MANILA: 400,000 orang kehilangan tempat tinggal ekoran Taufan Man-yi di Filipina, menjadikannya ribut besar keenam yang melanda negara itu.
Taufan Man-yi melanda wilayah pulau timur Catanduanes pada malam Sabtu dengan angin kencang berterusan sehingga 195 kilometer (125 batu) sejam dan tiupan angin mencecah 240 kph (149 mph). Agensi cuaca negara memberi amaran tentang “keadaan yang berpotensi membawa malapetaka besar dan mengancam nyawa” di wilayah-wilayah yang berada dalam laluan taufan ini.
ABC News melaporkan tiada laporan segera mengenai korban jiwa akibat taufan ini, yang dijangka bergerak ke arah barat laut pada Ahad melintasi Luzon utara, kawasan paling padat penduduk di kepulauan tersebut. Walaupun kawasan ibu negara, metropolitan Manila, dijangka terlepas daripada dibadai taufan secara langsung namun tetap diberi amaran taufan dan gelombang pasang yang berbahaya di kawasan pantai seperti wilayah yang lain.
“Hujan tidak lebat, tapi angin sangat kuat dan ada bunyi ngauman yang menakutkan,” Kata Roberto Monterola, pegawai mitigasi bencana di Catanduanes kepada The Associated Press menerusi panggilan telefon. “Di sepanjang jalan utama di sini, gelombang pasang mencecah lebih 7 meter (23 kaki) berhampiran rumah-rumah tepi laut. Memang menakutkan.”
Seluruh wilayah Catanduanes mengalami gangguan elektrik selepas taufan menumbangkan pokok dan tiang elektrik. Pasukan tindak balas bencana sedang memeriksa jumlah rumah yang rosak selain daripada yang telah terjejas akibat ribut-ribut sebelumnya.
“Kami memerlukan bumbung zink dan bahan binaan lain, selain daripada makanan. Penduduk kampung di sini memberitahu kami yang mereka masih belum pulih daripada ribut sebelum ini dan sekali lagi terkesan oleh taufan ini.” Kata Monterola. Susulan itu, hampir separuh daripada 80,000 orang penduduk di pulau Catanduanes berlindung di pusat pemindahan.
Pegawai Catanduanes sangat bimbang sewaktu taufan menghampiri sehingga mereka mengugut akan menangkap penduduk yang terdedah kepada bahaya sekiranya mereka tidak mematuhi arahan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Menurut Penolong Setiausaha Cesar Idio dari Pejabat Pertahanan Awam dan pegawai-pegawai wilayah lain, ekoran Taufan Man-yi dan dua ribut terdahulu terutamanya di bahagian utara Filipina, lebih daripada 750,000 orang berlindung di pusat perlindungan kecemasan, termasuk gereja dan pusat membeli-belah.
Kesan ribut dan taufan yang datang berturut-turut dan melanda Luzon dalam tempoh tiga minggu, lebih daripada 160 orang meninggal dunia, 9 juta orang terjejas dan kerosakan besar berlaku terhadap kediaman, infrastruktur dan tanah pertanian.
Kesan daripada keadaan semasa tersebut, Filipina mungkin terpaksa mengimport lebih banyak beras, makanan ruji bagi kebanyakan rakyatnya. Menerusi mesyuarat kecemasan, Presiden Ferdinand Marcos Jr. meminta Kabinet dan pegawai wilayah bersedia untuk “senario terburuk”.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina dan pengawai pantai, sekurang-kurangnya 26 lapangan terbang domestik dan dua lapangan terbang antarabangsa ditutup buat sementara waktu selain perkhidmatan feri serta kargo antara pulau ditangguh akibat laut bergelora, menyebabkan ribuan penumpang dan pengangkutan terperangkap.
Amerika Syarikat, sekutu perjanjian Manila bersama Singapura, Malaysia, Indonesi dan Brunei menyediakan pesawat kargo dan bantuan taufan lain untuk Filipina.
Pada bulan lepas, Trami, ribut besar pertama telah melanda Filipina menyebabkan puluhan orang meninggal dunia selepas hujan turun selama satu hingga dua bulan dalam tempoh hanya 24 jam di beberapa bandar.
Filipina dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun. Negara ini juga sering mengalami gempa bumi dan mempunyai lebih daripada dua buah gunung berapi aktif, menjadikannya salah satu negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.