KUALA LUMPUR: Pengacara, Ain Edruce terpaksa meninggalkan set program Melodi selepas mendapat tahu anaknya, Soraya, diserang sawan secara tiba-tiba.
Menurut Ain, kejadian kali pertama itu berlaku dipercayai berpunca daripada demam panas yang dialami anak kesayangannya itu.
Jelas Ain, ketika kejadian, dia juga berasa ralat kerana tidak berada bersama anak dan suaminya, Amirul Hafiz di rumah.
“Anak demam di rumah, jadi saya tidak mahu kacau dia. Sekitar pukul 10.30 pagi, dia bangun tidur dan nampak gembira.
“Hati saya tenang sedikiit. Jadi saya bersolek untuk pergi ke set Melodi (mengacara).
“Dah sampai set dan berlatih dengan Bell Ngasri, dapat panggilan telefon Soraya masuk hospital.
“Suami kata anak kena sawan. Gugur jantung saya,” tulis Ain di Instagramnya.
Susulan itu, Ain meninggalkan set Melodi dan bergegas ke hospital untuk bersama dengan anaknya.
Menerusi hantaran lain, Ain turut berkongsi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan situasi kelam kabut suaminya mendukung Soraya yang diserang sawan untuk dibawa ke hospital.
Amirul yang mendukung anaknya yang lemah itu kelihatan tidak tentu arah.
Namun mujurlah ada seorang pembantu di rumah ketika itu yang turut membantu Amirul.
Sementara itu, Ain bersyukur apabila keadaan anaknya semakin pulih. Katanya, Soraya sudah kembali aktif.
“Alhamdulillah, pagi ini Soraya tidak lagi demam dan semakin ceria.
“Dia pun sudah kembali aktif dan jadi diri sendiri (cergas).
“Dah mula merayau satu hospital,” kata Ain.