Air rendaman bunga kertas (nama saintifiknya Bougainvillea spp) dapat menyejukkan badan secara tidak langsung, menurut pakar.
“Terdapat beberapa kajian mendapati bahawa ekstrak Bougainvillea mempunyai kesan anti-radang yang dipercayai dapat menyejukkan badan secara tidak langsung.
“Selain itu, teh bunga kertas juga dipercayai dapat merawat sakit tekak, batuk dan selsema,” kata Dr. Keeren Sundara Rajoo.
Kajian yang dikongsi oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, (UPMKB) itu walau bagaimanapun masih di peringkat penemuan dan saringan.
Tambah Dr. Keeren, terdapat kajian yang mengesan daun bunga kertas mempunyai aktiviti antimikrob terhadap beberapa strain bakteria.
Terdapat 18 spesies Bougainvillea di dunia dan kebanyakan kajian memfokuskan empat spesies bunga kertas yang terdapat di Malaysia.
“Di Malaysia, bunga kantan, timun dan serai lebih kerap digunakan untuk merawat “panas dalam” berbanding bunga kertas.
“Walaupun demikian, pokok Bougainvillea mempunyai potensi tinggi sebagai rawatan herba,” kata Dr. Keeren.
Ujarnya lagi, kajian yang menyeluruh berkaitan air rendaman bunga kertas bagi tujuan menyejukkan badan perlu dijalankan dengan lebih terperinci.
Hal yang demikian kerana bunga kertas di Malaysia belum cukup sinonim digunakan sebagai herba ubatan.
Masyarakat Malaysia memilih untuk menanam bunga kertas sebagai hiasan rumah kerana warnanya yang menarik dan cantik.
Kebanyakan varieti bunga kertas mempunyai kelopak nipis dan ciri seperti kertas.
Bunga kertas mempunyai pelbagai warna kelopak sama ada selapis mahupun banyak lapis serta tahan lama.
Tidak seperti bunga ros, bunga kertas sangat mudah dijaga dan mampu hidup melebihi 20 tahun.
Disebabkan keupayaan itu, bunga ini menjadi pilihan sebagai tanaman hiasan atau landskap.
Menurut Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab, hasil kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menyatakan terdapat pelbagai warna bunga kertas yang mengandungi hasil kandungan fitokimia yang berbeza.
“Kehadiran fitokimia ini antaranya adalah bahan antioksidan,” kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Ramai saintis berminat untuk mengkaji lebih lanjut kegunaan fitokimia lain untuk perubatan.
Hal yang demikian kerana fitokimia lebih selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang akan menjejaskan kesihatan berbanding antioksidan sintetik.
Fitokimia boleh melambatkan proses penuaan dan awet muda lebih kekal lama.
“Selain kelopak bunga yang boleh direbus dan dijadikan teh, daunnya juga boleh dilumatkan dan ditampal untuk merawat luka (mengeringkan darah).
“Daun juga mempunyai komponen steroid yang mempunyai anti diarea, anti ulser, anti radang dan anti mikrobial.
“Akar pokok bunga kertas ini boleh direbus dan diminum untuk merendahkan suhu dan memberi keselesaan yang lama.
“Kalau dahulunya dalam perubatan tradisional, bunga kertas ini digunakan banyak untuk mengubati bisul, hilangkan ruam / gatal, hepatitis, haid yang tidak teratur, keputihan, senggugut hadi dan haid datang lewat.
“Tetapi sekarang lebih berkembang dan banyak dikomersialkan dan terbaharu dalam industri kosmetik,” kata Dr. Puteri Edaroyati.
Terdapat kajian lain yang mendapati pengamal perubatan tradisional di Mexico menggunakan bunga kertas untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti masalah penghadaman, penyakit kulit dan keradangan.
Di Brazil dan Thailand pula, bunga kertas digunakan dalam masakan.