HA LONG: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh susulan Taufan Super Yagi di Vietnam yang memusnahkan bangunan dan mencetuskan tanah runtuh.
Menurut media kerajaan, VNExpress empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan Hoa Binh di utara Vietnam.
VNExpress turut melaporkan bahawa tanah runtuh berlaku ketika tengah malam, selepas hujan lebat selama beberapa jam yang dibawa oleh Yagi, menyebabkan lereng bukit di sebuah rumah runtuh.
“Pemilik rumah berusia 51 tahun berjaya menyelamatkan diri tetapi isteri, anak perempuan dan dua cucunya tertimbus. Tidak lama kemudian mayat semua mangsa berjaya ditemui.”
Terdahulu, Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan berkata, Taufan Yagi yang melanda Vietnam itu membawa angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j).
Ketika taufan melanda, infrastruktur musnah, ribuan pokok tumbang, kapal dan bot hanyut serta beberapa kepingan bumbung logam dan papan tanda dilihat berterbangan.
Menerusi kenyataan lain, media kerajaan juga melaporkan bahawa terdapat seorang lelaki terbunuh di jalan raya selepas angin kencang menumbangkan pokok.
“Sudah lama saya tidak menyaksikan taufan sebesar ini.”
“Ia menakutkan. Saya tinggal di dalam rumah, dan mengunci semua tingkap saya. Bagaimanapun, bunyi angin dan hujan sukar dipercayai,” Kata Tran Thi Hoa, seorang wanita berusia 48 tahun dari Hai Phong kepada AFP.
Sebelum melanda tanah besar, taufan itu sudah menumbangkan ratusan pokok di pulau Co To, kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Quang Ninh.
Selain itu, beberapa bangunan pejabat, sekolah dan rumah di pulau itu juga kini tidak berbumbung akibat angin kencang.
Papan tanda di sekitar pulau itu pula dilihat berselerak manakala talian elektrik terputus dan berselirat ditiup angin.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa Taufan Yagi adalah taufan paling buruk melanda pulau itu dalam beberapa dekad.
Sebelum melanda Vietnam, ribut itu membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 92 yang lain, di pulau Hainan di selatan China.
CCTV melaporkan, Taufan Yagi membawa angin lebih 230 kilometer (143 batu) sejam dan menumbangkan pokok serta menyebabkan sekitar 460,000 orang dipindahkan.
“Hainan dilanda hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 92 cedera,” Kata Xinhu yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan penduduk dari kawasan berbahaya sebelum ribut melanda malah menasihati penduduk lain untuk berada dalam rumah.
Di utara Hai Phong, Thai Binh dan Hanoi, pihak berkuasa tempatan melaporkan kira-kira 20,000 orang dipindahkan dan diletakkan di tempat yang lebih selamat dan lebih tinggi.
Teradapat ramai mangsa yang turut berlindung di sekolah, tadika dan bangunan awam yang lain.
Kementerian Pertahanan berkata, lebih 457,000 orang yang kebanyakannya merupakan kumpulan pekerja profesional turut digerakkan oleh jabatan penyelamat untuk menangani akibat taufan itu.
Kira-kira 2,000 kenderaan dan enam buah pesawat juga dihantar untuk menangani situasi itu.