Harapan atlet-atlet muda taekwondo Sabah untuk mengharumkan nama negeri di kejohanan antarabangsa hampir musnah apabila mereka terlepas penerbangan dari Sandakan ke Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.
Namun, berkat semangat juang yang tinggi bersama bantuan rakyat Malaysia yang prihatin, kesemua atlet ini berjaya menyertai Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Hwarang Warrior 2024 dan meraih emas.
Difahamkan menurut pengurus pasukan, Valerie Grace Peter Sompunodo, kesemua atlet mewakili Persatuan Taekwondo Choi Jung Hwa Sabah itu sepatutnya menaiki pesawat tambang murah dari Kota Kinabalu ke Sandakan pada jam 9.30 pagi.
Tetapi disebabkan kelewatan jadual penerbangan, mereka tiba di Sandakan lewat daripada masa yang dirancang menyebabkan terlepas penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur.
Berita mengenai nasib malang pasukan taekwondo itu mula tular di media sosial yang telah mengundang para warganet yang bersimpati untuk bersatu hati mengumpul dana bagi membolehkan pasukan itu mendapatkan tiket penerbangan baharu untuk ke Kuala Lumpur.
Mereka bertekad untuk memastikan kesemua anak-anak muda berbakat ini dapat bertanding dalam kejohanan berprestij itu.
Amat membanggakan apabila dalam masa 4 jam, kira-kira RM18,000 berjaya dikumpul melalui dana yang dimulakan oleh pengguna Facebook Riniejene Anthony.
Yang akhirnya telah membolehkan pasukan taekwondo Sabah ini untuk membeli semula tiket penerbangan dan dapat berangkat ke Kuala Lumpur dalam masa yang ditetapkan pada 29 Februari.
Dalam kejohanan itu, pasukan ini mula menunjukkan aksi cemerlang dengan meraih pingat emas pertama menerusi atlet Leonell Bellvin, 12, dalam acara kyorugi (tempur), kategori 38-45 kg lelaki 11-12 tahun.
“Ini merupakan hadiah ulang tahun yang ke-12 pada 7 Mac ini dan saya mahu meraih lebih banyak pingat untuk mengharumkan nama negeri, sekolah dan ibu bapa,” Leonell yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Popok, Kota Marudu memberitahu Bernama.
Selain Leonell, empat lagi peserta yang hampir terlepas penerbangan itu ialah Evan Filemon, 15, Deqqusyairi Jaafar, 15, Darren Michael Daholok @Peter, 16 dan Erwin Daymiean Junaidi, 15 yang kesemuanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongkol, Pitas.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Leonell serta seluruh pasukan taekwondo Sabah kerana berjaya memperoleh pingat pertama buat negeri mereka.