Selama hampir sebulan, seorang wanita cuba menjejaki lelaki yang menghulurkan bantuan penuh keikhlasan ketika keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan di lebuh raya.
Berkat hantaran media sosialnya yang tular, Siti Aishah Shauqina Wahidi, 25, berjaya menjejaki lelaki itu, Ang Ngee Seng, dan dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dapat bertemu dengan penyelamatnya ketika dia sedang panik.
“Saya terharu dan hargai bantuan ‘Uncle’, dan saya bersyukur dapat bertemu dengannya. Terima kasih uncle, kerana sudi membantu dan memandu kereta saya ketika saya buntu,” kata Siti Aishah.
Mengimbau kembali kejadian itu, Siti Aishah Shauqina berkata keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan kira-kira jam 6 petang di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada 24 Julai lalu.
Ketika kejadian, Ang telah bingkas berhenti untuk membantu Siti Aishah yang sedang panik dan tidak tahu membuat apa selepas keretanya mengalami kerosakan brek.
Siti Aishah berkata selepas Ang membantu dengan membawa keretanya ke lokasi selamat, dia hanya dapat mengucapkan terima kasih tetapi tidak berkesempatan untuk bertukar nombor telefon, menyebabkan dia memulakan usaha untuk mencari Ang di TikTok.
“Perkongsian saya telah menarik perhatian ramai, dan mereka mahu membantu, akhirnya saya dapat menemui uncle pada 22 Ogos lalu. Saya mahu belanja uncle makan sebagai tanda penghargaan kepadanya yang sudi membantu ketika itu.
“Sebaik sahaja saya mendapat nombor telefon uncle, saya hantar mesej kepadanya, tetapi dia tidak layan dan membalasnya. Sehingga minggu kedua barulah uncle jawab selepas saya tunjukkan berita mengenainya.
“Uncle cakap dia ingat saya scammer. Saya bersyukur akhirnya saya dapat jumpa uncle,” katanya kepada Harian Metro.
Semasa pertemuan itu, mereka banyak bercerita tentang hari kejadian, dan Ang turut memberitahu bantuan yang ditawarkannya adalah ikhlas.
Siti Aishah berkata, Ang juga menyebut dia tiba-tiba menjadi “popular” selepas kisah itu menjadi tular, dan beberapa pihak media mahu menemu bualnya, tetapi dia dengan sopan menolaknya.
“Ramai yang komen di TikTok kata mereka kenal uncle dan memaklumkan uncle memang seorang yang baik hati suka membantu sesiapa saja. Bagi saya, uncle memang baik kerana sanggup memandu kereta saya yang rosak.
“Bayangkan uncle pandu kereta saya dengan pedal brek yang mengeras, dan dia kawal kereta saya dengan hanya brek tangan, sementara saya memandu keretanya.
“Selepas itu, dia pesan saya supaya duduk di hadapan kereta kerana lebih selamat daripada duduk di belakang. Nasihatnya seperti seorang bapa.
“Selepas 10 minit, abang dan ibu saya sampai. Kalau uncle tak tolong, saya terpaksa tunggu bantuan pihak lebuh raya, dan lokasinya tidak sesuai kerana di situ selekoh berbahaya selain banyak kenderaan kerana sedang waktu puncak orang balik kerja,” kata Siti Aishah.
Pekerja syarikat swasta itu berkata perkongsiannya di TikTok bukan untuk mendapat perhatian, sebaliknya hanya usaha untuk mencari Ang supaya dia dapat menyampaikan penghargaannya.
Siti Aishah berterima kasih kepada para netizen yang membantunya menjejaki Uncle Ang sehingga berjaya.
“Kisah ini juga menunjukkan bantuan boleh dihulurkan tanpa mengira bangsa, asalkan kita ada sifat simpati dan empati. Dua elemen ini mesti diterapkan dalam diri kita, dan dengan itu, kita akan dapat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” kata Siti Aishah.