KUALA LUMPUR: Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) dalam kalangan 40 tahun dan ke bawah di negara ini semakin meningkat.
Menurut Dr. S. Denesh ini mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular.
Kejutan itu berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang.
Hal ini dikatakan demikian lebih-lebih lagi semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan apabila negara dilanda pandemik COVID-19.
“Aktiviti senaman fizikal dalam kalangan penduduk kita ketika itu amat kurang.
“Apabila perintah itu ditarik balik, ramai antara kita yang terlalu cepat dan agresif melakukan senaman sehinga menyebabkan kes SADS meningkat.
“Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama pada Jumaat.
Kata Pengasas Puisat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP itu lagi, tahap tekanan yang tinggi, tidur tidak cukup dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS dalam kalangan 40 tahun dan ke bawah.
Beliau berkata simptom SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas.
Oleh itu, langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.
“Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung.
Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas.” kata Dr. S. Denesh.