawa masa terbaik untuk melawat Moo Deng adalah ketika ia terjaga.
Badak air pygmy yang berasal dari Afrika Barat diklasifikasikan sebagai “terancam” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Di samping itu, pakar percaya terdapat kurang daripada 3,000 ekor yang tinggal di alam liar.
Sejak kelahiran Moo Deng, 128 daripada 150 hantaran media sosial terakhir zoo tersebut adalah mengenainya.
“Saya tidak boleh berhenti fikir tentang Moo Deng – saya memikirkannya sepanjang hari,” Kata seorang pengguna di X.
Seorang lagi berkata, “Saya tidak tahu apa-apa yang berlaku di dunia sekarang kecuali tentang Moo Deng.”
Selain itu, pelbagai barangan termasuk gabungan baju dan seluar bertemakan anak badak air, kini boleh dibeli di zoo dan dalam talian.
Jenama lain yang turut menumpang populariti Moo Deng adalah Sephora yang mengeluarkan produk kecantikan “Soft Pop Powder Blush” berharga THB 1,590 ($47.70; £36.30).
Ternyata populariti Moo Deng bukan sahaja menarik perhatian orang tempatan Thailand, malah televisyen antarabangsa seperti All-NIppon News Network dari Jepun juga turut membuat liputan mengenainya.
Malah Kedutaan Diraja Thailand juga didapati menyambut baik situasi semasa mengenai Moo Deng di saluran media sosial mereka. “Dia sangat bertenaga dan penampilannya yang comel amat menenangkan,” Kata pihak kedutaan di X pada Khamis.