Gara-gara pisang goreng, sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di Jepun menyatakan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia.

Menurut pemilik akaun TikTok @tinggalkatjepun, beliau ingin berkongsi cara-cara menyediakan pisang goreng dengan sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di bandar Hioki.
Kanak-kanak berkenaan kelihatan begitu teruja dengan program pada hari tersebut. Mereka mendengar taklimat yang disampaikan oleh @tinggalkatjepun dengan penuh tekun.
Selepas taklimat diberikan, kanak-kanak tersebut berpeluang melakukan sendiri penyediaan pisang goreng langkah demi langkah dengan pengawasan orang dewasa.

Bermula dengan menimbang tepung, menyediakan adunan tepung, menggoreng pisang sehinggalah menghias pisang goreng, semuanya dilakukan oleh kumpulan kanak-kanak yang bertuah itu.
Sepanjang program dijalankan, mereka sangat teruja dan kelihatan tidak sabar untuk melihat hasilnya.

Sebaik sahaja mereka merasai pisang goreng tersebut jelas terpancar rasa kagum pada wajah mereka terhadap menu petang kebiasaan rakyat Malaysia itu. Menurut mereka pisang goreng itu sangat sedap.
Selain itu, kanak-kanak ini turut menyatakan hasrat untuk datang ke Malaysia bagi menikmati lagi pisang goreng.

Pada akhir video, @tinggalkatjepun yang bekerja sebagai koordinator hubungan antarabangsa di Jepun menyatakan hasrat untuk memperbanyakkan lagi program seumpama itu bagi memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakyat Jepun.
Siapa sangka, gara-gara pisang goreng Malaysia bakal menerima kunjungan daripada pelancong luar negara.