KOTA KINABALU: Seorang remaja ditahan susulan gambarnya memegang alat seakan-akan senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di sini tular di WhatsApp.
Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan remaja berusia 15 tahun itu di rumahnya pada pukul 5.36 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp.
Gambar tersebut memaparkan seorang remaja memegang alat menyerupai senjata api di tingkap kondominium di Jalan Kayu Madang.
Menurut Mohd Zaidi, menerusi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan polis menemui selaras senjata api tiruan menyerupai AK47 serta sepucuk pistol tiruan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya pada jam 9 pagi Sabtu lalu bertempat di tangga, dengan menggunakan senjata api terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.”
“Suspek juga mengaku membeli dua senjata api tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya ketika dihubungi media.
Jelas Mohd Zaidi lagi, pasukan polis kemudiannya membuat serbuan di kedai menjual senjata api tiruan yang terletak di sebuah kompleks beli-belah di sini.
“Sejumlah senjata tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.”
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” kata Mohd Zaidi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.