27.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 23, 2025
Utama Blog Laman 50

Gempa magnitud 6.7 landa selatan Filipina

0

Gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter melanda pantai selatan Filipina pada Selasa, 9 Januari, demikian Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan, tetapi menurut pihak berkuasa tempatan tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 70 kilometer(43 batu) kira-kira 100 kilometer tenggara perbandaran Sarangani di luar pulau Mindanao, kata USGS.

Ia tidak mencetuskan amaran tsunami, menurut Sistem Amaran Tsunami AS dan agensi seismologi Filipina.

“Dengan rahmat Tuhan ia tidak begitu kuat di wilayah kami,” kata Ketua Master Sarjan Ian Roy Balandan dari pejabat polis wilayah Sarangani di Mindanao.

USGS

Balandan memberitahu AFP tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan infrastruktur atau rumah.

“Ia benar-benar ringan. Orang ramai tidak merasakannya,” katanya.

Harly Sauro, seorang pegawai bencana di perbandaran Sarangani, yang merupakan sekumpulan kecil pulau yang membentuk sebahagian daripada wilayah Davao Occidental, berkata gempa itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa, tetapi “mengganggu tidur sesetengah orang”.

USGS

Gempa bumi kerap melanda Filipina, yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, lengkok aktiviti seismik dan gunung berapi yang kuat yang membentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.

Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda Mindanao pada bulan lalu, yang mencetuskan amaran tsunami ringkas. Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan menjadi mangsa korban.

Anak diserang sawan, Ain Edruce tinggalkan set Melodi

0

KUALA LUMPUR: Pengacara, Ain Edruce terpaksa meninggalkan set program Melodi selepas mendapat tahu anaknya, Soraya, diserang sawan secara tiba-tiba.

Instagram

Menurut Ain, kejadian kali pertama itu berlaku dipercayai berpunca daripada demam panas yang dialami anak kesayangannya itu.

Jelas Ain, ketika kejadian, dia juga berasa ralat kerana tidak berada bersama anak dan suaminya, Amirul Hafiz di rumah.

“Anak demam di rumah, jadi saya tidak mahu kacau dia. Sekitar pukul 10.30 pagi, dia bangun tidur dan nampak gembira.

“Hati saya tenang sedikiit. Jadi saya bersolek untuk pergi ke set Melodi (mengacara).

“Dah sampai set dan berlatih dengan Bell Ngasri, dapat panggilan telefon Soraya masuk hospital.

“Suami kata anak kena sawan. Gugur jantung saya,” tulis Ain di Instagramnya.

Susulan itu, Ain meninggalkan set Melodi dan bergegas ke hospital untuk bersama dengan anaknya.

Menerusi hantaran lain, Ain turut berkongsi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan situasi kelam kabut suaminya mendukung Soraya yang diserang sawan untuk dibawa ke hospital.

Amirul yang mendukung anaknya yang lemah itu kelihatan tidak tentu arah.

Namun mujurlah ada seorang pembantu di rumah ketika itu yang turut membantu Amirul.

Sementara itu, Ain bersyukur apabila keadaan anaknya semakin pulih. Katanya, Soraya sudah kembali aktif.

“Alhamdulillah, pagi ini Soraya tidak lagi demam dan semakin ceria.

“Dia pun sudah kembali aktif dan jadi diri sendiri (cergas).

“Dah mula merayau satu hospital,” kata Ain.

Sumandak angkat tong gas dengan berkasut tumit tinggi curi perhatian

0

Tindakan selamba seorang gadis atau ‘sumandak’ dalam loghat Sabah ketika mengangkat tong gas LPG sambil menuruni tangga dengan berkasut bertumit tinggi telah menarik perhatian warganet apabila videonya tular di media sosial.

Video berdurasi 19 saat di akaun TikTok gugu.m_ memaparkan gadis dari Kota Kinabalu itu sedang mengangkat tong gas LPG dalam keadaan tidak stabil disebabkan kasut tinggi yang dipakainya dan juga tong gas walaupun kosong tetapi masih berat.

TikTok

Sumandak yang dikenali dengan panggilan Gugu itu berkongsi cerita di sebalik video tular berkenaan di mana ketika kejadian, gas yang digunakan di rumah telah kehabisan.

“Memang habis, memang mahu tukar gas yang baharu.

“Mana mungkin saya sengaja angkat tong gas yang berisi, memang kebetulan bapa saya mahu tukar gas.

“Ini perkara biasa, semua sumandak dapat angkat lagi pun tong gas itu kosong, ringan saja,” jelas Gugu.

TikTok

Bagaimanapun, Gugu berkata, dia tidak menyangka videonya itu tular dan mendapat perhatian wargamaya.

“Saya pakai kasut tinggi ketika itu kerana mahu keluar untuk membeli-belah, tetapi kebetulan bapa saya memaklumkan gas telah habis.

“Jadi saya berpatah balik ke rumah dan tanpa menukar selipar sebaliknya terus membawa tong gas tersebut turun melalui tangga.

“Sepatutnya saya sikut (gendong) saja tong gas tetapi banyak kerja jadi saya angkat sajalah.

TikTok

Saya pun tidak sangka jadi tular,” katanya kepada Sinar Harian.

Gugu turut menjelaskan yang dia merupakan anak pertama dalam keluarganya menyebabkan dirinya perlu bertanggungjawab dan belajar untuk membantu kedua orang tuanya.

“Saya anak pertama kan, siapa lagi mahu tolong ibu bapa.

“Walaupun sebagai anak perempuan tetapi kalau anak pertama, kena jadi dua iaitu lelaki dan perempuan. Kita mesti belajar,” katanya.

TikTok

Rata-rata dalam komen di TikTok telah memuji kecantikan gadis Sabah berkenaan sambil turut kagum dengan kekuatan dan kebolehannya yang selamba mengangkat tong gas LPG.

Walaupun tong gas itu kosong dan ringan tetapi ia tetap berat untuk diangkat dengan kudrat wanita.

SADS dalam kalangan 40 tahun dan ke bawah semakin meningkat

0

KUALA LUMPUR: Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) dalam kalangan 40 tahun dan ke bawah di negara ini semakin meningkat.

Pexels Gambar sekadar hiasan.

Menurut Dr. S. Denesh ini mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular.

Kejutan itu berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang.

Hal ini dikatakan demikian lebih-lebih lagi semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

“Aktiviti senaman fizikal dalam kalangan penduduk kita ketika itu amat kurang.

“Apabila perintah itu ditarik balik, ramai antara kita yang terlalu cepat dan agresif melakukan senaman sehinga menyebabkan kes SADS meningkat.

“Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama pada Jumaat.

Kata Pengasas Puisat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP itu lagi, tahap tekanan yang tinggi, tidur tidak cukup dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS dalam kalangan 40 tahun dan ke bawah.

Pexels Gambar sekadar hiasan

Beliau berkata simptom SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas.

Oleh itu, langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.

“Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung.

Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas.” kata Dr. S. Denesh.

Budak lelaki 13 tahun manusia pertama berjaya tamat permainan “Tetris” selepas 40 tahun berada di pasaran

0

Selepas penantian selama 40 tahun, akhirnya seorang individu berjaya mencipta sejarah dengan menamatkan permainan Tetris. 

Willis Gibson yang merupakan seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari Oklahoma, Amerika Syarikat menjadi manusia pertama menamatkan permainan legenda itu.

Kejayaan Willis Gibson telah tercipta pada 21 Disember tahun lalu ketika melakukan penstriman langsung permainan berkenaan.

aGameScout/YouTube

Dia ketika itu berjaya meraih gelaran ‘True Killer Screen’ dalam masa 38 minit sekaligus mencipta sejarah terhebat dalam peradaban manusia.

Selepas menamatkan permainan tersebut, skrin memaparkan semua blok jatuh pada kelajuan yang tinggi dan menyebabkan permainan Tetris ‘crash’ atau ‘terhempas’ akhirnya.

Ketika itu, Gibson bermain di Level 157 dengan skor 999999.

Pencapaian Gibson dianggap luar biasa kerana setakat ini, hanya kecerdasan buatan (AI) sahaja yang pernah melepasi semua Level dalam Tetris.

Tangkap Skrin BBC

Untuk sekian lama, pemain Tetris percaya bahawa Level 30 dianggap sebagai ‘screen killer’ selepas Thor Aackerlund memperkenalkan kaedah ‘hypertapping’ dalam permainan tersebut.

Namun, Gibson memecahkan rekod tersebut dan mencapai Level 157 serta menyaksikan permainan tersebut tamat.

Kanak-kanak berkenaan mula bermain Tetris seawal 11 tahun dan berlatih kira-kira tiga hingga lima jam setiap hari.

Walaupun berjaya menamatkan permainan berkenaan, Gibson tidak merancang untuk berhenti bermain Tetris selepas ini.

Tangkap Skrin BBC

Permainan video puzzle klasik dan ikonik, Tetris telah dilancarkan pada 1988 yang pada mulanya dibangunkan oleh seorang jurutera perisian Soviet Union bernama Alexey Pajitnov pada 1984.

Namun, permainan menyusun blok tersebut mula dipopularkan oleh Nintendo Entertainment System pada 1988, yang pada hari ini Tetris dianggarkan bernilai AS$21 bilion (RM97.7 bilion).

Uniknya, selepas hampir 40 tahun Tetris berada dalam pasaran, tiada seorang pun berjaya melepasi semua ‘Level’ permainan ini sehinggalah tampilnya gamer Willis Gibson.

Air rendaman bunga kertas dapat menyejukkan badan

0

Air rendaman bunga kertas (nama saintifiknya Bougainvillea spp) dapat menyejukkan badan secara tidak langsung, menurut pakar.

UPM

“Terdapat beberapa kajian mendapati bahawa ekstrak Bougainvillea mempunyai kesan anti-radang yang dipercayai dapat menyejukkan badan secara tidak langsung.

“Selain itu, teh bunga kertas juga dipercayai dapat merawat sakit tekak, batuk dan selsema,” kata Dr. Keeren Sundara Rajoo.

Kajian yang dikongsi oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, (UPMKB) itu walau bagaimanapun masih di peringkat penemuan dan saringan.

Tambah Dr. Keeren, terdapat kajian yang mengesan daun bunga kertas mempunyai aktiviti antimikrob terhadap beberapa strain bakteria.

Terdapat 18 spesies Bougainvillea di dunia dan kebanyakan kajian memfokuskan empat spesies bunga kertas yang terdapat di Malaysia.

“Di Malaysia, bunga kantan, timun dan serai lebih kerap digunakan untuk merawat “panas dalam” berbanding bunga kertas.

“Walaupun demikian, pokok Bougainvillea mempunyai potensi tinggi sebagai rawatan herba,” kata Dr. Keeren.

Ujarnya lagi, kajian yang menyeluruh berkaitan air rendaman bunga kertas bagi tujuan menyejukkan badan perlu dijalankan dengan lebih terperinci.

Hal yang demikian kerana bunga kertas di Malaysia belum cukup sinonim digunakan sebagai herba ubatan.

Pexels

Masyarakat Malaysia memilih untuk menanam bunga kertas sebagai hiasan rumah kerana warnanya yang menarik dan cantik.

Kebanyakan varieti bunga kertas mempunyai kelopak nipis dan ciri seperti kertas.

Bunga kertas mempunyai pelbagai warna kelopak sama ada selapis mahupun banyak lapis serta tahan lama.

Tidak seperti bunga ros, bunga kertas sangat mudah dijaga dan mampu hidup melebihi 20 tahun.

Disebabkan keupayaan itu, bunga ini menjadi pilihan sebagai tanaman hiasan atau landskap.

Menurut Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab, hasil kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menyatakan terdapat pelbagai warna bunga kertas yang mengandungi hasil kandungan fitokimia yang berbeza.

“Kehadiran fitokimia ini antaranya adalah bahan antioksidan,” kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Ramai saintis berminat untuk mengkaji lebih lanjut kegunaan fitokimia lain untuk perubatan.

Hal yang demikian kerana fitokimia lebih selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang akan menjejaskan kesihatan berbanding antioksidan sintetik.

Fitokimia boleh melambatkan proses penuaan dan awet muda lebih kekal lama.

“Selain kelopak bunga yang boleh direbus dan dijadikan teh, daunnya juga boleh dilumatkan dan ditampal untuk merawat luka (mengeringkan darah).

Pexels

“Daun juga mempunyai komponen steroid yang mempunyai anti diarea, anti ulser, anti radang dan anti mikrobial.

“Akar pokok bunga kertas ini boleh direbus dan diminum untuk merendahkan suhu dan memberi keselesaan yang lama.

“Kalau dahulunya dalam perubatan tradisional, bunga kertas ini digunakan banyak untuk mengubati bisul, hilangkan ruam / gatal, hepatitis, haid yang tidak teratur, keputihan, senggugut hadi dan haid datang lewat.

“Tetapi sekarang lebih berkembang dan banyak dikomersialkan dan terbaharu dalam industri kosmetik,” kata Dr. Puteri Edaroyati.

Terdapat kajian lain yang mendapati pengamal perubatan tradisional di Mexico menggunakan bunga kertas untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti masalah penghadaman, penyakit kulit dan keradangan.

Di Brazil dan Thailand pula, bunga kertas digunakan dalam masakan.

Kejadian tikam di dalam kereta api Jepun, tiga lelaki cedera

0

TOKYO: Tiga orang awam (lelaki) cedera dalam kejadian tikam di dalam kereta api di Stesen Akihabara Tokyo, Jepun pada Rabu.

Reuters

Jurucakap Jabatan Polis Metropolitan Tokyo berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11 malam waktu tempatan.

Menurut laporan, seorang wanita dengan menggunakan pisau telah menyebabkan kecederaan ketika berada dalam pengangkutan awam paling sibuk di bandar itu.

Agensi berita Kyodo melaporkan bahawa kecederaan yang dialami oleh tiga orang awam tersebut tidak parah.

Penyiar awam NHK pula melaporkan terdapat empat orang yang telah ditikam.

NHK

Syarikat Kereta Api Jepun Timur berkata, laluan Yamanote terpaksa ditangguh disebabkan “masalah di dalam kereta api”.

Akihabara, merupakan kawasan pelancongan utama di Tokyo yang terkenal dengan permainan video, buku-buku komik dan fesyen yang ganjil-ganjil.

“Saya hanya lawan pertahankan hak,” pemilik kesal Bezza baru dibeli rosak enjin akibat gula

0

Seorang kerani melahirkan rasa kecewa selepas Perodua Bezza yang baru dibeli rosak dalam tempoh kurang lapan jam.

Nagakanni Subramaniam, 31, berkata, dia juga diwajibkan membayar ansuran bulanan pinjaman sebanyak RM537 untuk kereta baharunya, walaupun ia kini terkandas di pusat servis.

Kereta itu dibeli dari pusat jualan kenderaan di Segamat pada jam 11 pagi, 17 Oktober 2023.

Nagakanni Subramaniam / Facebook

Hampir lapan jam kemudian pada 7.40 malam, kereta itu tidak dapat dihidupkan.

“Pada 18 Oktober tahun lalu, saya telah membawa kereta saya ke pusat servis di Segamat, dan mekanik di situ memaklumkan enjinnya rosak.

“Susulan kejadian itu, saya memohon penggantian kereta baharu sebelum diminta menunggu keputusan daripada ibu pejabatnya yang boleh mengambil masa dua minggu hingga sebulan.

“Pada 9 November, seorang individu dikenali sebagai Suffian dari ibu pejabat Perodua menghubungi saya dan menyatakan berdasarkan siasatan awal, enjin kereta itu rosak akibat terkena benda asing seperti gula, dan mendakwa bahan itu tidak digunakan oleh pengeluar kereta, ” katanya di Facebook.

Nagakanni Subramaniam / Facebook

Nagakanni mendakwa dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula ke dalam kereta sepanjang lapan jam selepas menerimanya, apatah lagi mengusik bahagian enjin.

Mengulas lanjut, Nagakanni berkata dia dihubungi Suffian sekali lagi dan dimaklumkan untuk memohon pinjaman baharu bagi mendapatkan kereta baharu pada 15 November.

“Saya kata saya boleh mohon pinjaman baharu hanya selepas dia selesaikan pinjaman lama saya kerana saya masih membayar pinjaman kereta rosak.

“Bagaimanapun, pada 4 Disember lalu, jurujual pusat jualan di Segamat telah meminta dokumen daripada saya untuk memohon pinjaman kedua, tetapi saya menolak permintaan itu kerana pinjaman pertama saya belum dijelaskan.

“Sejurus pada 8 Disember, perkhidmatan pelanggan memaklumkan kepada saya bahawa proses terakhir belum diluluskan, dan ibu pejabatnya sedang menyiasat kesilapan dalaman. Mereka tidak dapat memberikan kelulusan muktamad untuk penggantian kereta saya,” katanya.

Nagakanni Subramaniam / Facebook

Nagakanni berkata, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pengeluar kereta itu walaupun sudah lebih dua bulan berlalu.

“Saya masih perlu membayar pinjaman kereta setiap bulan. Saya harap rakan-rakan di Facebook dapat berkongsi hantaran ini untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Saya hanya lawan untuk mempertahankan hak saya,” kata Nagakanni.

Susulan hantaran Nagakanni yang tular, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi dengan berkata pihak mereka telah menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu kereta Perodua Bezza berkenaan.

Ketua pegawai operasi Jualan Perodua J.H. Rozman Jaafar berkata pihaknya memberi jaminan untuk mengutamakan kes pelanggan.

Perodua / Facebook

“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kami sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu.

“Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan perkara itu termasuk menawarkan kereta sementara untuk digunakan dan kami telah menawarkan pilihan untuk membeli semula keretanya,” kata Rozman.

Rozman berkata Perodua menafikan sebarang dakwaan bahawa tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan isu itu.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung isu ini dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan,” katanya bagi pihak Perodua.

Pemilik kedai aiskrim murah hati tidak tuntut ganti rugi selepas patung Iron Man dipecahkan budak lelaki

0

Patung figura adiwira kini menjadi lebih berharga daripada yang lain memandangkan ia adalah koleksi yang boleh menjadi sangat mahal bergantung kepada jangka hayatnya dan usaha yang dilakukan untuk membinanya.

Jadi, bayangkan jika anak anda akhirnya memecahkan barang koleksi yang meninggalkan anda dengan bil bernilai lebih RM10,000.

Jabatan Netizen Malaysia/X

Jabatan Netizen Malaysia menerusi laman X dalam ciapan mereka melaporkan seorang lelaki dari Indonesia terpinga-pinga selepas anak lelakinya telah memecahkan patung koleksi komik Marvel iaitu Iron Man yang menelan belanja 35 juta Rupiah (RM10,449.97).

Mereka menulis, “Kepada semua ibu bapa, awasilah anak-anak kecil anda. Mockup Iron Man ini tewas di tangan seorang kanak-kanak. Harganya sekitar 35 juta Rupiah, iaitu kira-kira RM10,449.90 jika ini di Malaysia. Untung sabutnya, ibu bapa kanak-kanak ini dikecualikan daripada membayar (ganti rugi).”

Berdasarkan laporan Ngopibareng, kejadian ini berlaku di kedai aiskrim Iconic Gelato & Bistro di Yogyakarta.

Jabatan Netizen Malaysia/X

Dalam video berkenaan, seorang pekerja dilihat sedang mengutip serpihan patung Iron Man, selepas ia disentuh dan dijatuhkan menjadi deraian oleh kanak-kanak berkenaan.

Nasib baiklah pemilik kedai aiskrim itu baik hati dan pemurah orangnya apabila tidak menuntut sebarang ganti rugi yang bernilai jutaan Rupiah.

Ibu bapa T20 pilih MRSM untuk ajar anak erti kesusahan

0

SHAH ALAM: Ibu bapa T20 pilih Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk ajar anak erti kesusahan menurut Presiden ANSARA Malaysia, Mohd Fadzil Yusof.

Sinar Harian

Jelas Mohd Fadzil, MRSM dilihat sebagai tempat yang sesuai untuk anak golongan T20 bergaul dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang.

“Di sekolah swasta, kos pembelajaran sampai RM3,000 sebulan.

“Kalau mereka (ibu bapa T20) mampu untuk hantar anak ke sekolah swasta, kenapa mahu berebut masukan ke MRSM?

“Saya tertanya-tanya kenapa golongan (T20) itu nak hantar anak-anak ke MRSM,

“Dan jawapan yang diterima mengejutkan saya iaitu nak ajar anak untuk hidup susah.

“MRSM kononnya menjadi tempat terbaik untuk anak mereka berkawan dengan golongan B40,” kata Mohd Fadzil dalam program Wacana Sinar pada Selasa.

Program edisi 426 dengan tajuk ‘MRSM untuk B40 sahaja?’ itu dihoskan oleh Ismail Adnan.

Turut serta dalam program itu ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli.

Mohd Fadzil turut mencadangkan golongan T20 untuk membayar kos pembelajaran di MRSM berbanding menubuhkan sekolah swasta di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Hal ini dikatakan demikian kerana banyak proses yang perlu dilalui sekiranya ingin memulakan perniagaan.

Selain itu, berkemungkinan sekolah swasta tersebut tidak dinamakan MRSM.

“Kita ada had dan kekangan tertentu yang membataskan corak perniagaan yang macam mana.

“Kita boleh melaksanakan kemasukan berbayar, berbeza dengan sekolah berbayar,” ujar Mohd Fadzil.

Dalam pada itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan MARA menerima 104,000 permohonan kemasukan Tingkatan Satu dan Empat ke MRSM.

Sinar Harian

Permohonan tersebut melibatkan 55 buah MRSM sedia ada di seluruh negara.

“Kita mempunyai kapasiti untuk Tingkatan Satu sebanyak 7,282 manakala Tingkatan Empat kira-kira seribu lebih (kuota) sahaja.

“Ini menunjukkan masyarakat masih memandang tinggi dan mahu hantar anak-anak ke MRSM,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi turut ditanya mengenai cadangan pelarasan antara Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Jawab Asyraf Wajdi, perkara itu boleh memberi impak positif dan negatif.

Jelas beliau, hal ini dikatakan demikian kerana akan berlaku perebutan pelajar terbaik dalam kalangan terbaik yang turut memberi kesan pada prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Agenda kita adalah agenda nasional (iaitu) untuk membangunkan anak bangsa yang cemerlang, bersifat holistik.

“Falsafah MRSM dan pendidikan negara tiada beza (iaitu) melahirkan generasi seimbang.

“Paling penting kita kerjasama, sebab itu MRSM buat ‘benchmark study’ (kajian penanda aras) dengan sekolah SBP terbaik supaya boleh lihat apa kelemahan yang boleh ditampung.

“Ini antara perkara yang diambil serius untuk menyelaraskan, kalau boleh peperiksaan tidak jauh beza.

“Kita dahulukan tawaran ‘crème de la crème’ terbaik, tetapi tidak semestinya mereka akan kekal di MRSM.

“Kalau dapat tawaran SBP, boleh keluar pada bila-bila masa,” jelas Asyraf Wajdi.

Bagi bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli beliau melihat tahap pendidikan zaman sekarang sangat tinggi seperti mahu menyediakan mereka (pelajar) ke prauniversiti.

Sinar Harian

Disebabkan itu, sekolah lain juga perlu meningkatkan tahap pembelajaran yang lebih tinggi seperti di MRSM.

“Jadi, MRSM tidak menjadi satu tempat yang menjadi rebutan.

“Pada saya, pendidikan di negara ini tidak perlu diperjudikan.

“Pendidikan adalah untuk semua, tetapi sekiranya anak-anak mereka berjaya masuk ke MRSM, ia merupakan satu bonus.

Nur Aziera juga tidak menafikan pelajar B40 yang diserap ke MRSM lebih berusaha untuk melawan rakan-rakan yang sedikit bernasib baik daripada mereka.