Selepas penantian selama 40 tahun, akhirnya seorang individu berjaya mencipta sejarah dengan menamatkan permainan Tetris.
Willis Gibson yang merupakan seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari Oklahoma, Amerika Syarikat menjadi manusia pertama menamatkan permainan legenda itu.
Kejayaan Willis Gibson telah tercipta pada 21 Disember tahun lalu ketika melakukan penstriman langsung permainan berkenaan.
Dia ketika itu berjaya meraih gelaran ‘True Killer Screen’ dalam masa 38 minit sekaligus mencipta sejarah terhebat dalam peradaban manusia.
Selepas menamatkan permainan tersebut, skrin memaparkan semua blok jatuh pada kelajuan yang tinggi dan menyebabkan permainan Tetris ‘crash’ atau ‘terhempas’ akhirnya.
Ketika itu, Gibson bermain di Level 157 dengan skor 999999.
Pencapaian Gibson dianggap luar biasa kerana setakat ini, hanya kecerdasan buatan (AI) sahaja yang pernah melepasi semua Level dalam Tetris.
Untuk sekian lama, pemain Tetris percaya bahawa Level 30 dianggap sebagai ‘screen killer’ selepas Thor Aackerlund memperkenalkan kaedah ‘hypertapping’ dalam permainan tersebut.
Namun, Gibson memecahkan rekod tersebut dan mencapai Level 157 serta menyaksikan permainan tersebut tamat.
Kanak-kanak berkenaan mula bermain Tetris seawal 11 tahun dan berlatih kira-kira tiga hingga lima jam setiap hari.
Walaupun berjaya menamatkan permainan berkenaan, Gibson tidak merancang untuk berhenti bermain Tetris selepas ini.
Permainan video puzzle klasik dan ikonik, Tetris telah dilancarkan pada 1988 yang pada mulanya dibangunkan oleh seorang jurutera perisian Soviet Union bernama Alexey Pajitnov pada 1984.
Namun, permainan menyusun blok tersebut mula dipopularkan oleh Nintendo Entertainment System pada 1988, yang pada hari ini Tetris dianggarkan bernilai AS$21 bilion (RM97.7 bilion).
Uniknya, selepas hampir 40 tahun Tetris berada dalam pasaran, tiada seorang pun berjaya melepasi semua ‘Level’ permainan ini sehinggalah tampilnya gamer Willis Gibson.