Sekumpulan pembeli bertukar perusuh yang bertindak di luar kawalan apabila bergegas ke pusat beli-belah terbesar di Pakistan Dream Bazaar Mall, pada hari pembukaannya.
Kekacauan berlaku apabila para pembeli bertindak berebut-rebut dan menggeledah pusat membeli-belah yang berada di Karachi itu.
Pembukaan Dream Bazaar Pakistan yang dimaklumkan secara besar-besaran bertukar huru-hara apabila segerombolan para pembeli yang teruja telah menyerbu pusat beli-belah itu dan membersihkannya dalam masa 30 minit, memusnahkan sebahagian besar harta benda yang ada dalam proses itu.
Visual yang dikongsi di media sosial menunjukkan ahli kumpulan perusuh yang tidak terkawal berasak-asak dan menolak antara satu sama lain demi mendapatkan tawaran terbaik, pakaian berselerak di atas lantai dan pekerja berdiri tidak berdaya.
Dream Bazaar di Karachi telah diiklankan secara agresif sebagai kedai jimat terbesar di Pakistan, menjanjikan diskaun yang luar biasa untuk pakaian berjenama, peralatan rumah dan aksesori.
Mungkin berminat untuk mendapatkan tawaran yang baik, beribu-ribu penduduk Karachi berpusu-pusu ke pusat beli-belah itu pada hari perasmiannya.
Bagaimanapun, kekurangan kawalan dan tindakan polis menyebabkan pusat beli-belah itu digeledah oleh para pembeli yang tidak dikawal.
Laporan media tempatan mendakwa pakaian dicuri, orang ramai ditolak sambil berasak-asak dengan sebahagian harta benda dirosakkan oleh perusuh.
Pengurusan Dream Bazaar Mall bergelut untuk mengawal orang ramai yang berpusu-pusu. Apabila beberapa pekerja menutup pintu depan kepada lebih ramai pembeli yang mara, individu yang bersenjatakan baton memecahkan pintu kaca dan meluru masuk.
Menurut ARY News, polis tidak campur tangan untuk mengawal orang ramai, tetapi beberapa saksi berkata polis dilihat memukul orang yang tidak bersalah di tempat kejadian.