Tupperware fail bankrap di bawah Bab 11 (Chapter 11) di Amerika Syarikat, selepas bergelut dengan penurunan jualan produknya.
Pada 17 September, syarikat yang berpusat di Orlando, Florida itu mengumumkan bahawa ia akan memohon kelulusan mahkamah untuk memulakan proses penjualan perniagaan serta meneruskan operasi semasa prosiding kebangkrapan berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware, Laurie Ann Goldman, berkata proses ini akan membolehkan syarikat meneruskan “alternatif strategik” untuk menggerakkan transformasinya menjadi perniagaan yang “berfokus digital dan berpandukan teknologi”.
“Pada beberapa tahun terakhir, kedudukan kewangan syarikat telah terjejas teruk disebabkan persekitaran makroekonomi yang mencabar,” Kata Goldman dalam satu kenyataan. “Justeru, kami telah meneroka pelbagai pilihan strategik dan mendapati ini adalah keputusan terbaik untuk masa depan,” Tambahnya.
Goldman menyatakan bahawa syarikat akan terus menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan sepanjang proses ini. Tupperware turut menegaskan bahawa tiada perubahan pada perjanjian perunding jualan bebasnya.
Tupperware telah cuba memulihkan perniagaannya selama kira-kira empat tahun selepas melaporkan penurunan jualan selama enam suku berturut-turut sejak suku ketiga tahun 2021, di mana inflasi yang berterusan menyebabkan pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang berbelanja.
Ditubuhkan pada tahun 1946, pengeluar bekas penyimpan makanan ikonik ini melaporkan kerugian operasi sebanyak $28.4 juta pada tahun 2022, selepas kerugian sebanyak $152.2 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Jualan bersih Tupperware menurun sebanyak 18 peratus pada tahun 2022 dan syarikat itu melaporkan jumlah hutang sebanyak $705.4 juta untuk tahun tersebut. Penurunan ini disebabkan oleh jualan dan margin operasi yang lebih rendah, serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi.
Pada tahun lepas, Tupperware menyatakan “keraguan besar” mengenai keupayaannya untuk terus beroperasi dan menyatakan bahawa ia telah bekerjasama dengan penasihat kewangan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi memperbaiki struktur modalnya.
Syarikat itu pada masa tersebut menyatakan bahawa ia sedang berbincang dengan pelabur atau rakan pembiayaan yang berpotensi dan sedang mengkaji portfolio hartanahnya untuk “potensi pelupusan atau transaksi jual-balik pajakan”.
Tupperware turut menyatakan bahawa ia sedang meneroka usaha “penyusunan semula”, pemanfaatan aset tetap, pengurusan tunai, serta pengoptimuman pemasaran dan saluran untuk meningkatkan kecairan kewangannya dalam tahun tersebut.
“Jika syarikat gagal mendapatkan sumber modal yang mencukupi atau pindaan kepada perjanjian kreditnya, pengurusan menjangkakan bahawa syarikat akan kekurangan aliran tunai untuk membiayai operasi dan memenuhi tanggungjawab kewangannya seperti yang diracangan dalam masa terdekat berdasarkan pelan perniagaan semasa,” Menurut dokumen yang difailkan.
Pada Ogos 2023, Tupperware telah mencapai persetujuan muktamad dengan pemberi pinjamannya untuk menyusun semula tanggungan hutangnya dan melantik bank pelaburan Moelis & Co. bagi membantu mencari pilihan strategi lain.