Hanya beberapa hari selepas kemalangan treler yang meragut nyawa wanita berusia 21 tahun di Pulau Pinang, satu lagi kemalangan maut melibatkan sebuah treler membawa kontena menyebabkan semakin ramai yang mempersoalkan keselamatan jalan raya di negara ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada pagi Jumaat, 15 November, kemalangan maut membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah treler yang membawa kontena di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Renggam-Machap dekat Kluang, Johor.
Menurut maklumat awal yang dikongsikan warganet di media sosial, tayar lori kontena dilaporkan pecah, mengakibatkan kenderaan besar itu merintangi lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.
Beberapa video memaparkan orang awam cuba membantu pemandu kereta Honda Civic yang merayu kesakitan meminta pertolongan dengan turut kelihatan, seorang penunggang motosikal terbaring kaku di bawah besi penghadang jalan.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan Abd Rahim Razali dalam satu kenyataan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7.43 pagi.
“Penunggang motosikal berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun dalam kereta Honda Civic mengalami kecederaan.
“Pemandu Honda Civic terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas kerana tersepit dalam kenderaan itu,” kata Abd Rahim.
Tambah beliau, penumpang Honda Civic berkenaan dibawa ke hospital oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Sementara itu, Abd Rahim turut memaklumkan pemandu lori treler terbabit, seorang lelaki berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat membabitkan 12 anggota dan dua jentera bomba selesai pada jam 9.11 pagi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam.
Terdahulu pada Rabu 13 November, kemalangan maut membabitkan sebuah treler yang membawa kontena telah terbalik dan menghempap sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam.
Kemalangan yang melibatkan empat buat kenderaan itu mengakibatkan seorang pemandu kereta wanita berusia 21 tahun, Lee Zi Rou maut di lokasi kejadian.
Susulan itu, seorang pemandu treler berusia 51 tahun telah ditahan reman selama empat hari bermula Khamis sehingga Ahad, 17 November bagi membantu siasatan.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, 14 November Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan syarikat yang mengendalikan sebuah treler membawa kontena yang menghempap beberapa kenderaan di Pulau Pinang bakal berdepan dengan penggantungan lesen operasi.
Katanya, tindakan itu akan diambil sekiranya syarikat berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan dan terdapat unsur kecuaian.