PARIS: Eddy Bernand sumbangkan pingat gangsa buat Malaysia menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atlet dari Sabah yang berlari di lorong ketiga itu bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 11.58 saat.
Pingat emas menjadi milik wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan masa 11.12 saat. Manakala pingat perak pula menjadi milik atlet dari Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan catatan masa 11.20 saat.
Walaupun dilahirkan dengan keadaan sebahagian jari tangan bersambung dan kaki kecil di bahagian kanan, anak kelahiran Beluran, Sabah ini sentiasa berfikiran positif.
“Bila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.” Katanya dalam satu kenyataan.
Eddy Bernand bukan sekadar memenangi pingat gangsa malah catatan masa yang dilakukannya itu memecahkan rekod Asia terdahulu milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75 saat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.
Menurut atlet berusia 23 tahun itu, semangatnya untuk melakar kejayaan tertinggi dalam karier membara setelah jurulatihnya, Hamberi Mahat memberikan kata-kata semangat sebelum pertandingan.
“Coach kata bantai, bantai dan langgar sahaja, jangan banyak fikir, fikir diri sendiri sahaja,” Kata anak bongsu daripada enam beradik itu.
Pemenang pingat perak pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 itu juga mahu mendedikasikan kemenangan kali ini kepada keluarga, Hamberi dan rakan-rakan yang sentiasa menyokongnya selama ini.
Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula dari 28 Ogos hingga 8 September ini.