25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 28

Pesawat MAS lakukan pendaratan cemas di Hyderabad selepas alami masalah enjin

0

NEW DELHI- Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menuju Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India, terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas pesawat itu mengalami masalah pada satu daripada enjinnya selepas berlepas.

Penerbangan MH199, yang membawa 131 penumpang dan tujuh anak kapal, berlepas pada 12.45 pagi 20 Jun, namun terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Hyderabad pada jam 3.21 pagi apabila percikan api kelihatan keluar daripada enjin kanan pesawat.

@TOIHyderabad / X

Akhbar India Business Standard melaporkan penerbangan MAS bergerak pada ketinggian maksimum 29,000 kaki sebelum turun ke 19,000 kaki. 

Ia terus menurun ke ketinggian 7,200 kaki, yang dikekalkan sehingga 15 minit terakhir sebelum mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi, Hyderabad.

@JacdecNew / X

Semua 138 penumpang dan kru penerbangan disahkan selamat.

Pesawat MH199 adalah jenis Boeing 737-800.

@TOIHyderabad / X

Dalam perkembangan terkini, Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengesahkan bahawa penerbangan MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur telah berpatah balik dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Hyderabad kerana mengalami masalah enjin selepas berlepas.

“Penumpang yang terjejas akan dijadual semula ke penerbangan lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Pesawat itu kini berada di darat untuk pemeriksaan lanjut.

“Keselamatan kekal paling penting kepada Malaysia Airlines,” kata MAB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media India.

Video di sini:

Kedudukan salah, wanita maut tercampak ke tingkap terbuka ketika bersenam guna ‘treadmill’ di gim

0

Baru-baru ini, tular video memaparkan kemalangan maut di sebuah pusat gimnasium di Indonesia yang diperkatakan ramai.

Menerusi perkongsian video oleh @Heraloebss di X, kelihatan seorang wanita sedang bersenam bersama beberapa ahli kecergasan lain menggunakan salah satu ‘treadmill’ di gim berkenaan. 

@Heraloebss / X

Insiden dirakam kamera CCTV di gim itu berlaku di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, lapor Detik.

Kejadian malang berlaku apabila wanita itu tidak dapat mengawal pergerakan kakinya ketika ‘treadmill’ masih berjalan laju, menyebabkan dirinya terjatuh ke belakang lalu tercampak ke tingkap yang terbuka.

@Heraloebss / X

Lebih menyedihkan, wanita itu terpelanting dari tingkat tiga di lokasi gim berada memandangkan tingkap yang berada di belakangnya terbuka dengan luas.

Wanita itu dilaporkan meninggal dunia pada hari kejadian, 18 Jun 2024.

Susulan video yang tular, Ketua Polis Daerah Pontianak, Komisioner Adhe Hariadi dalam satu kenyataan mendedahkan kejadian berlaku di K-Gym, Jalan Paris II, Daerah Pontianak Tenggara, kira-kira jam 2:30 petang.

@Heraloebss / X

“Benar, mangsa meninggal dunia berkemungkinan kerana dia tidak biasa menggunakan treadmill, dia melantun ke belakang lalu jatuh dari tingkap terbuka,” kata Adhe.

Menurutnya, pihak gim memaklumkan biasanya tingkap akan sentiasa ditutup, namun ketika hari kejadian, tingkap di belakang mangsa berada dalam keadaan terbuka.

Tonton video di sini.

Kebakaran di Jalan Pudu, enam buah rumah musnah sepenuhnya

0

KUALA LUMPUR: Kebakaran di Jalan Pudu yang dilaporkan berlaku pada malam Rabu, 19 Jun lalu telah menyebabkan enam buah rumah setinggan musnah sepenuhnya.

BOMBA KUALA LUMPUR

Disamping itu, tiga buah kereta dan tiga buah motosikal selain tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat yang terletak berhampiran turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu pada pukul 8.04 malam.

Seterusnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Jalan Tun Razak, BBP Cheras, BBP Jalan Hang Tuah dan Pasukan Bomba Sukarela Desa Petaling digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

Seramai 25 orang anggota bomba serta enam buah jentera iaitu tiga buah jentera FRT, sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) serta dua buah jentera Water Tanker terbabit dalam usaha memadam kebakaran.

Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Logeswasaran A/L Lavan, kebakaran membabitkan tujuh buah rumah setinggan dengan enam daripadanya musnah seratus peratus. Manakala sebuah lagi rumah musnah 40 peratus.

BH ONLINE

“Kebakaran juga membabitkan rumah kedai dua tingkat dengan kemusnahan seratus peratus di bahagian tingkat atas.”

“Terdapat juga tiga kereta dan tiga motosikal terbabit dalam kebakaran musnah seratus peratus,” Katanya dalam satu kenyataan.

Ujar L Logeswasaran lagi, operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 1.43 pagi dan kejadian tidak membabitkan mangsa.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” Katanya.

Sementara itu, sebuah video singkat yang tular dikongsi oleh pengguna media sosial XioHongShu memaparkan penumpang LRT cemas ketika melepasi bangunan yang terbakar itu.

XIOHONGSHU

Menurut pemilik video, joyce71888 ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari Pudu ke Chansowlin pada pukul 8.30 malam. Dia melihat api marak di seberang jalan.

Joyce71888 melihat api marak semakin mendekat dan dapat merasakan bahangnya. Bukan dia sahaja yang panik, penumpang tren yang lain juga panik dengan situasi tersebut.

Dalam pada itu, Joyce71888 sempat merakam insiden kebakaran tersebut pada saat-saat terakhir tren melepasi kawasan kebakaran terbabit.

“Api dan LRT betul-betul sangat dekat dan menakutkan.” Katanya dalam hantaran tersebut.

Kanak-kanak 7 tahun jual aiskrim depan rumah demi duit poket

0

KUALA TERENGGANU: Kisah kanak-kanak tujuh tahun jual aiskrim depan rumah demi duit poket mendapat perhatian media kerana wajar dijadikan teladan.

BH ONLINE

Biarpun baru berusia tujuh tahun, anak bongsu daripada tiga beradik, Muhammad Irfan Taib memilih untuk mencari duit poket sendiri dengan menjual aiskrim Malaysia di hadapan rumahnya di Kampung Paya Datu, Manir di sini.

Ujar Muhammad Irfan dalam satu temubual, tujuan dia berbuat demikian adalah untuk merasai sendiri pengalaman mencari rezeki dengan berniaga seperti yang dilakukan oleh ibunya.

Muhammad Irfan dengan rela hati menjual aiskrim tersebut selepas mengikuti ibunya, Nor Hafizah Abdullah, 43, yang berniaga di Batu 6.

“Saya pernah beberapa kali ikut ibu berniaga dan daripada situ, timbul minat mahu menjual seperti ibu lalu saya minta ibu sediakan aiskrim untuk dijual.”

“Jadi pada cuti persekolahan Mei lalu, saya mula menjual pelbagai perisa aiskrim dengan harga 50 sen sebatang di hadapan rumah dan memang seronok apabila ada orang beli.”

“Daripada situ, saya tahu bagaimana susahnya mahu mencari duit menyebabkan saya lebih berjimat cermat ketika berbelanja,” Kata Muhammad Irfan.

BH ONLINE

Dalam pada itu, baik Nor Hafizah mahupun suaminya mereka tidak pernah memaksa anak bongsu itu menjual aiskrim Malaysia berkenaan.

Menurut Nor Hafizah lagi, anaknya itu menyuarakan hasrat untuk berniaga selepas mengikutinya berniaga di Batu 6.

“Pada mulanya, saya ingatkan dia main-main tetapi selepas dia bersungguh-sungguh minta saya sediakan aiskrim itu, saya turuti kemahuannya dengan membuatkan aiskrim dan menyediakan meja jualan di hadapan rumah.”

“Sebagai ibu bapa, kami tak mahu manipulasi anak-anak untuk keuntungan tetapi ia lebih kepada pendedahan kepada dia untuk mengenali dunia perniagaan serta pusingan modal.”

“Selain itu, ia juga dapat melatih kemahirannya dalam mengira dan berkomunikasi,” Katanya.

Walau bagaimanapun, perniagaan Muhammad Irfan tidak menentu dan bergantung sepenuhnya kepadanya lantaran tidak mahu mengetepikan zaman kanak-kanaknya.

BH ONLINE

Hal ini dikongsi sendiri oleh Nor Hafizah yang mengatakan jika ada kawan-kawan yang mengajak anaknya bermain, Muhammad Irfan akan menutup kedai.

“Saya dan suami, Taib Abdul Razak, 45, tidak menghalang minat anak selagi dia tidak mengabaikan pelajaran kerana apa yang dilakukan anak ketika ini adalah satu proses pembelajaran,” Katanya.

191 kes jangkitan Gastroenteritis Akut di Tenom, air tercemar disyaki punca

0

KOTA KINABALU- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seramai 191 penduduk di daerah Tenom dijangkiti Gastroenteritis Akut (AGE) dan 37 daripadanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pengarah JKNS Datuk Asits Sanna berkata sebanyak 33 kes telah discaj dan empat kes lagi masih berada di dalam wad dan dalam keadaan stabil, manakala 154 kes menerima rawatan pesakit luar.

Beliau berkata JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom mula mengesan peningkatan kes AGE di daerah itu pada 4 Jun lepas menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.

Gambar BH

“Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan antara 2 hingga 13 Jun mendapati jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191.

“Aktiviti kawalan yang telah dijalankan termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal serta pendidikan kesihatan kepada kes dan orang awam.

“Setakat ini sebanyak 19 sampel klinikal diambil daripada kes yang dimasukkan ke hospital Tenom dan didapati 16 kes menunjukkan kehadiran Rotavirus,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu pada 17 Jun.

Menurut Dr Asits, punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air tercemar serta sampel persekitaran sudah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian dan masih dalam siasatan.

Beliau berkata pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan bagi pemantauan pengklorinan air terawat di daerah berkenaan.

Gambar Bernama

Jangkitan Rotavirus adalah jangkitan usus yang lazim berlaku pada kanak-kanak dengan gejala cirit-birit, muntah dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan.

“Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera ia boleh membawa maut,” kata Dr Asits.

Langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan, masak makanan dengan cara yang betul dan sempurna serta simpan makanan di tempat yang bersih.

“Menggunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit,” katanya.

Jabatan Air Sabah potong 24 paip sambungan haram yang menjejaskan bekalan air di UMS

0

KOTA KINABALU: Jabatan Air Sabah (JANS) telah memotong 24 sambungan paip air haram oleh penghuni setinggan secara terus dari paip utamanya berhampiran Kampung Suang Parai, Sepanggar, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri Sabah berkata sambungan paip haram itu juga merupakan antara punca bekalan air ke takungan utama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terjejas.

Facebook

JANS telah menghantar penguat kuasanya untuk membanteras kegiatan itu dan akan sentiasa memantau keadaan sehingga skim vendor (pembekalan air kepada penghuni setinggan) dilaksanakan sepenuhnya di beberapa kawasan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Facebook

Shahelmey berkata Kementerian Kerja Raya Sabah sedang dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan bekalan air stabil di semua kawasan di negeri ini.

Ugut bunuh pelanggan yang mahu batalkan polisi, ejen insurans ditahan

0

Polis telah menahan seorang ejen insurans selepas melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pelanggannya pada Ahad lalu, 9 Jun.

Kejadian dilaporkan berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang apabila seorang lelaki berusia 30 tahun telah ditahan selepas dia menyerah diri di balai polis.

Ejen insurans itu menyerah diri pada hari yang sama mangsa, seorang penghantar makanan, membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal. (Gambar NST)

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal kepada NST, kira-kira jam 8.13 pagi 9 Jun, mangsa berusia 28 tahun telah menghubungi ejen insuransnya untuk membatalkan polisi insurans.

Mangsa memberitahu dia tidak lagi mampu membayar insurans dan tidak lagi berminat untuk meneruskan polisi itu.

“Ejen insurans itu kemudian mengugut untuk membunuh pelanggannya jika dia membatalkan polisi insurans berkenaan.

“Dia juga berkata akan membayarkan polisi pelanggannya selama tiga bulan untuk melengkapkan tempoh setahun langganan polisi itu.

Sekadar Gambar Hiasan (Gambar CFI)

“Dia juga memberitahu jika pelanggan (mangsa) pergi ke syarikat insurans untuk membatalkan polisi, dia akan ‘memotongnya’,” kata Kamarul.

Mangsa telah membuat laporan polis pada jam 3.47 petang Rabu, 12 Jun.

Kamarul berkata, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Pusat beli-belah di Genting Highlands terbakar, pengunjung panik

0

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat beli-belah di Genting Highlands terbakar dengan asap tebal dan api marak mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.

BH ONLINE

Genting Malaysia Berhad mengesahkan kebakaran yang berlaku tersebut hanya melibatkan pusat beli-belah SkyAvenue, Resorts World Genting.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka menerima laporan mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.30 petang.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu anggota dari BBP Bentong digerakkan ke lokasi bagi kerja memadam kebakaran sebaik sahaja menerima laporan sekitar pukul 4.55 petang.

Kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.15 malam dan semua pengunjung yang berada di pusat beli-belah itu berjaya dipindahkan dengan selamat.

“Kebakaran di SkyAvenue, Resorts World Genting telah dipadamkan kira-kira jam 7.15 malam tadi dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sudah memberi kebenaran untuk SkyAvenue dibuka semula kepada umum.”

“Sebilangan besar kedai di SkyAvenue akan kekal dibuka, kecuali beberapa unit kedai yang berada berhampiran kawasan yang terjejas, akan ditutup buat sementara,” Katanya.

BH ONLINE

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan 1 Ismail Abdul VGhani yang dihubungi memaklumkan kebakaran tidak membabitkan mangsa.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan juga memaklumkan bahawa konsert ‘Best of Chen Lei Hits 2024’ di Arena of Stars akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Syarikat juga menyatakan bahawa kebakaran tersebut tidak menjejaskan operasi taman tema di pusat peranginan itu seperti Genting SkyWorlds dan Skytropolis, serta beberapa lokasi tarikan lain dengan kesemuanya akan beroperasi seperti biasa.

“Awana SkyWay juga akan beroperasi seperti yang dijadualkan,” Katanya.

Seekor kucing terselamat dalam kebakaran tragis Chatuchak korbankan lebih seribu haiwan

0

Seekor kucing secara ajaib terselamat dalam kebakaran tragis baru-baru ini di Chatuchak, Bangkok, Thailand yang mengorbankan lebih 1,000 haiwan untuk peliharaan.

Kucing itu mengalami dehidrasi teruk, mengalami sesak nafas akibat asap, dengan lepuh dan melecur pada kakinya.

Facebook

Selepas diselamatkan, kucing itu segera dibawa ke hospital veterinar di mana pemeriksaan X-ray mendapati dia sedang hamil sebulan, membawa tiga ekor janin kucing dalam kandungannya.

Pengguna Facebook Clouseau Puttiporn berkongsi klip video berdurasi seminit memaparkan seorang lelaki menyelamatkan kucing itu, yang ditemui di atas bumbung salah sebuah kedai yang terjejas di pasar Chatuchak.

Facebook

Menggunakan kayu dengan tali, Suchat Petchthai selamat membawa kucing itu turun dalam beberapa saat dan meletakkannya di dalam sangkar.

Kucing itu kemudian dibawa ke Hospital Haiwan TH, Bangkok di mana dia sedang menerima rawatan.

Facebook

Selain melecur, kucing itu disahkan menghidap radang paru-paru akibat terhidu asap.

Lukanya telah dibersihkan dan dia kini semakin pulih.

Tonton video di sini.

Dua maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Johor

0

JOHOR BAHRU: Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Johor kira-kira pukul 5 petang, Jumaat.

BH ONLINE

Menurut Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar, seorang suspek berusia 42 tahun manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Kata M Kumar lagi, hasil siasatan awal mendapati individu berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Kejadian ini berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan.”

“Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat,” Katanya dalam satu kenyataan.

M Kumar berkata tindakan suspek itu menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek dan insiden berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam Toyota Estima tersebut terkena tembakan dan meninggal dunia.”

Hasil pemeriksaan turut menemukan dua pucuk pistol di dalam kenderaan itu serta sepucuk pistol pada badan seorang suspek.

“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian berbalas tembakan itu mengejutkan penduduk setempat dan video anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh selepas Jalan Abad buat sementara waktu.