KUALA LUMPUR: Akibat pengubahsuaian haram, sebanyak 73 buah motosikal disita JPJ dalam Operasi Sepadu Motosikal di sekitar ibu negara dan Plaza Tol Gombak.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 4,545 buah kenderaan diperiksa manakala 1,353 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang bermula pada pukul 3 petang hingga tengah malam itu.
“Operasi ini memfokuskan kepada pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.”
“Antara kesalahan dikesan ubah suai casis sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.”
“Selain itu, penggunaan ekzos aftermarket yang menghasilkan bunyi terlalu kuat melebihi had dibenarkan dan penggunaan tayar bersaiz terlalu kecil.”
Tambah JPJ Kuala Lumpur lagi, pihaknya turut menjalankan advokasi berhubung keselamatan topi keledar dan mengedarkan topi keledar mempunyai perakuan Institut Piawaian dan Penyelidakan (SIRIM).
Operasi berkenaan dijalankan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Seramai 19 orang warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada sembilan orang warga Indonesia, Bangladesh (3), India (4) dan lain-lain ditahan dalam operasi yang sama.
Sementara itu, pihak JSPT turut mengeluarkan 134 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas selain pengubahsuaian haram ke atas kenderaan.