HONG KONG: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memberikan hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Malaysia 16 September apabila muncul juara menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Terbuka Hong Kong 2024.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum hari ini 15 September, Pearly-Thinaah berada di prestasi terbaik apabila mereka berjaya menampilkan permainan yang cukup menyakinkan dan memilih untuk bermain secara menyerang untuk menang straight set 21-14, 21-14 dalam masa 38 minit sahaja.
Pasangan negara yang berada dalam momentum tertinggi itu memilih permainan agresif di set pertama dengan melakukan pukulan kencang berselang-seli dengan bola ‘drop’ .
Tindakan itu berjaya memerangkap Sheng Shu-Tan Ning terutama di depan jaring sambil dibantu dengan kesilapan mudah dari lawan mereka untuk terus mendapatkan mata demi mata dan memenangi set berkenaan.
Tersentak dengan kekalahan itu, pilihan kedua dari China itu cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Pearly-Thinaah tidak membenarkan perkara itu berlaku dengan terus mengekalkan gaya permainan pantas mereka.
Strategi itu berjaya mendapatkan lima mata berturut-turut dan terus menjarakkan kedudukan selesa dengan berada 10 mata di depan.
Keyakinan beregu negara itu semakin terserlah selepas berjaya menangkis segala serangan demi serangan dari Sheng Shu-Tan Ning dan mereka sendiri tidak banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus menutup permainan dengan kemenangan yang penuh bermakna buat pasangan negara itu.
Untuk rekod, kejuaraan itu juga membolehkan mereka menebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas di pentas akhir selain dikecewakan di peringkat sama pada Terbuka Korea bulan lalu.
Malah beregu kelapan dunia itu juga berjaya menamatkan penantian hampir dua tahun untuk muncul juara selepas kali terakhir di Terbuka Perancis pada Oktober 2022.
Ini adalah pertemuan kelima mereka tahun ini dan itu adalah kemenangan pertama Pearly-Thinaah ke atas Sheng Shu-Tan Ning selepas tewas empat kali sebelum ini.