25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 10

Jumlah korban Taufan Yagi di Vietnam meningkat kepada 9

0

HA LONG: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh susulan Taufan Super Yagi di Vietnam yang memusnahkan bangunan dan mencetuskan tanah runtuh.

BH ONLINE

Menurut media kerajaan, VNExpress empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan Hoa Binh di utara Vietnam.

VNExpress turut melaporkan bahawa tanah runtuh berlaku ketika tengah malam, selepas hujan lebat selama beberapa jam yang dibawa oleh Yagi, menyebabkan lereng bukit di sebuah rumah runtuh.

“Pemilik rumah berusia 51 tahun berjaya menyelamatkan diri tetapi isteri, anak perempuan dan dua cucunya tertimbus. Tidak lama kemudian mayat semua mangsa berjaya ditemui.”

Terdahulu, Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan berkata, Taufan Yagi yang melanda Vietnam itu membawa angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j).

Ketika taufan melanda, infrastruktur musnah, ribuan pokok tumbang, kapal dan bot hanyut serta beberapa kepingan bumbung logam dan papan tanda dilihat berterbangan.

Menerusi kenyataan lain, media kerajaan juga melaporkan bahawa terdapat seorang lelaki terbunuh di jalan raya selepas angin kencang menumbangkan pokok.

BH ONLINE

“Sudah lama saya tidak menyaksikan taufan sebesar ini.”

“Ia menakutkan. Saya tinggal di dalam rumah, dan mengunci semua tingkap saya. Bagaimanapun, bunyi angin dan hujan sukar dipercayai,” Kata Tran Thi Hoa, seorang wanita berusia 48 tahun dari Hai Phong kepada AFP.

Sebelum melanda tanah besar, taufan itu sudah menumbangkan ratusan pokok di pulau Co To, kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Quang Ninh.

Selain itu, beberapa bangunan pejabat, sekolah dan rumah di pulau itu juga kini tidak berbumbung akibat angin kencang.

Papan tanda di sekitar pulau itu pula dilihat berselerak manakala talian elektrik terputus dan berselirat ditiup angin.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa Taufan Yagi adalah taufan paling buruk melanda pulau itu dalam beberapa dekad.

Sebelum melanda Vietnam, ribut itu membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 92 yang lain, di pulau Hainan di selatan China.

CCTV melaporkan, Taufan Yagi membawa angin lebih 230 kilometer (143 batu) sejam dan menumbangkan pokok serta menyebabkan sekitar 460,000 orang dipindahkan.

“Hainan dilanda hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 92 cedera,” Kata Xinhu yang memetik pihak berkuasa tempatan.

BH ONLINE

Dalam pada itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan penduduk dari kawasan berbahaya sebelum ribut melanda malah menasihati penduduk lain untuk berada dalam rumah.

Di utara Hai Phong, Thai Binh dan Hanoi, pihak berkuasa tempatan melaporkan kira-kira 20,000 orang dipindahkan dan diletakkan di tempat yang lebih selamat dan lebih tinggi.

Teradapat ramai mangsa yang turut berlindung di sekolah, tadika dan bangunan awam yang lain.

Kementerian Pertahanan berkata, lebih 457,000 orang yang kebanyakannya merupakan kumpulan pekerja profesional turut digerakkan oleh jabatan penyelamat untuk menangani akibat taufan itu.

Kira-kira 2,000 kenderaan dan enam buah pesawat juga dihantar untuk menangani situasi itu.

Tebing sungai runtuh, Gamuda henti kerja pembinaan projek bekalan air Rasau

0

KUALA LUMPUR: Tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) runtuh dan menjejaskan kerja-kerja pembinaan.

BERNAMA

Susulan runtuhan tersebut, air kolam melimpah masuk ke bahagian hadapan tapak pembinaan projek yang terletak di Taman Mas, Puchong, Selangor yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 2 petang pada Sabtu.

“Air melimpah memenuhi tapak pembinaan,” menurut Gamuda Berhad dalam satu kenyataan sambil menambah tiada kecederaan yang dialami pekerja pembinaan mahupun orang awam.

Susulan itu, semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air itu dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

“Semua pihak di tapak pembinaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan tindakan yang sesuai … keutamaan kami ialah keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar,” Menurut Gamuda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, JBPM mengarah pihak pengurusan projek itu untuk memberhentikan kerja-kerja pembinaan.

“Runtuhan tebing sungai telah menenggelamkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air sedalam 19 meter,” Katanya.

Menerusi kenyataan lain, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata rekahan baharu yang dikesan di tapak projek tersebut dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah yang berlaku susulan kejadian tebing sungai runtuh berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan di lokasi masih terkawal setakat ini.

BH ONLINE

“Pihak bomba menjalankan pemantauan berkaitan arahan untuk henti kerja yang dikeluarkan sebelum ini di lokasi berkenaan.”

“Setakat ini, lokasi kejadian terkawal namun masih ada rekahan dikesan akibat pergerakan tanah susulan kejadian,” Katanya.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelemat Cyberjaya kini berada di lokasi untuk melakukan pemantauan lanjut.

“Kejadian yang berlaku semalam itu tidak membabitkan mangsa. Semua pekerja berjaya keluar daripada tapak pembinaan itu. Pihak bomba turut dimaklumkan bahawa proses runtuhan tebing mengambil masa kira-kira 20 minit.”

“Kejadian dipercayai bermula dengan bunyi akibat pergerakan tanah sebelum siren diaktifkan untuk mengeluarkan semua pekerja ke tempat selamat.”

“Buat masa ini, punca kejadian masih dalam siasatan,” Katanya.

Latif Romly bawa pulang perak, gagal pertahan emas acara lompat jauh

0

PARIS: Impian jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk melengkapkan hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian selepas membawa pulang pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Dalam acara awal pagi Ahad, lompatan akhir Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51 meter (m) menolak Latif yang sebelum itu seakan mempertahankan emasnya dengan catatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiga.

@craigansibin/X

Membuka langkahnya di Stade de France, Latif sedikit ketinggalan pada percubaan pertamanya apabila melakukan lompatan sejauh 7.22m, di belakang Hassan Dawshi dari Arab Saudi (7.27m).

Latif kemudian berjaya memimpin kedudukan pada percubaan kedua dengan jarak sejauh 7.43m bagi mengatasi catatan musim terbaiknya 7.30m ketika muncul juara dunia di Kobe, Jepun, Mei lalu dan terus memperbaiki catatan pada lompatan ketiga dengan 7.45m.

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu gagal mengekalkan rentaknya apabila baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan sekali gus menyaksikan Iakushev merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Atlet Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa menerusi lompatan terbaik 7.38m yang hadir pada percubaan keduanya.

Pencapaian Latif menyaksikan Malaysia menambah satu lagi perak selepas rakan sepasukannya, Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Malaysia sudah memperoleh dua emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Seorang lagi atlet olahraga para negara Eddy Bernard menyumbang gangsa dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Wira selamatkan pasangan terjatuh Jambatan Pulau Pinang dikurnia Bintang Jasa Perkasa Persekutuan

0

KUALA LUMPUR: Anggota tentera yang bergadai nyawa terjun ke laut untuk menyelamatkan pasangan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari lalu dikurniakan Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) bagi menghargai jasa beliau.

Sarjan Mazlan Abdul Rahman, 35, menjadi penerima tunggal bintang berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Istana Negara pada 7 September.

Gambar Bernama

Berbekalkan pengalaman sebagai jurulatih jasmani dan sukan, Sarjan Mazlan yang telah berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 14 tahun bertindak berani apabila terjun dari jambatan setinggi 20 meter demi menyelamatkan dua individu terbabit daripada lemas.

Sarjan Mazlan yang pernah terlibat dalam penugasan Misi Pengaman MALBATT 850-9 di Lubnan pada 2022 dan kini bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang menzahirkan rasa kesyukuran serta terharu selain tidak menyangka akan menerima penghargaan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Semasa kejadian apa yang terlintas di fikiran saya hanyalah untuk membantu mangsa,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menceritakan semula detik kejadian, Mazlan berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani dan menyedari betapa pentingnya untuk menyelamatkan nyawa manusia dalam bahaya yang selama ini diterapkan dalam TDM.

Mazlan yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah, pernah berkhidmat di Kelantan sebelum dipindahkan ke Pulau Pinang pada hujung tahun lalu.

Gambar Bernama

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki berusia tujuh dan tiga tahun ini juga baru sahaja sembuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 31 Julai lalu dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian tangan.

27 Julai lalu, Sarjan Mazlan dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang.

Beliau turut dinaikkan daripada koperal kepada sarjan sebagai penghargaan atas keberaniannya.

Bonnie Bunyau Gustin raih pingat emas, pecah rekod dunia

0

PARIS: Bonnie Bunyau Gustin atau lebih dikenali sebagai badang negara berjaya raih pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Bonnie bukan sekadar memenangi pingat emas menerusi acara powerlifting kategori 72 kilogram, malah dia berjaya memecahkan rekod dunia yang diciptanya sendiri pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Ketika di Dubai, Bonnie berjaya melakukan angkatan seberat 231 kilogram. Manakala pada temasya kali ini, angkatan berat yang berjaya dilakukannya ialah 232 kilogram.

Kejayaan kali ini juga memadam rekod lama milik Bonnie iaitu 228 kilogram pada edisi Tokyo 2020.

Anak kelahiran Serian, Sarawak berusia 25 tahun itu memulakan aksi dengan mengangkat bebanan seberat 221 kilogram pada percubaan pertamanya. Pada percubaan kedua, dia berjaya mengangkat bebanan seberat 226 kilogram dan 232 kilogram pada percubaan ketiga yang melayakkannya memenangi pingat emas.

Sementara itu, Hu Peng dari China meraih pingat perak dengan angkatan seberat 214 kilogram manakala Donato Telesca dari Itali pula meriah pingat gangsa dengan angkatan seberat 213 kilogram.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Disebalik kejayaan Bonnie, dia sebenarnya terpaksa melawan kesakitan pada bahagian bahu kirinya yang dialami sejak seminggu lepas sewaktu menjalani latihan menjelang acara yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena tersebut.

“Seminggu saya rasa sakit di bahagian bahu kiri sehingga menjadi bengkak dan masih belum surut hari ini.”

“Angkatan pertama tadi memang sakit, saya tahan juga untuk teruskan angkatan kedua dan kali ketiga lebih sakit, saya belum pernah lagi mengalami kecederaan sebegini, sebelum ini bahu belakang sahaja,” Katanya kepada Bernama sejurus upacara penyampaian pingat.

Berikutan kecederaan itu, Bonnie mendedahkan dia berasa tertekan sehingga meragui kemampuannya untuk bersaing di pentas kedua Paralimpik selepas Tokyo 2020.

“Saya memang takut tak dapat buat (beraksi di Paris 2024) namun saya cuba tenangkan diri dua hingga tiga hari sebelum hari pertandingan bagi memastikan keadaan mental saya berada dalam keadaan baik dan meningkatkan motivasi diri buat sehabis baik,” Katanya.

Menurut Bonnie Bunyau Gustin, dia dan barisan jurulatih sememangnya mahu menjamin emas terlebih awal dalam dua percubaan pertama diikuti memecahkan rekod dunia pada percubaan terakhir.

Bonnie berjaya mencapai impian tersebut dan mendedikasikan kejayaan itu untuk diri sendiri selain keluarga, jurulatih, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) atas sokongan padu diberikan mereka kepadanya selama ini.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Dalam pada itu, Bonnie juga berkata dia merancanga menggunakan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM1 juta yang bakal dinikmatinya itu bagi membantu keluarganya di Sarawak terlebih dahulu.

Pingat perak hapus “episod hitam” Muhammad Ziyad

0

PARIS: Pingat perak yang dimenangi Muhammad Ziyad menerusi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) hapus “episod hitam” di Tokyo 2020.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penyertaan Ziyad dibatalkan gara-gara dia lewat ke bilik panggilan.

Bagi temasya Paris 2024 ini, atlet berusia 34 tahun ini hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France.

Ziyad memulakan saingan dengan lontaran berukuran 16.75 meter pada percubaan pertama, 16.66 meter pada percubaan kedua dan 17.18 meter pada percubaan ketiga.

Walaupun pemenang pingat emas Rio 2016 itu cuba bangkit namun tidak berupaya memintas catatan terbaiknya dengan lontaran terakhir sejauh 16.86 meter.

Sementara itu, pemenang pingat emas disandang oleh atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi (17.61 meter). Manakala pingat gangsa pula menjadi milik Maksym Koval (16.99 meter) juga dari Ukraine.

Menurut Ziyad dalam satu kenyataan, walaupun tidak berjaya merampas semula pingat emas namun dia tetap berpuas hati dapat menaiki podium.

“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri terbaik tadi.”

“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” Kata Ziyad kepada Bernama.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Muhammad Ziyad berazam untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 nanti.

“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.”

“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” Katanya.

Ziyad turut mendedikasikan kemenangan kali ini buat bapanya Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 pada 1 September lalu.

Pusat beli-belah di Pakistan digeledah pembeli berada luar kawalan pada hari pembukaan

0

Sekumpulan pembeli bertukar perusuh yang bertindak di luar kawalan apabila bergegas ke pusat beli-belah terbesar di Pakistan Dream Bazaar Mall, pada hari pembukaannya. 

Kekacauan berlaku apabila para pembeli bertindak berebut-rebut dan menggeledah pusat membeli-belah yang berada di Karachi itu.

@MeghUpdates/X

Pembukaan Dream Bazaar Pakistan yang dimaklumkan secara besar-besaran bertukar huru-hara apabila segerombolan para pembeli yang teruja telah menyerbu pusat beli-belah itu dan membersihkannya dalam masa 30 minit, memusnahkan sebahagian besar harta benda yang ada dalam proses itu. 

Visual yang dikongsi di media sosial menunjukkan ahli kumpulan perusuh yang tidak terkawal berasak-asak dan menolak antara satu sama lain demi mendapatkan tawaran terbaik, pakaian berselerak di atas lantai dan pekerja berdiri tidak berdaya.

Dream Bazaar di Karachi telah diiklankan secara agresif sebagai kedai jimat terbesar di Pakistan, menjanjikan diskaun yang luar biasa untuk pakaian berjenama, peralatan rumah dan aksesori. 

@MeghUpdates/X

Mungkin berminat untuk mendapatkan tawaran yang baik, beribu-ribu penduduk Karachi berpusu-pusu ke pusat beli-belah itu pada hari perasmiannya.

Bagaimanapun, kekurangan kawalan dan tindakan polis menyebabkan pusat beli-belah itu digeledah oleh para pembeli yang tidak dikawal. 

Laporan media tempatan mendakwa pakaian dicuri, orang ramai ditolak sambil berasak-asak dengan sebahagian harta benda dirosakkan oleh perusuh. 

@MeghUpdates/X

Pengurusan Dream Bazaar Mall bergelut untuk mengawal orang ramai yang berpusu-pusu. Apabila beberapa pekerja menutup pintu depan kepada lebih ramai pembeli yang mara, individu yang bersenjatakan baton memecahkan pintu kaca dan meluru masuk.

Menurut ARY News, polis tidak campur tangan untuk mengawal orang ramai, tetapi beberapa saksi berkata polis dilihat memukul orang yang tidak bersalah di tempat kejadian.

Cheah Liek Hou hadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia

0

PARIS: Cheah Liek Hou hadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia menerusi acara perseorangan lelaki SU5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Kejayaan pada temasya kali ini sekali gus membuktikan pilihan utama negara ini mampu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya ketika di Tokyo 2020.

Liek Hou terikat pada kedudukan 3-3 di awal permainan, namun berjaya bangkit dan terus menguasai gelanggang hingga berjaya menewaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit.

Menerusi satu kenyataan, Liek Hou dikatakan enggan memikirkan soal menggantung raket buat masa ini sebaliknya bertekad untuk terus berjuang demi negara.

Menurut Liek Hou, kejayaan mempertahankan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 ini bukanlah pengakhiran buat kariernya.

Hal ini dikatakan demikian kerana Liek Hou masih mahu mencipta lagi kejayaan demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Biarpun tidak boleh meramalkan peluang untuk beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28), Liek Hou mengatakan bahawa dia mahu memberi tumpuan terlebih dahulu pada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Japan.

“Kejayaan menang emas di sini menandakan kondisi saya masih boleh tahan lagi, jadi saya mahu cipta lebih banyak rekod dan sejarah buat sukan badminton para selagi diri masih kuat,” Katanya kepada Bernama.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Mengulas mengenai perlawanan menentang wakil Indonesia, Liek Hou berkata Suryo kadang kala terperangkap dengan tiupan angin di lokasi pertandingan.

Melihatkan keadaan itu, Liek Hou menukar corak permainan kepada mod menyerang di penghujung set kedua demi memastikan emas kekal menjadi miliknya.

Ditanya mengenai tindakannya yang memeluk jurulatihnya Nova Armada sejurus memenangi permainan, Liek Hou mengatakan Nova sentiasa berada di sisinya ketika senang dan susah.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

“Jurulatih Nova faham karakter saya, dia tahu betapa saya susah dan bergelut dari dahulu sampai sekarang. Saya tidak mahu mengecewakan dia sebab itu kejayaan ini mahu didedikasikan kepadanya juga,” Kata Liek Hou.

Difahamkan, selepas temasya di Paris ini, Liek Hou merancang untuk berehat sebentar dan membawa isterinya, Dewi Febriana, 31 pulang ke kampung halaman di Medan, Indonesia selain melancong ke luar negara.

Dalam pada itu, Cheah Liek Hou turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan termasuk menterinya Hannah Yeoh, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas bantuan yang mereka berikan sebelum ini.

Sementara itu, wakil negara Muhammad Fareez Anuar, 28, gagal mendapatkan pingat gangsa apabila tewas kepada Dheva Anrimusthi dari Indonesia bagi kategori sama, perseorangan lelaki SU5.

Malaysia pada ketika ini berkongsi kedudukan ke-41 bersama Georgia dan Afrika Selatan apabila masing-masing terikat dengan pungutan satu pingat emas dan satu pingat gangsa.

OLYMPICS.COM

Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

Eddy Bernand sumbangkan pingat gangsa buat Malaysia

0

PARIS: Eddy Bernand sumbangkan pingat gangsa buat Malaysia menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Atlet dari Sabah yang berlari di lorong ketiga itu bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 11.58 saat.

Pingat emas menjadi milik wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan masa 11.12 saat. Manakala pingat perak pula menjadi milik atlet dari Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan catatan masa 11.20 saat.

Walaupun dilahirkan dengan keadaan sebahagian jari tangan bersambung dan kaki kecil di bahagian kanan, anak kelahiran Beluran, Sabah ini sentiasa berfikiran positif.

“Bila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.” Katanya dalam satu kenyataan.

Eddy Bernand bukan sekadar memenangi pingat gangsa malah catatan masa yang dilakukannya itu memecahkan rekod Asia terdahulu milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75 saat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Menurut atlet berusia 23 tahun itu, semangatnya untuk melakar kejayaan tertinggi dalam karier membara setelah jurulatihnya, Hamberi Mahat memberikan kata-kata semangat sebelum pertandingan.

“Coach kata bantai, bantai dan langgar sahaja, jangan banyak fikir, fikir diri sendiri sahaja,” Kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Pemenang pingat perak pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 itu juga mahu mendedikasikan kemenangan kali ini kepada keluarga, Hamberi dan rakan-rakan yang sentiasa menyokongnya selama ini.

Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

“Terima kasih semua, dah jumpa Uncle”, wanita syukur berjaya jejak insan baik hati yang membantunya ketika diri buntu di SUKE

0

Selama hampir sebulan, seorang wanita cuba menjejaki lelaki yang menghulurkan bantuan penuh keikhlasan ketika keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan di lebuh raya.

Berkat hantaran media sosialnya yang tular, Siti Aishah Shauqina Wahidi, 25, berjaya menjejaki lelaki itu, Ang Ngee Seng, dan dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dapat bertemu dengan penyelamatnya ketika dia sedang panik.

TikTok

“Saya terharu dan hargai bantuan ‘Uncle’, dan saya bersyukur dapat bertemu dengannya. Terima kasih uncle, kerana sudi membantu dan memandu kereta saya ketika saya buntu,” kata Siti Aishah.

Mengimbau kembali kejadian itu, Siti Aishah Shauqina berkata keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan kira-kira jam 6 petang di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada 24 Julai lalu.

Ketika kejadian, Ang telah bingkas berhenti untuk membantu Siti Aishah yang sedang panik dan tidak tahu membuat apa selepas keretanya mengalami kerosakan brek.

Siti Aishah berkata selepas Ang membantu dengan membawa keretanya ke lokasi selamat, dia hanya dapat mengucapkan terima kasih tetapi tidak berkesempatan untuk bertukar nombor telefon, menyebabkan dia memulakan usaha untuk mencari Ang di TikTok.

TikTok

“Perkongsian saya telah menarik perhatian ramai, dan mereka mahu membantu, akhirnya saya dapat menemui uncle pada 22 Ogos lalu. Saya mahu belanja uncle makan sebagai tanda penghargaan kepadanya yang sudi membantu ketika itu.

“Sebaik sahaja saya mendapat nombor telefon uncle, saya hantar mesej kepadanya, tetapi dia tidak layan dan membalasnya. Sehingga minggu kedua barulah uncle jawab selepas saya tunjukkan berita mengenainya.

“Uncle cakap dia ingat saya scammer. Saya bersyukur akhirnya saya dapat jumpa uncle,” katanya kepada Harian Metro.

Semasa pertemuan itu, mereka banyak bercerita tentang hari kejadian, dan Ang turut memberitahu bantuan yang ditawarkannya adalah ikhlas.

TikTok

Siti Aishah berkata, Ang juga menyebut dia tiba-tiba menjadi “popular” selepas kisah itu menjadi tular, dan beberapa pihak media mahu menemu bualnya, tetapi dia dengan sopan menolaknya.

“Ramai yang komen di TikTok kata mereka kenal uncle dan memaklumkan uncle memang seorang yang baik hati suka membantu sesiapa saja. Bagi saya, uncle memang baik kerana sanggup memandu kereta saya yang rosak.

“Bayangkan uncle pandu kereta saya dengan pedal brek yang mengeras, dan dia kawal kereta saya dengan hanya brek tangan, sementara saya memandu keretanya.

“Selepas itu, dia pesan saya supaya duduk di hadapan kereta kerana lebih selamat daripada duduk di belakang. Nasihatnya seperti seorang bapa.

“Selepas 10 minit, abang dan ibu saya sampai. Kalau uncle tak tolong, saya terpaksa tunggu bantuan pihak lebuh raya, dan lokasinya tidak sesuai kerana di situ selekoh berbahaya selain banyak kenderaan kerana sedang waktu puncak orang balik kerja,” kata Siti Aishah.

TikTok

Pekerja syarikat swasta itu berkata perkongsiannya di TikTok bukan untuk mendapat perhatian, sebaliknya hanya usaha untuk mencari Ang supaya dia dapat menyampaikan penghargaannya.

Siti Aishah berterima kasih kepada para netizen yang membantunya menjejaki Uncle Ang sehingga berjaya.

“Kisah ini juga menunjukkan bantuan boleh dihulurkan tanpa mengira bangsa, asalkan kita ada sifat simpati dan empati. Dua elemen ini mesti diterapkan dalam diri kita, dan dengan itu, kita akan dapat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” kata Siti Aishah.