PARIS: Bonnie Bunyau Gustin atau lebih dikenali sebagai badang negara berjaya raih pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Bonnie bukan sekadar memenangi pingat emas menerusi acara powerlifting kategori 72 kilogram, malah dia berjaya memecahkan rekod dunia yang diciptanya sendiri pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Ketika di Dubai, Bonnie berjaya melakukan angkatan seberat 231 kilogram. Manakala pada temasya kali ini, angkatan berat yang berjaya dilakukannya ialah 232 kilogram.
Kejayaan kali ini juga memadam rekod lama milik Bonnie iaitu 228 kilogram pada edisi Tokyo 2020.
Anak kelahiran Serian, Sarawak berusia 25 tahun itu memulakan aksi dengan mengangkat bebanan seberat 221 kilogram pada percubaan pertamanya. Pada percubaan kedua, dia berjaya mengangkat bebanan seberat 226 kilogram dan 232 kilogram pada percubaan ketiga yang melayakkannya memenangi pingat emas.
Sementara itu, Hu Peng dari China meraih pingat perak dengan angkatan seberat 214 kilogram manakala Donato Telesca dari Itali pula meriah pingat gangsa dengan angkatan seberat 213 kilogram.
Disebalik kejayaan Bonnie, dia sebenarnya terpaksa melawan kesakitan pada bahagian bahu kirinya yang dialami sejak seminggu lepas sewaktu menjalani latihan menjelang acara yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena tersebut.
“Seminggu saya rasa sakit di bahagian bahu kiri sehingga menjadi bengkak dan masih belum surut hari ini.”
“Angkatan pertama tadi memang sakit, saya tahan juga untuk teruskan angkatan kedua dan kali ketiga lebih sakit, saya belum pernah lagi mengalami kecederaan sebegini, sebelum ini bahu belakang sahaja,” Katanya kepada Bernama sejurus upacara penyampaian pingat.
Berikutan kecederaan itu, Bonnie mendedahkan dia berasa tertekan sehingga meragui kemampuannya untuk bersaing di pentas kedua Paralimpik selepas Tokyo 2020.
“Saya memang takut tak dapat buat (beraksi di Paris 2024) namun saya cuba tenangkan diri dua hingga tiga hari sebelum hari pertandingan bagi memastikan keadaan mental saya berada dalam keadaan baik dan meningkatkan motivasi diri buat sehabis baik,” Katanya.
Menurut Bonnie Bunyau Gustin, dia dan barisan jurulatih sememangnya mahu menjamin emas terlebih awal dalam dua percubaan pertama diikuti memecahkan rekod dunia pada percubaan terakhir.
Bonnie berjaya mencapai impian tersebut dan mendedikasikan kejayaan itu untuk diri sendiri selain keluarga, jurulatih, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) atas sokongan padu diberikan mereka kepadanya selama ini.
Dalam pada itu, Bonnie juga berkata dia merancanga menggunakan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM1 juta yang bakal dinikmatinya itu bagi membantu keluarganya di Sarawak terlebih dahulu.