32.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 4, 2026
Utama Blog Laman 11

New York Times bergantung pada putar belit, tinggalan maklumat demi memburukkan Shen Yun

0

The New York Times dalam artikel panjang lebar yang diterbitkan pada 15 Ogos menyerang Shen Yun Performing Arts, salah satu syarikat tarian dan muzik perdana dunia, mempergunakan gambaran salah, peninggalan maklumat penting dan amalan kewartawanan yang boleh dipersoalkan.

Pengarang dan wartawan New York Times Nicole Hong dan Michael Rothfeld, mengabaikan sejumlah besar maklumat yang bercanggah dengan dakwaan teras artikel mereka, dan sebaliknya seolah-olah memberi gambaran berdasarkan naratif yang telah ditetapkan.

Artikel itu banyak bergantung kepada temu bual dengan sekumpulan kecil bekas artis persembahan yang tidak berpuas hati untuk memberi gambaran salah mengenai polisi kumpulan seni, tuntutan fizikal yang berkaitan dengan tarian profesional dan kepercayaan agama pengasas syarikat.

Artis persembahan Shen Yun berkumpul di atas pentas semasa panggilan tirai di Teater Paramount di Cedar Rapids, Iowa, Amerika Syarikat pada 24 Okt. 2021. (Gambar oleh Hu Chen/The Epoch Times)

The Epoch Times difahamkan beberapa bekas artis persembahan yang dihubungi oleh New York Times telah ditanya soalan secara khusus tentang kecederaan tarian atau topik lain dalam cara yang kelihatan direka untuk menimbulkan komen negatif berkaitan Shen Yun.

The Epoch Times juga menyemak tiga maklum balas yang ditulis kepada wartawan New York Times di mana bekas artis menolak pendekatan wartawan terhadap cerita itu. Pengarang hampir sepenuhnya mengecualikan maklum balas tersebut, meninggalkan dalam artikel 5,000 perkataan dengan hanya satu komen pendek daripada bekas penari yang memuji Shen Yun.

Wakil dari Shen Yun berkata dakwaan yang diterbitkan oleh The New York Times datang daripada sekumpulan kecil bekas artis persembahan, segelintir daripada mereka dilepaskan kerana melanggar peraturan atau gagal melepasi bar secara artistik.

Shen Yun diasaskan di Amerika Syarikat oleh pengikut amalan kerohanian Falun Gong pada tahun 2006 untuk menghidupkan semula budaya tradisional Cina yang tidak dicemari oleh pengaruh komunis. Syarikat itu kini mempunyai lapan kumpulan jelajah, terdiri daripada penari, penyanyi dan orkestra penuh, yang membuat persembahan di seluruh dunia untuk kira-kira sejuta penonton secara langsung pada setiap tahun.

Syarikat seni persembahan bukan berasaskan keuntungan itu beribu pejabat di kampus indah terletak di utara New York yang turut merangkumi dua sekolah gabungan seni dan agama, Akademi Seni Fei Tian dan Kolej Fei Tian.

Seperti yang dilaporkan The Epoch Times sebelum ini, Shen Yun berhadapan cabaran dengan cubaan campur tangan serta sabotaj tanpa henti oleh Parti Komunis China (PKC), yang melihat Shen Yun sebagai ancaman besar kepada kawalan ideologi Parti.

PKC terkenal dengan usahanya menyebarkan maklumat salah dalam masyarakat Barat melalui proksi, termasuk media asing dan pengaruh media sosial. Maklumat yang dibocorkan oleh individu dalam Parti baru-baru ini menunjukkan dorongan baharu dalam hal ini, termasuk arahan khusus untuk menyokong YouTuber Cina yang terkenal kerana membuat ancaman terhadap Shen Yun dan telah ditandakan oleh FBI sebagai “berpotensi bersenjata dan berbahaya” selepas dia dikesan berada berhampiran kampus Shen Yun.

Selepas The New York Times menerbitkan artikelnya, YouTuber berkenaan mengucapkan terima kasih kepada wartawan atas “kerja keras” mereka di media sosial dan berbangga bahawa dia telah memperkenalkan mereka kepada bekas artis Shen Yun yang tidak berpuas hati.

Persembahan, “Flowing Sleeves,” daripada program Seni Persembahan Shen Yun 2009. (Gambar Shen Yun Performing Arts)

Penjagaan kesihatan

Artikel New York Times memaparkan semula beberapa propaganda terawal PKC, termasuk—dalam tajuk berita—bahawa pengamal Falun Gong menolak rawatan perubatan.

Artikel itu mendakwa 14 bekas artis persembahan Shen Yun memberitahu wartawan “mereka mengalami kecederaan atau penyakit tidak dirawat—atau melihat rakan lain yang cedera tanpa mendapat rawatan.” Tidak dapat dipastikan berapa ramai daripada 14 orang itu yang berkata mereka cedera dan berapa ramai yang berkata mereka hanya melihat seseorang cedera. Ia juga tidak jelas sama ada ini adalah insiden berasingan atau bertindih.

Pihak syarikat menafikan terdapat kecederaan yang tidak dirawat.

“Kami mengalami kecederaan, tetapi kadarnya sangat rendah jika dibandingkan dengan sukan profesional atau syarikat seni persembahan lain,” kata Piotr Huang, seorang penari utama dan pengajar di sekolah itu.

Perkara itu disebabkan oleh pemeriksaan berkala untuk mengukur tahap kecergasan dan teknik yang betul, beberapa penari sebelum ini memberitahu The Epoch Times.

“Dalam keadaan yang jarang berlaku di mana seseorang mengalami kecederaan, mereka sentiasa dirawat dengan segera,” kata Huang.

Dari segi secara khusus, The New York Times hanya menyebut beberapa contoh: dua penari mengatakan buku lali mereka terseliuh, seorang mengatakan terkehel tempurung lutut, seorang pemuzik mengatakan dia terluka ketika pergerakan tangan memainkan alatannya, seorang lagi pemuzik mengadu sakit bahu, dan dua penari dengan kecederaan yang tidak ditentukan pada lengan dan paha.

Tiada seorang pun artis persembahan yang dipetik sebagai berkata mereka menolak untuk menerima rawatan perubatan. Sebaliknya, mereka berkata tidak meminta untuk berjumpa doktor kerana takut mereka akan menerima kritikan kerana berbuat demikian.

The Epoch Times telah menemu bual dengan puluhan penari Shen Yun yang masih aktif dan bekas penari, dengan ramai antara mereka yang mengalami kecederaan berbeza-beza tahap kesakitan dan telah dirawat. Tiada seorang pun daripada mereka yang menyebut takut dikecam kerana mendapatkan rawatan.

Tidak seperti atlet kelas atasan, penari elit memang mempunyai kecenderungan untuk menanggung ketidakselesaan dan “bertahan dengannya”, beberapa pengajar Shen Yun memberitahu The Epoch Times.

“Saya seorang yang sentiasa berfikir bahawa setiap halangan boleh diatasi dengan menjadi tabah, dengan hanya mengharunginya,” kata Huang.

Tahun lalu, Huang mula berasa sakit pada tendon Achilles. Beliau mahu terus menari, tetapi gurunya menyuruhnya berehat.

“Mereka memberitahu saya untuk benar-benar memikirkan kerjaya saya untuk jangka masa panjang, menanggung risiko kecederaan adalah tidak berbaloi,” katanya.

Penari utama Shen Yun Piotr Huang di New York pada 10 Disember 2023. (Gambar oleh Blake Wu/The Epoch Times)

Pengajar Shen Yun sentiasa memerhatikan tanda-tanda ketegangan atau kecederaan, kata William Li, penari utama dan pengajar.

“Sebaik sahaja saya menyedari terdapat sesiapa mengalami apa-apa jenis kesakitan atau ketidakselesaan, saya mahu penari itu berehat, dan kemudian kami akan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera,” katanya.

Kira-kira sebulan yang lalu, beliau menyedari bahawa salah seorang penari di syarikatnya kelihatan tidak selesa pada lututnya apabila melakukan pendaratan lompatan.

“Sebaik sahaja saya menyedarinya, saya mahu beliau mendapatkan MRI dan X-ray segera,” katanya.

MRI mendedahkan “sedikit koyak pada ligamennya,” jadi beliau menerima rawatan dan “beliau kini sedang berehat,” katanya.

“Saya fikir beliau akan berehat sekurang-kurang dua minggu lagi sebelum saya mahukannya boleh mula berlatih semula,” kata Li.

Artis lain berkongsi pengalaman yang sama.

Helena Huang mula menghadiri Akademi Fei Tian pada 2012 dan mula menyertai jelajah Shen Yun sebagai pemain seruling pada 2014.

Tidak lama dahulu, Huang merasakan ketegangan di leher, belakang, dan bahunya. Kesakitan itu hilang selepas beliau berehat daripada membawa barang berat, tetapi apabila Huang mengutarakan kepada pengurusnya, artis itu tetap dirujuk kepada ahli terapi fizikal.

“Mereka benar-benar prihatin,” katanya. “Saya tidak fikir mana-mana sekolah atau syarikat kami mengehadkan kami untuk tidak pergi ke hospital atau mendapatkan rawatan perubatan.”

Huang juga sedar beberapa pemuzik Shen Yun mengikuti kelas Teknik Alexander untuk membantu mereka mengendurkan otot dan memperbaiki postur.

Seperti yang diakui The New York Times, Shen Yun menekankan persembahan yang sempurna. Membiarkan penari yang cedera di atas pentas akan merencatkan matlamat syarikat, kata Piotr Huang.

“Anda mempunyai tanggungjawab kepada penonton. Kami mahu membawa apa yang terbaik kepada mereka,” katanya.

“Sesungguhnya, kami tidak akan membuat persembahan dengan kecederaan, kerana itu tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Li bersetuju dengan berkata, “Anda bertanggungjawab memastikan penari anda sihat, dan itulah cara anda berkembang sebagai sebuah syarikat.”

Bergantung pada keterangan “bekas artis dan pengajar” yang tidak dinyatakan secara khusus, The New York Times mendakwa beberapa kecederaan serius telah dirawat, tetapi “campur tangan seperti itu jarang berlaku.”

The Epoch Times, bagaimanapun, telah berbual dengan para doktor yang menyatakan mereka menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk artis persembahan Shen Yun secara tetap.

“Saya secara peribadi telah menilai secara perubatan dua hingga tiga artis setiap bulan, kira-kira 30 penari setahun,” kata Dr Damon Noto, yang mengajar sains bioperubatan di Kolej Fei Tian dan pengamal perubatan fizikal, pemulihan dan pengurusan kesakitan di Northern Medical Center, kira-kira 20 minit pemanduan dari kampus Shen Yun.

Dr. Damon Noto pengamal perubatan fizikal, pemulihan dan pengurusan kesakitan di Northern Medical Center. (The Epoch Times)

“Saya telah dirujuk dengan segala-galanya daripada kes luka kecil dan lebam, kepada terseliuh dan ketegangan, terkehel sendi, sakit sendi atau sakit belakang yang teruk,” katanya kepada The Epoch Times.

“Dalam interaksi saya, syarikat dan pengurusnya sentiasa menunjukkan keprihatinan yang bersungguh terhadap artis mereka dan telah memberi galakan demi memastikan mereka mendapat penjagaan dan pemulihan yang sesuai,” katanya.

Kerana lokasinya yang berdekatan dan mudah, pusat perubatan itu mempunyai persefahaman dengan Shen Yun untuk menyediakan atau memudahkan perkhidmatan perubatan dalam jangka masa singkat, termasuk penyediaan sinar-X dan imbasan MRI, kata ketua eksekutifnya, Dr. Jingduan Yang kepada The Epoch Times.

Selain rawatan biasa, pusat perubatan ini menawarkan rawatan alternatif perubatan tradisional Cina.

Serene Feng, doktor perubatan oriental di Northern Medical Center, berkata beliau melihat kira-kira 10 individu dari Shen Yun sebulan, yang datang melawat bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pengurusan kesakitan dan kelegaan tekanan.

“Sesetengah daripada mereka melawat saya setiap minggu, bergantung pada keadaan,” katanya kepada The Epoch Times.

Dr. Yang berkata, “Setakat dalam pengetahuan saya, artis Shen Yun mendapat terapi yang tepat pada masanya dan sebenarnya lebih komprehensif dan holistik untuk sebarang kecederaan yang mungkin mereka alami.”

Beliau menjelaskan pusat perubatan itu hanya dirujuk kes apabila Shen Yun berada dalam negara. Apabila artis dalam jelajah, mereka tetap menerima penjagaan kesihatan yang diperlukan di kemudahan perubatan di seluruh dunia.

Li dan Piotr Huang berkata syarikat itu mempunyai hubungan hospital yang baik di Amerika Syarikat dan di perhentian jelajah biasa di seluruh dunia supaya sebarang kes boleh “menjadualkan pembedahan segera,” walaupun ketika artis sedang dalam siri jelajah.

Amalan kewartawanan yang diragui

Dalam laporan itu, wartawan The New York Times menunjukkan kekurangan integriti kewartawanan dalam beberapa hal.

Rekod e-mel yang disemak oleh The Epoch Times menunjukkan bahawa Rothfeld dan Hong menyediakan masa hanya 24 jam kepada Shen Yun untuk menyediakan rekod perubatan—dokumen yang akan menjejaskan dakwaan utama pengarang tentang rawatan perubatan yang dinafikan.

Ying Chen, naib presiden Seni Persembahan Shen Yun, menjawab permintaan mereka untuk rekod, bertujuan menjelaskan mengapa ia tidak realistik dalam masa yang singkat.

“Anda meminta kami mendapatkan penyerahan penting rekod perubatan untuk rawatan kecederaan sejak beberapa tahun lalu… dapatkan tandatangan keluar yang diperlukan daripada setiap pesakit… untuk berkongsi rekod perubatan persendirian ini secara sah dan menyerahkannya, semua itu kepada anda, dengan masa 24 jam? Anda kena faham artis kami telah dirawat oleh profesional perubatan di seluruh dunia di Taiwan, Jepun, Korea Selatan, A.S., Kanada dan Eropah?” Chen menulis kepada wartawan.

Chen kemudian menawarkan untuk mengatur temu bual dengan para penari.

“Sebagai idea alternatif, kami tertanya-tanya sama ada anda akan mendapati ia berguna dan informatif untuk menemu bual beberapa artis kami yang telah menerima pelbagai peringkat rawatan kesihatan supaya anda boleh mendengar daripada mereka secara langsung tentang kecederaan, rawatan dan pemulihan mereka?” tulis Chen dalam e-mel yang sama.

Ini merupakan konsesi penting di pihak syarikat; lima bulan sebelum itu, syarikat telah menolak permintaan wartawan untuk temu bual, berdasarkan sejarah panjang The New York Times yang menggambarkan Falun Gong secara negatif dan tidak tepat.

Rothfeld membalas Chen tidak lama kemudian. “Terima kasih. Kami akan mempertimbangkan semua ini,” tulisnya.

Dua jam kemudian, artikel itu disiarkan dalam talian—dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina—bersama dua panduan.

Tingkah laku wartawan nampaknya melanggar standard laporan The New York Times itu sendiri, mengikut garis panduan akhbar itu mengenai integriti: “Kami mempunyai kewajipan khas untuk menerangkan skop dakwaan dan membiarkan subjek menjawab secara terperinci. Tiada subjek harus terkejut apabila laporan akhbar itu muncul, atau merasakan bahawa tiada peluang untuk bertindak balas.”

Apabila subjek menawarkan untuk memberikan maklumat yang relevan, tetapi nampaknya memerlukan lebih banyak masa, tindakan yang bertanggungjawab adalah untuk menangguhkan cerita, kata Christine Tatum, bekas presiden Persatuan Wartawan Profesional, yang kini mengendalikan firma komunikasi Media Salad.

Mengabaikan tawaran temu bual “adalah tidak adil,” katanya kepada The Epoch Times.

“Saya akan mengatakan bahawa tindakan itu tidak beretika,” katanya.

Itu akan menjadi betul-betul benar apabila cerita itu tidak diputuskan, katanya.

“Jika anda telah mengusahakan cerita ini selama setahun, saya pasti anda boleh menangguhkan cerita ini seminggu lagi,” katanya.

Panggilan tirai untuk Seni Persembahan Shen Yun di Teater David H. Koch di Lincoln Center di New York pada 11 Januari 2015. ( Gambar oleh Larry Dai/Epoch Times )

Polisi sekolah berasrama penuh

Kampus Shen Yun menempatkan sebuah kuil Buddha, sekolah berasrama penuh gred 5–12, dan sebuah kolej, serta ruang produksi dan latihan untuk syarikat seni persembahan.

Sepanjang sejarahnya, syarikat itu telah berhadapan cabaran dengan gangguan berterusan dan cubaan sabotaj oleh rejim China. Terdapat insiden pencerobohan, dan beberapa percubaan yang telah dibuat untuk merosakkan sistem keselamatan kampus. Awal tahun ini, bom palsu dan ancaman tembakan besar-besaran dibuat terhadap kampus, dalam e-mel yang ditulis dalam bahasa Cina dan Inggeris.

Mengekalkan persekitaran yang selamat dan produktif memerlukan polisi yang agak ketat, tidak seperti sekolah berasrama penuh elit lain, kata beberapa pengajar dan artis, semasa dan bekas.

Mereka merasakan laporan yang dikeluarkan oleh The New York Times telah berusaha keras untuk menyalah tafsir peraturan sebagai perbuatan jahat.

Artikel itu mengatakan bahawa pelajar tidak boleh meninggalkan kampus “tanpa kebenaran khas dan biasanya terhad tentang bagaimana kekerapan mereka untuk dapat berjumpa keluarga.”

Pada hakikatnya, pelajar di bawah umur tidak boleh keluar dari kampus tanpa kebenaran kerana pihak sekolah bertanggungjawab terhadap mereka.

Dua anak Sophia Sun adalah pelajar di Fei Tian dan turut membuat persembahan bersama Shen Yun sebagai sebahagian daripada practicum mereka. Sun berkata beliau selalu datang melawat anak-anaknya pada hari cuti.

“Adalah tidak digalakkan untuk melawat pada hari sekolah [supaya] ia tidak mengganggu jadual mereka. Jika tidak, tiada isu,” katanya kepada The Epoch Times.

Pelajar dan artis dewasa juga diharapkan untuk mematuhi kod moral berdasarkan nilai tradisional. Mereka tidak boleh membawa teman ke kampus atau berjanji temu dengan pelajar lain sebelum mencapai usia dewasa.

Sudah menjadi kebiasaan dalam budaya tradisional Cina untuk menangguhkan janji temu sehingga selepas belajar, kata Sun.

Sekolah tidak menggalakkan pelajar menghabiskan terlalu banyak masa dalam talian dan melihat kandungan yang tidak berkaitan dengan pengajian mereka, terutamanya permainan video. Pelajar hanya boleh menggunakan telefon dengan data terhad, dan komputer yang menggunakan tapisan ibu bapa, seperti yang biasa diamalkan di sekolah agama, kata pelajar dan tenaga pengajar.

“Sekolah pada masa kini pening dengan pelajar yang sentiasa menggunakan [telefon mereka], menyebabkan mereka hilang tumpuan dalam kelas. Jadi saya tidak fikir ada apa-apa yang salah dengan peraturan ini,” kata Helena Huang.

Li bersetuju. “Ibu bapa mempercayai sekolah untuk menjaga anak-anak mereka apabila mereka datang ke sekolah berasrama penuh, dan menjaga pendidikan serta memastikan mereka dapat belajar dengan cara yang sihat,” katanya.

Penari utama Shen Yun William Li di New York pada 10 Disember 2023. ( Gambar oleh Blake Wu/The Epoch Times)

‘Ancaman’ yang sukar difahami

The New York Times mendakwa “beberapa artis yang ingin berhenti sebelum kumpulan itu bersedia untuk melepaskan mereka menghadapi ancaman dan ditakut-takutkan.”

“Pengurus memberitahu mereka akan pergi ke neraka atau menghadapi bahaya jika mereka berhenti, kerana mereka akan kehilangan … perlindungan [daripada pengasas Falun Gong],” katanya.

Tiada seorang pun daripada artis semasa mahupun bekas, pelajar, pengajar dan ibu bapa yang ditemu bual oleh The Epoch Times berkata mereka telah mengalami perkara yang diterangkan oleh artikel itu.

“Saya tidak pernah, sesekali mendengar sesiapa pun yang berkata bahawa jika anda berhenti, anda akan dihantar ke neraka,” kata Li.

“Saya tahu, sebenarnya, ramai artis yang telah meninggalkan Shen Yun, dan mereka telah memulakan perniagaan atau mereka beralih kerjaya lain, dan saya terus berhubung dengan mereka, dan mereka melakukannya dengan baik.”

“Dalam semua pengalaman saya di sini, jika anda mahu pergi, anda boleh pergi,” kata Helena Huang. “Ia benar-benar kehendak dan kebebasan anda sendiri. … Tidak ada menerima akibat daripada itu.”

Austin Zhong, seorang pemain biola yang mendaftar di Fei Tian pada 2009, berkata beliau meninggalkan Shen Yun pada 2020 untuk mengikuti ijazah pasca kedoktoran dalam pengkhususan biola, yang tidak ditawarkan di Fei Tian. Apabila ditanya, beliau berkata tidak menghadapi ancaman atau ugutan; beliau hanya menyebut ibu bapanya sedih dengan keputusannya untuk meninggalkan Shen Yun.

“Akhirnya, mereka menghormati keputusan saya,” katanya.

Selain daripada meneruskan kerjaya muziknya, Zhong juga bekerja sambilan untuk NTD Television, media bersaudara The Epoch Times. NTD dan The Epoch Times adalah penaja media Shen Yun.

Orkestra Simfoni Shen Yun membuat persembahan di Dewan Simfoni Boston pada 25 Oktober 2019. (Gambar oleh Dai Bing/The Epoch Times)

Kritikan terhadap artis persembahan

Beberapa bekas artis yang dipaparkan oleh The New York Times membawa isu dengan kritikan oleh tenaga pengajar Shen Yun kerana kekurangan diri mereka, sama ada prestasi di atas pentas berada di bawah bar penarafan atau, dalam beberapa kes, kegagalan untuk mengekalkan berat badan yang optimum.

Ramai artis Shen Yun sama ada semasa dan bekas memberitahu The Epoch Times secara jujur bahawa memperbetulkan kesilapan adalah sebahagian daripada budaya syarikat. Walaupun kritikan itu tidak selalu mudah didengar, mereka berkata, adalah penting untuk mengekalkan tahap artistik Shen Yun yang luar biasa.

“Untuk syarikat yang berjaya, saya fikir semua orang perlu mempunyai mentaliti menjadi paling sempurna,” kata Zhong.

Ibu bapa Kevin Yang berkata tidak menghairankan ada sesetengah individu tidak dapat menyertai Shen Yun dan akan pergi dengan aduan. Yang berpendapat adalah lebih penting untuk The New York Times hanya dapat mencari segelintir individu yang sedemikian.

“Ia lebih kepada [individu] itu sendiri. Ia bukan mengenai syarikat itu,” katanya.

Pada satu ketika, artikel itu membangkitkan isu dengan pengurus orkestra yang menggalakkan sekumpulan artis untuk “menahan kesukaran”. Beberapa bekas artis Shen Yun berkata berhadapan kesukaran adalah kriteria kursus demi mencapai kecemerlangan bertaraf dunia.

“Tarian klasik Cina adalah salah satu bentuk tarian yang paling sukar, dan pada pendapat saya, di dunia. Jadi jika anda mendaftar untuk itu, anda datang ke sini dengan kerelaan hati, dan kemudian anda tidak boleh menerima kritikan, saya fikir itu terpulang kepada diri anda,” kata Piotr Huang.

“Sudah pasti tiada perkara seperti apa yang [artikel The New York Times] panggil penyalahgunaan,” kata Helena Huang.

Li berkata beliau terinspirasi dengan sikap gurunya, ketika menjadi seorang pelajar.

“Mereka sentiasa cuba membantu orang lain, terutamanya penari yang lebih muda, dan sikap tidak mementingkan diri mereka sangat memberi kesan kepada saya,” katanya.

“Saya fikir kini saya juga seorang guru, saya juga mengajar pelajar yang masih muda, dan itulah pengajaran yang saya ingin curahkan kepada mereka.”

Zhong berkata, “Saya rasa Shen Yun melayan penari mereka sebenarnya jauh lebih baik daripada kebanyakan syarikat.”

Menurut The New York Times, seorang penari mengalami gangguan pemakanan kerana tekanan untuk mengekalkan berat badan tertentu.

Umum mengetahui bahawa gangguan pemakanan adalah perkara biasa di kalangan penari profesional, dengan kajian di Jerman pada 2023 mendapati bahawa satu daripada enam penari wanita mengalami masalah itu. Perkara itu nampaknya hampir tidak wujud dalam kalangan artis Shen Yun. The Epoch Times tidak dapat mengesahkan satu kes yang disebut dalam artikel The New York Times, mahupun mengenal pasti sebarang kes lain di kalangan berpuluh-puluh artis yang ditemu bual.

Malah, nampaknya menikmati makanan adalah hobi biasa di kalangan artis, seperti yang jelas terpapar dalam siri video “Life at Shen Yun” keluaran syarikat itu, yang menunjukkan para artis makan di luar ketika berada di bandar-bandar di seluruh dunia.

Penari Shen Yun berlatih rutin tarian klasik Cina di kampus syarikat di Orange County, N.Y., dalam gambar fail. (Ihsan Shen Yun Performing Arts)

Membangkitkan semangat kerohanian

Artikel New York Times mendakwa beberapa bekas artis diberitahu bahawa persembahan Shen Yun menyelamatkan seseorang daripada “kiamat yang semakin hampir” dan melakukan kesilapan semasa persembahan “akhirnya mungkin menghukum penonton mereka ke neraka.”

“Jika anda tidak melakukannya dengan betul, maka ia terletak di bahu anda. Kemudian alam semesta tidak diselamatkan kerana anda,” dakwa seorang bekas penari.

Ramai artis Shen Yun sama ada semasa dan bekas memberitahu The Epoch Times bahawa mereka percaya persembahan itu membantu menyelamatkan orang ramai dalam erti kata ia meningkatkan kerohanian mereka. Malah, beratus-ratus klip video dalam talian menunjukkan penonton memuji persembahan itu kerana dengan hanya melakukan perkara itu, di samping ia memukau secara artistik. Para artis bagaimanapun menolak, untuk memperkatakan tentang “kiamat.”

Menggambarkan Falun Gong sebagai sistem kepercayaan kepada kiamat meniru salah satu perkara awal dalam usaha propaganda PKC terhadap kumpulan itu. Pengamal Falun Gong sendiri telah menolak tanggapan tentang kiamat yang akan berlaku. Naskah kesusasteraan berkaitan disiplin termasuk sebutan istilah seperti “akhir Kalpa” atau “akhir zaman”, tetapi istilah tersebut nampaknya tidak merujuk kepada penghujung dunia, sebaliknya kepada tempoh keruntuhan moral yang sepadan dengan bencana alam dan perbuatan manusia. . Beberapa karya Shen Yun selama ini telah memasukkan adegan bencana alam yang akhirnya dapat dielakkan dengan campur tangan Ilahi.

Para artis dan bekas artis yang ditemu bual The Epoch Times menafikan mempunyai sebarang kepercayaan bahawa membuat kesilapan di atas pentas entah bagaimana boleh membahayakan alam semesta.

The New York Times mengambil isu dengan pelajar Fei Tian diberitahu untuk mempelajari kesusasteraan Falun Gong dan mengikuti ajarannya, dan memanggilnya “indoktrinasi.” Artikel itu mengetepikan fakta bahawa Akademi dan Kolej Fei Tian adalah kedua-duanya sekolah agama.

“Kami juga sebuah syarikat yang berakar umbi dengan kepercayaan, yang menghargai kehidupan bermoral dan pembaikan diri sebagai bahan utama untuk menyampaikan persembahan seni dan budaya bertaraf dunia kepada penonton,” kata Shen Yun dalam satu kenyataan.

“Laporan ini adalah serangan yang jelas dengan bertujuan untuk memburukkan misi dan kepercayaan kami, memperkecilkan nilai yang kami pegang, dan meruntuhkan institusi Amerika yang luar biasa, yang dibina sebahagian besarnya oleh imigran dan pelarian generasi pertama yang melarikan diri dari penganiayaan di China,” kata Shen Yun.

Pelajar dalam jelajah

The New York Times mengkritik Shen Yun kerana kejayaan jualan box office syarikat itu, sambil turut mendakwa ia “membelanjakan bahagian pendapatannya yang jauh lebih kecil untuk gaji berbanding beberapa syarikat tarian dan teater bukan berasas keuntungan besar lain yang berpangkalan di New York.”

Artikel itu tidak menyebut syarikat mana yang dibandingkan dengan Shen Yun atau berapa banyak artis Shen Yun sebenarnya dibayar.

Pelajar Fei Tian dibenarkan memohon untuk menyertai jelajah bersama Shen Yun sebagai sebahagian daripada praktikum mereka untuk mendapatkan kredit. Semasa tahun melancong, mereka juga mendapat gaji.

Sesetengah ibu bapa penari Shen Yun menyifatkan gaji itu sebagai bonus tambahan, memandangkan kemurahan hati penyumbang biasiswa Fei Tian, ​​yang meliputi segala-galanya daripada persekolahan, buku teks, penginapan dan makanan.

Li berkata, “Selepas lulus dari kolej, saya bebas hutang, dan saya diambil bekerja dan dibayar oleh syarikat, jadi ia adalah laluan kerjaya yang hebat untuk saya.”

Bangunan New York Times di New York City pada 30 Jun 2020. (Gambar oleh Johannes Eisele/AFP /Getty Images)

Mereka yang ditemu bual The Epoch Times berkata mereka menghargai peluang apabila dapat mengikuti jelajah dengan syarikat itu semasa tahun pengajian mereka.

“Ia satu pengalaman yang indah untuk artis yang lebih muda,” kata Nancy Zhang, bekas pelajar Fei Tian dan pengacara Shen Yun sejak 2013.

“Itu mungkin salah satu pengalaman terbaik dalam hidup saya,” kata Li.

Helena Huang bersetuju. “Sangat memuaskan hati saya apabila dapat mengelilingi seluruh dunia dan membuat persembahan di semua teater berprestij ini sebagai seorang pelajar,” katanya, sambil mengakui ia membantunya berkembang secara profesional.

“Bekerja dengan artis bertaraf dunia ini yang diambil bekerja oleh Shen Yun, anda sebenarnya dapat belajar banyak.

“Mereka sangat merendah diri, tetapi mereka juga bekerja keras. Anda dapat melihat sejauh mana orang ini pergi, dan anda dapat melihat diri anda juga boleh mencapainya jika anda bekerja keras dan tabah.”

Piotr Huang mempunyai pengalaman yang sama. “Semua penari veteran yang sudah berada di sana, mereka mengambil saya di bawah sayap mereka, dan mereka mengajar saya,” katanya.

Zhong berkata: “Ia satu pengalaman yang hebat. Secara jujur, saya tidak boleh meminta lebih banyak.”

Memperkecilkan penyalahgunaan hak asasi manusia

Dalam artikel 5,000 perkataannya, The New York Times mengetepikan sepenuhnya kempen penganiayaan besar-besaran yang dihadapi pengamal Falun Gong di China.

Akhbar itu menumpukan hanya 52 perkataan untuknya.

Tidak dinyatakan skala penganiayaan, yang dianggarkan melibatkan berjuta-juta orang yang dihukum di kem buruh; mahupun kaedah penyeksaan melampau yang digunakan oleh rejim ke atas pengamal Falun Gong; mahupun penuaian organ mereka untuk keuntungan, yang telah diperincikan dalam banyak laporan penyelidikan dan testimoni kongres.

Polis China menahan seorang pengamal Falun Gong ketika orang ramai berkumpul di Dataran Tiananmen di Beijing pada 1 Oktober 2000. (Gambar oleh Chien-Min Chung/AP)

Dalam artikel disertakan yang diterbitkan pada hari yang sama, The New York Times ada menyebut tentang penuaian organ, tetapi hanya memetik seorang pakar, yang menafikan terdapat sebarang bukti bahawa pengamal Falun Gong dibunuh secara sistematik untuk organ mereka di China.

Walhal, terdapat banyak bukti, termasuk penemuan tribunal bebas 2019 yang diketuai oleh Sir Geoffrey Nice, yang sebelum ini mengetuai pendakwaan Tribunal Jenayah Antarabangsa PBB terhadap bekas Presiden Serbia Slobodan Milosevic.

Selepas penyiasatan selama setahun, menyemak bukti dan mendengar keterangan daripada saksi dan pakar, Tribunal China membuat keputusan “sebulat suara, dan tanpa keraguan munasabah” bahawa China telah terlibat dalam penuaian organ secara meluas daripada pengamal Falun Gong.

Walaupun terdapat bukti sahih, The New York Times secara konsisten meremehkan isu berkenaan.

Didi Kirsten Tatlow, bekas wartawan New York Times, berkata akhbar itu menghalangnya daripada menyiasat dan melaporkan penuaian organ di China. Beliau meninggalkan akhbar itu tidak lama kemudian.

“Ia adalah tanggapan saya, New York Times, majikan saya pada masa itu, tidak berpuas hati apabila saya meneruskan cerita ini [mengenai penyalahgunaan pemindahan organ], dan selepas pada mulanya bertolak ansur dengan usaha saya, menjadikannya mustahil untuk saya meneruskan,” katanya dalam keterangannya pada 2019 kepada Tribunal China.

Laporan penyiasatan yang diterbitkan awal tahun ini oleh Pusat Maklumat Falun Dafa (FDIC) mendapati bahawa majoriti liputan The New York Times mengenai Falun Gong selama ini adalah negatif atau tidak tepat, dengan penggunaan biasa label cemuhan yang menggemakan propaganda PKC, yang anti-Falun Gong.

“Bukan sahaja penderitaan mangsa biasanya dilayan dengan senyap dan tidak ambil peduli, malah lebih merosakkan—apabila ia dilaporkan [oleh The New York Times]—artikel dipenuhi dengan maklumat salah, ketidaktepatan, dan permusuhan secara terang-terangan, memaparkan tahap tidak profesionalisme yang mengejutkan dan berat sebelah,” kata laporan itu, yang dikeluarkan pada 21 Mac oleh FDIC.

Hubungan China

Sejak penubuhannya, Shen Yun telah menjadi sasaran utama PKC.

Syarikat itu adalah satu-satunya syarikat seumpamanya yang menggambarkan “China sebelum komunisme” dan menggunakan seni persembahan untuk mendedahkan beberapa kekejaman yang dilakukan oleh PKC.

Hong, seorang wartawan yang biasanya membuat liputan berita New York, mula mengusahakan artikel itu selepas pulang daripada tugasan selama enam bulan di meja akhbar berkenaan China di Seoul, Korea Selatan.

Artikel itu diterbitkan sejurus selepas laporan oleh FDIC dikeluarkan awal bulan ini—berdasarkan maklumat yang diberikan oleh tiga pemberi maklumat di China—menggambarkan bagaimana PKC meningkatkan kempennya menentang Falun Gong.

“Rejim China telah membuat keputusan strategik untuk meningkatkan penganiayaan terhadap Falun Gong di seluruh dunia, meluaskan aktiviti propaganda, maklumat salah dan penindasan transnasional untuk menyasarkan Falun Gong secara lebih agresif di luar China, dan terutamanya di Amerika Syarikat,” laporan FDIC berbunyi.

Pemberi maklumat memberikan nota daripada mesyuarat oleh Kementerian Keselamatan Awam China di peringkat wilayah. Strategi rejim melibatkan ejen PKC menyalurkan maklumat “berniat jahat” dan “negatif” tentang Falun Gong kepada media A.S. serta pempengaruh media sosial, kata nota itu.

Pengamal Falun Gong melakukan latihan di acara yang menandakan ulang tahun ke-22 bermulanya kempen penganiayaan rejim China terhadap Falun Gong, di Washington pada 16 Julai 2021. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)

Pegawai PKC telah memilih dua individu yang telah menerbit dan mempromosikan kandungan anti-Falun Gong dan anti-Shen Yun di YouTube dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Salah seorang daripada mereka ialah bekas pekerja sebuah saluran media kendalian PKC yang berpangkalan di Jepun. Seorang lagi ialah seorang imigran Cina di Amerika Syarikat yang telah membuat pelbagai komen berbaur ancaman terhadap kakitangan Shen Yun dalam videonya.

Nota pemberi maklumat dari mesyuarat pada Jun itu menyatakan bahawa “semua kerajaan peringkat wilayah [mesti] menyediakan sumber untuk menyokong sepenuhnya [dua pempengaruh dan yang lain] untuk memerangi Falun Gong” dan juga membekalkan mereka dengan “semua maklumat jahat tentang Falun Gong yang dikumpulkan oleh Kementerian Keselamatan Awam secara dalaman.”

Menurut FDIC, sekurang-kurangnya empat orang yang ditemu bual oleh The New York Times telah dihubungkan kepada pempengaruh—sama ada muncul di saluran mereka atau mempromosikan kandungan mereka. Individu itu juga membantu merekrut bekas artis Shen Yun yang tidak berpuas hati untuk di temu bual oleh The New York Times, kata laporan itu.

YouTuber yang berpangkalan di A.S. berkata menerusi siaran di X bahawa dia adalah orang yang memperkenalkan bekas artis dengan “sekurang-kurangnya yang terawal” menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Shen Yun.

Tahun lalu, YouTuber itu dikesan berhampiran kampus Shen Yun. FBI kemudiannya mengeluarkan amaran kepada penguatkuasa undang-undang tempatan yang menyifatkannya sebagai “berpotensi bersenjata dan berbahaya.”

Dia ditahan dan menghadapi pertuduhan memiliki senjata api haram selepas polis menemui dalam geledahan di rumahnya dengan sepucuk pistol, senapang AR-15, lebih 600 butir peluru, dan 14 magazin untuk senjata itu.

Selepas artikel The New York Times disiarkan, lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada pengarang dalam siaran di X untuk “kerja keras” mereka.

Dalam hantaran lain, YouTuber itu menggalakkan orang ramai untuk menggunakan artikel itu bagi tujuan memujuk penggubal undang-undang dan pengurusan teater untuk membatalkan persembahan Shen Yun.

Dalam hantaran lain dia menyifatkan pengurus Shen Yun sebagai “musuh” yang cuba dihantarnya ke penjara.

Shen Yun berkata matlamatnya adalah untuk mempamerkan “keindahan, kedalaman, dan semangat kerohanian budaya tradisional Cina,” menurut kenyataannya baru-baru ini.

“Agak menyedihkan melihat syarikat media di Barat, secara sedar atau tidak, terperangkap dalam kempen global haram PKC untuk memusnahkan syarikat Amerika yang kami bina,” kata Shen Yun.

Longkang runtuh akibatkan lubang besar di Jalan Pantai Permai

0

KUALA LUMPUR: Satu kejadian longkang runtuh dilaporkan telah berlaku dan mengakibatkan lubang besar di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi pada Selasa.

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Menerusi satu hantaran di Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil maklum akan kejadian tersebut.

“DBKL sudah mengambil langkah awal seperti pemasangan tali keselamatan, ‘water barrier’ dan kon di kawasan kejadian kira-kira jam 10 malam tadi,” Katanya.

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Sementara itu, satu kejadian tanah mendap dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Menurut laporan yang dikongsi Bernama, kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar pukul 2.30 pagi Rabu selepas hujan lebat dan ribut pada malam Selasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, sebagai langkah keselamatan, lokasi tersebut telah ditutup dengan menggunakan tali keselamatan dan penghadang air.

“Kami akan terus bekerjasama erat dengan IWK serta agensi lain bagi memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan.”

Selain itu, orang awam juga tidak dibenarkan berada di lokasi berkenaan.

“Keselamatan dan kesejateraan warga Kuala Lumpur ialah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam,” Katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, satu kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah memasuki hari keenam hari ini.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sentuh 3R

0

GUA MUSANG: Muhyiddin, 77, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sentuh 3R semasa kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

BERNAMA

Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam pada 14 Ogos lepas.

Kenyatan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seramai enam orang Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar mengendalikan kes itu.

Sementara Muhyiddin pula diwakili lima orang peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Semasa prosiding, Umar Saifuddin mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Muhyiddin. Namun, Amer Hamzah pula memohon supaya kadar ikat jamin dikurangkan dengan mengambil kira kes-kes terdahulu di bawah seksyen sama yang memperuntukkan jumlah denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan dengan tergesa-gesa.

BERNAMA

Menurut Razarudin, prosedur biasa bagi polis untuk menyelesaikan setiap siasatan berkaitan kes 3R adalah dalam tempoh seminggu.

“Polis sebelum ini telah menyatakan bahawa segala siasatan 3R kita akan buat dalam masa tujuh hari.

“Kita akan tunjukkan prestasi siasatan 3R dalam tempoh berkenaan, maka tidak ada kena mengena dengan isu tergesa-gesa,” Katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Kampung Angkat MADANI di Kampung Jenal, Dabong, Kuala Krai pada Selasa.

Razarudin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengatakan bahawa siasatan polis ke atas Muhyiddin dilakukan secara tergesa-gesa.

Susulan itu, Razarudin memberi contoh sekiranya Muhyiddin disiasat hari ini dan pihak pendakwaan membuat pertuduhan ke atasnya di mahkamah pada keesokannya – itu baru dikatakan tergesa-gesa.

“Mungkin siasatan berkenaan dijalankan dalam tempoh empat hari dan kita hantar kertas siasatan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) untuk tindakan selanjutnya dan mungkin AGC ambil masa sehari dua atau tempoh 24 jam sahaja untuk pertuduhan,” Katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada AGC pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.

Hal ini berikutan Muhyiddin didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Muhyiddin walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 4 November ini sebagai sebutan semula kes.

Piala FA sah jadi milik JDT untuk kali keempat

0

KUALA LUMPUR: Piala FA sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kali keempat selepas menundukkan Selangor FC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS

Menerusi pertemuan dengan Selangor FC, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan beberapa peluang jaringan tercipta namun gagal disempurnakan dengan gol.

Gol pembukaan dijaringkan oleh Muniz daripada pasukan JDT pada minit ke-26 sebelum rakan seperjuangan Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol kedua pada minit ke-42 permainan sebelum menjelang waktu rehat.

Masuk babak kedua, Selangor bangkit hingga berjaya menembusi gawang JDT dengan gol pertama menerusi sepakan penyerang import Alvin Fortes menjadikan kedudukan 1-2.

JDT walau bagaimanapun tidak berdiam diri dan dengan pantas menambah dua lagi jaringan gol dalam masa lima minit menerusi Bergson Da Silva dan Muniz.

Impian JDT kendalian Hector Bidoglio untuk muncul juara semakin bersinar selepas penyerang import Heberty Fernandes menjaringkan gol kelima.

Pada minit terakhir sebelum masa tamat, Muniz berjaya mencipta hatrik sekali gus mengesahkan Piala FA 2024/2025 menjadi milik JDT.

FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS

Kejayaan tersebut merupakan kejayaan kedua JDT musim ini selepas turut dinobatkan sebagai juara perlawanan Sumbangsih pada Mei lepas.

Menurut Hector Bidoglio dalam satu kenyataan yang dikongsi Bernama, kejayaan JDT adalah bertunjangkan kemahiran individu pemain dan falsafah mempertaruhkan segalanya dalam benteng pertahanan.

“Falsafah, tingkah laku taktikal adalah untuk mengambil risiko sepanjang masa kerana memperagakan corak permainan serangan dengan mengawal bola sepanjang masa serta mematahkan setiap gerak-geri penyerang lawan di bahagian pertahanan.”

“Ia amat sukar tetapi pemain berlatih kaedah ini setiap hari dan malam ini semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dengan baik sekali dan sudah pasti ada pemain dengan kemahiran individu yang cemerlang,” Kata Hector.

Sebelum ini, JDT menjulang Piala FA pada 2016 dan dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.

FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil pula menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan.

Nidzam juga mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan Gergasi Merah selepas ini.

“Keputusan ini sedikit sebanyak menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki supaya berada di tahap yang lebih baik,” Kata Nidzam.

Kali terakhir Selangor FC menikmati kejayaan ialah pada 2015 menerusi Piala Malaysia manakala bagi Piala FA pula ialah pada tahun 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1.

Juara Terbuka Jepun milik Sze Fei-Izzuddin, tumpaskan juara dunia

0

KUALA LUMPUR: Juara Terbuka Jepun milik Sze Fei-Izzuddin, selepas pasangan tunggal dari Malaysia ini berjaya menumpaskan juara dunia dari Korea Selatan.

BH ONLINE

Menerusi kejohanan berstatus Super 750 itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menang ke atas Min Hyuk-Seung Jae dengan kemenangan 21-19, 21-15.

Kemenangan tersebut sekali gus memadamkan kekecewangan gandingan ke-12 dunia berkenaan selepas tewas pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Asia pada April lalu.

Pada set pertama permainan yang berlangsung di Yokohama Arena, Sze Fei-Izzuddin mempamerkan aksi hebat dengan mendahului pihak lawan sebelum dipintas gandingan keempat dunia itu di pertengahan permainan.

Min Hyuk-Seung Jae tidak memberi laluan mudah buat pemain negara sepanjang permainan sehingga mengikat kedudukan 15-15.

Walau bagaimanapun, percaturan Sze Fei-Izzuddin berhasil hingga berjaya memenangi set pertama dengan mata 21-19.

Sze Fei-Izzuddin meneruskan permainan dengan persembahan terbaik hingga mereka akhirnya berjaya menewaskan Min Hyuk-Seung Jae dengan mata 21-15 pada set kedua.

Dengan kemenangan pada kedua-dua set permainan tersebut, maka gelaran Juara Terbuka Jepun 2024 sah menjadi milik Sze Fei-Izzuddin.

BWF

Pasangan beregu lelaki Malaysia ini membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah AS$62,900 (RM247,000).

Menerusi kenyataan yang dikongsi BH Online, Izzuddin berkata kemenangan tersebut menjadi titik tolak mereka untuk memburu ranking dalam kelompok lima terbaik dunia selepas ini.

“Kami hadir ke sini untuk melakukan yang terbaik dan kami berjaya memenangi kejohanan ini dan saya bangga dengan kami berdua,” Kata Izzuddin kepada BWF.

“Ini akan meningkatkan keyakinan kami untuk berada dalam kelompok lima terbaik (dunia).”

Sementara itu, menurut Sze Fei mereka memanfaatkan peluang dan ruang yang ada sepanjang permainan menentang pasangan dari Korea itu.

“Saya rasa ada beberapa kali kami memperoleh tuah daripada pukulan kami dan lawan kami juga tidak berada di tahap prestasi terbaik mereka dan itu satu kelebihan buat kami.”

“Apapun saya rasa, mungkin kami juara hari ini tetapi mulai esok kami bukan lagi sesiapa dan akan bermula semula (dari bawah),” Kata Sze Fei.

Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran pada Terbuka Jepun adalah menerusi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan mereka menerima permohonan Sze Fei-Izzuddin untuk bergerak secara profesional bermula 1 September ini.

HARIAN METRO

Menurut Setiausha Agong, Kenny Goh, dalam satu kenyataan, BAM menghormati keputusan Sze Fei-Izzuddin tersebut.

“Saya pasti anda telah tahu mereka meminta untuk bergerak secara bebas.”

“Jadi selepas perbincangan, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk meneruskan kerjaya secara profesional dan kami telah bersetuju untuk melepaskan mereka pada 1 September,” Kata Kenny.

Kapal mewah karam di luar pantai Sicily : Semua enam mayat mangsa hilang ditemui

0

SICILY:  Mayat terakhir dipercayai anak perempuan kepada jutawan teknologi British, Mike Lynch telah ditemukan oleh skuad penyelam Itali pada Jumaat, 23 Ogos.

Menurut Reuters, mayat Hannah Lynch, 18, yang terakhir dilaporkan masih hilang ditemukan dalam bangkai kapal layar mewah Bayesian yang tenggelam selepas dibadai ribut di luar pantai Sicily, dalam kejadian jam 5 pagi Isnin lalu, 19 Ogos.

Jutawan teknologi British Mike Lynch (kanan) dan anak perempuannya Hannah, kedua-duanya meninggal dunia apabila kapal layar mewah Bayesian karam di Sicily, Itali pada 19 Ogos 2024. (Gambar PA Wire)

Setakat ini, proses bedah siasat dan pengecaman mangsa terakhir berkenaan masih dijalankan, lapor Reuters.

Terdahulu, kapal layar mewah sepanjang 56 meter (184 kaki) dikenali Bayesian terbalik akibat terkena sengkayan air yang berpusing dan terangkat ketika hujan lebat dan ribut petir, kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) di timur Palermo, di selatan Itali.

Kapal layar mewah Bayesian yang karam di luar pantai Sicily, Itali pada pagi 19 Ogos 2024. (Gambar TMX/Reuters)

Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam yang lain dilaporkan hilang.

Mayat Mike Lynch, 59, yang juga pemilik kapal layar mewah itu ditemui oleh skuad pengawal pantai Itali dan penyelamat dari jabatan bomba dan penyelamat tempatan.

Antara yang terkorban ialah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.

Mayat-mayat yang telah dikenal pasti ialah Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan isterinya, Judith serta peguam, Chris Morvillo dan isterinya, Neda.

Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan isterinya, Judith turut terkorban dalam tragedi kapal layar mewah Bayesian yang karam. (Gambar PA Wire)

Ketika kejadian, difahamkan 22 individu terdiri 12 tetamu dan 10 kru berada di atas kapal layar itu yang berasal dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan Kanada.

Jabatan Perlindungan Awam Sicily berkata isteri Lynch, Angela Bacares; Charlotte Golunski, suaminya James dan anak perempuan mereka yang berusia satu tahun, Sophie; Ayla Ronald, seorang peguam dari New Zealand di Clifford Chance, dan pasangannya adalah antara 15 orang yang berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat Bayesian dan kemudian diselamatkan.

Tangkap layar video menunjukkan kapal layar mewah Bayesian sedang karam di luar pantai Sicily semasa ribut petir dan hujan lebat pada pagi 19 Ogos 2024. (Gambar The Epoch Times/Giornale di Sicilia/Reuters)

Terdahulu, operasi menyelamat diselaraskan oleh pengawal pantai yang melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelamat dari pengawal pantai serta tentera laut. Jabatan Bomba Palermo berkata pasukan penyelamatnya juga telah menyertai misi tersebut.

Penyelaman pertama pasukan bomba, yang menggunakan penyelam gua khusus untuk ke bangkai kapal yang terletak di dasar laut pada kedalaman 50 meter di bawah Laut Mediterranean pada malam Isnin, gagal menemui apa-apa.

Pasukan penyelam Itali mencari mangsa di dasar laut. (Gambar The Epoch Times / AP)

“Pemeriksaan pertama oleh penyelam gua di dalam bangkai kapal tidak berjaya. Akses ke jambatan terhad, dengan kesukaran disebabkan oleh perabot yang menghalang laluan,” lapor UPI yang memetik laporan jabatan itu dalam satu hantaran di X.

The Telegraph melaporkan kumpulan itu dengan tetamu VIP berada di atas kapal layar Bayesian untuk pelayaran “kemenangan” meraikan pembebasan Lynch setelah pertarungan undang-undang selama 13 tahun yang menyaksikan beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat tahun lalu untuk dibicarakan atas tuduhan penipuan berkaitan penjualan syarikatnya, Autonomy kepada Hewlett Packard dengan nilai AS$11 bilion.

Pasukan penyelamat Itali membawa naik mayat mangsa yang ditemui. (Gambar Reuters)

Beliau dituduh menaikkan nilai syarikat perisian yang diasaskannya tetapi pada Jun lalu juri mahkamah persekutuan di San Francisco membebaskannya bersama Stephen Chamberlain yang turut didakwa, daripada semua 15 pertuduhan penipuan.

Stephen Chamberlain, meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan ketika sedang berlari di Cambridgeshire, United Kingdom, pada 17 Ogos.

Insiden Masjid India: Hanya selipar ditemui, pencarian mangsa ditumpu pada jajaran paip kumbahan

0

KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memfokuskan pencarian pada kawasan saluran paip kumbahan di bawah tanah kawasan kejadian.

Pada masa ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan khidmat Unit Skuba JBPM dalam mencari mangsa selepas khidmat anjing pengesan menemui jalan buntu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nordin Pauzi, berkata tindakan untuk masuk ke dalam lubang saluran kumbahan dilakukan selepas kawasan kejadian digali dan dibersihkan menggunakan jengkaut.

Khidmat Unit Skuba terpaksa digunakan walaupun air tidak dalam namun ia turut berisiko.

“Usaha ini dilakukan selepas berkemungkinan terdapatnya sedikit pecahan (kebocoran) atau serpihan yang membolehkan air keluar yang mungkin mempunyai lubang.

“Jadi di tempat saluran yang pecah itu kita akan buat size-up (periksa) sekiranya anggota boleh masuk kemungkinan kita boleh buat pencarian dan menemui sesuatu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada pagi 24 Ogos.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Nordin berkata, pada masa ini pihaknya akan menumpukan usaha mencari dan menyelamat di saluran kumbahan kawasan Masjid India dahulu sebelum memperluaskan skop pencarian ke lokasi lain.

“Kita juga akan berhubung dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) sebab saluran ini satu hala dan kita akan cuba kesan melalui perangkap sedia ada yang berkemungkinan mangsa ada di situ.

“Pihak kami juga difahamkan saluran ini berakhir di satu loji di Lembah Pantai, dan kita akan meneliti kawasan itu juga,” katanya.

Semalam, operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar jam 1 pagi, susulan hujan lebat serta kawasan pencarian yang gelap telah menyukarkan usaha mengesan mangsa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadualkan bersambung semula pada jam 9 pagi 24 Ogos.

Semalam, Pasukan Taktikal Khas Operasi dan Menyelamat Malaysia (STORM) yang terlatih telah menjalankan kerja-kerja menggali sedalam 10 meter dengan pencarian lokasi mangsa dilaporkan terjatuh telah dilakukan secara 100 peratus.

Rusdi berkata, semua anggota pasukan penyelamat telah mengambil masa yang panjang dalam operasi SAR yang bermula sejak pagi 23 Ogos, dan setakat ini mangsa masih gagal dikesan.

“Namun dalam operasi hari ini kita telah menemui sepasang selipar dipercayai milik mangsa yang terapung selepas kawasan kejadian dikorek oleh jengkaut sejak pagi semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

“Pelbagai cabaran dihadapi oleh pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR ini seperti arus deras, selain terdapat gas pada air dalam saluran kumbahan yang boleh membahayakan pasukan Unit Skuba JBPM,” kata Rusdi selepas meninjau lokasi kejadian pada tengah malam tadi.

Rusdi berkata, beliau turut menyarankan supaya orang ramai dan masyarakat yang berada di sekitar kawasan Masjid India untuk mengurangkan pergerakan sebagai langkah keselamatan.

“Walaupun kawasan ini disahkan selamat, saya minta orang ramai kurangkan pergerakan anda dan mengambil langkah selamat.

“Kita turut mengarahkan polis memperketatkan kawalan di sini dan meminta mana-mana pihak supaya tidak mengambil mudah tentang langkah berjaga-jaga,” katanya.

Semalam 23 Ogos, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif, yang melawat lokasi kejadian memaklumkan kepada agensi utiliti terbabit supaya memeriksa aset berkaitan termasuk Air Selangor yang turut menutup bekalan air sedia ada.

“DBKL telah membuat semakan ke atas talian utiliti bawah tanah di kawasan terbabit dan menemui diameter paip kumbahan sepanjang 1.5 meter di lokasi terbabit. IWK telah berada di tapak untuk membantu Dewan Bandaraya bersama-sama dengan Bomba.

“DBKL bersama agensi lain sedang mengesan di sepanjang laluan paip kumbahan bagi mengenal pasti mangsa dan sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” kata Maimunah.

DBKL telah mengerahkan jentera dan anggota penyelamat untuk membantu pencarian, tambahnya.

Maimunah yang bertemu dengan suami dan ahli keluarga mangsa melahirkan rasa sedih serta bersimpati dengan kejadian yang menimpa.

Dalam kejadian pada jam 8.20 pagi 23 Ogos, mangsa warganegara India dikenali sebagai Vijayaletchumy berusia 48 tahun telah terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8 meter ketika melalui kawasan pejalan kaki berhadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Sehingga kini, nasib dan keberadaan mangsa belum dapat ditemukan.

Pelancong wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam di Masjid India

0

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong wanita dikhuatiri terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang benam akibat mendapan tanah yang berlaku berhampiran Masjid India pada pagi 23 Ogos.

Identiti mangsa disahkan sebagai wanita warga India berusia 48 tahun.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarganya sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah lalu meruntuhkan struktur jubin dan simen lantai yang berada di laluan pejalan kaki.

Facebook

Berdasarkan maklumat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL), kedalaman lubang benam itu dianggarkan lapan ke sepuluh meter. 

Setakat jam 11.30 pagi, tinjauan media mendapati operasi menyelamat dengan dua buah jentera bomba sudah berada di lokasi dan kerja-kerja mencari mangsa sedang giat dijalankan.

Turut kelihatan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, dan Angkatan Pertahanan Awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berada di lokasi bagi memantau operasi menyelamat.

Facebook

Bernama melaporkan jurucakap Bomba Kuala Lumpur sebagai berkata wanita itu sedang cuba dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan sebentar lagi setelah mendapat maklumat lanjut daripada pegawai operasi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 8.22 pagi.

Facebook

“15 anggota pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan bantuan daripada Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.

Komander Operasi PGOKL, Mohd Riduan Akhyar mengesahkan terdapat seorang mangsa wanita terjatuh ke dalam lubang ada tertimbus di bawah tanah.

Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian.

Kren bergerak juga digunakan untuk mengangkat simen lantai yang runtuh.

Penyanyi Mimpi Laila dipenjara seumur hidup, 16 kali sebatan

0

SHAH ALAM: Penyanyi Mimpi Laila, Muhammad Yasin Sulaiman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

BERNAMA

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan Yasin, 48, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.

Bagi kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, Yasin dihukum penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan.

Bagi kesalahan menanam 17 batang pokok kanabis dalam pasu plastik pula, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam kali sebatan. Manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin pada 29 November 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah dan memerintahkan lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Norsharidah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya didapati terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Beliau berkata persoalan yang timbul adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Forensik Psikiatari Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Dalam kes ini, responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal menurut undang-undang).”

“Justeru, beban untuk membuktikan responden tidak sempurna akal masih terletak pada pembelaan bagi mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden semasa kejadian,” Katanya.

Norsharidah berkata keterangan Dr Ian mengesahkan bahawa responden tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan namun merujuk kepada saksi-saksi pendakwaan, menunjukkan bahawa Yasin memang dengan sengaja melakukan perbuatan-perbuatan jenayah yang dituduh ke atasnya.

Menurut Norsharidah lagi, mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi pakar hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Ujar Norsharidah, Dr Ian dan laporan psikiatri semata-mata tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Norsharidah berkata saksi pendakwaan ketujuh pakar bioteknologi tumbuhan Prof Dr S. Sreeramanan memaklumkan responden mempunyai pengetahuan berhubung penanaman ganja.

“Penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu itu tumbuh membesar menunjukkan responden tidak berada dalam keadaan tidak waras.”

“Oleh itu, rayuan oleh perayu (pendakwaan) dibenarkan bagi keputusan di Mahkamah Sesyen dan tertuduh disabitkan bersalah seperti mana pertuduhan pindaan dihadapinya,” Katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Penyanyi itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 batang pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Ariff Azami ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan akan memasukkan notis rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu.

“Keputusan hari ini, kita akur dan hormat dan Mahkamah Tinggi ada hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Kita ada satu lagi lapisan iaitu di Mahkamah Rayuan dan kita akan lawan di peringkat tersebut,” Katanya.

Beliau turut berharap rawatan dan perubatan yang telah dijalani anak guamnya sebelum ini dapat diteruskan di Penjara Kajang.

Disangka hilang selepas keluar membeli pau, dua sahabat rupanya terperangkap dalam lif

0

Misteri kehilangan dua kanak-kanak lelaki selama lebih 10 jam selepas keluar rumah untuk membeli pau, akhirnya terjawab apabila mereka ditemui terperangkap dalam lif yang sedang diselenggara di pangsapuri didiami mangsa di Desa Petaling, Kuala Lumpur sehingga tengah malam 20 Ogos. 

Mangsa dikenali Muhammad Faiq Adiwira, 11, dan seorang rakannya, Muhammad Harith Absyar berusia 10 tahun terlalu letih ketika meminta tolong sehingga tertidur di dalam lif itu sebelum dijumpai semula dalam keadaan selamat pada jam 12.45 tengah malam setelah kelibat mereka berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh, berkata terdahulu pihaknya menerima dua laporan berhubung kehilangan dua kanak-kanak terbabit oleh waris masing-masing, pada petang 19 Ogos.

@SinarOnline / X

“Berdasarkan maklumat, dua kanak-kanak berkenaan dikatakan keluar rumah kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk membeli pau di kedai berdekatan simpang sebuah sekolah menengah sebelum mereka terperangkap dalam lif itu,” kata Ravindar kepada BH.

Sementara itu, berdasarkan maklumat penduduk pangsapuri terbabit, kedua-dua mangsa berusaha meminta bantuan sebelum keletihan lalu tertidur dalam lif berkenaan.

Difahamkan, pihak pengurusan penyelenggaraan kemudian melakukan kerja membuka pintu lif berkenaan untuk menyelamatkan mangsa yang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ibu Faiq Adiwira, Fospaliza Md Sariff berkata anaknya ditemui dalam keadaan lemah serta tidak bermaya susulan terperangkap berjam-jam tanpa makanan dan minuman selepas keluar untuk membeli pau di kedai berdekatan.

@SinarOnline / X

“Pau itu memang makanan kegemaran anak sampaikan peniaganya pun sudah kenal sebab dia selalu beli.

“Semalam, dia turun dari rumah kami di tingkat sembilan sebelum terperangkap di tingkat empat bersama seorang kawannya… pau pun tak sempat beli,” kata Fospaliza.

Ibu itu berkata dua kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba meminta tolong melalui butang interkom tetapi didakwa tiada respons, dan mereka hanya mampu menangis sehingga tertidur beberapa kali.

Pada mulanya, beliau berkata, mereka tidak menyangka dua kanak-kanak itu terperangkap dalam lif berkenaan, sebaliknya disangka hanya pergi bermain.

@SinarOnline / X

“Biasanya, anak pergi bermain dengan kawan-kawan dan saya sudah tetapkan dia mesti berada di rumah sebelum jam 7 malam.

“Saya tidak menyangka mereka terperangkap dalam lif kerana ingatkan pergi bermain selepas membeli pau di bawah blok kami,” katanya yang sudah menetap di pangsapuri terbabit selama 12 tahun.

Fospaliza berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana tiada perkara tidak diingini berlaku ke atas Faiq dan rakannya.